Ahlan Wasahlan Ya Akhi Wa Ukhti


29 Disember 2008, Dewan Muktamar, Darul Quran- Tarikh ini bakal menjadi tarikh yang bersejarah yang mencoretkan pelbagai salutan rasa hati terutama buat adik-adik Persijilan DQ-UIAM bagi sesi 09/10. Pada tarikh ini, adik-adik yang telah dipilih Allah untuk meneruskan perjuangan di DQ memulakan hidup mereka.

Majlis pendaftaran telah pun bermula seawal jam 0900. Banyak keluarga yang datang dari jauh telah pun tiba awal pagi lagi. Masing-masing berasa gembira kerana si anak telah terpilih untuk menjadi pemegang kalamullah yang mulia ini. Bagi mereka yang sampai awal, telah tersedia sarapan pagi di belakang dewan untuk dibuat alas perut. Walaupun bagi si anak, makanan sudah tidak dipandang lagi kerana terlalu berdebar untuk meneruskan hidup di bumi asing ini.

Dimulakan dengan ucapan dari pihak yang berkenaan, seterusnya ikrar dari pelajar-pelajar persijilan 09/10 dan akhir sekali diikuti oleh simbolik penyerahan kepada pihak DQ yang akan mengambil alih sementara tugas ibu bapa sebagai penjaga kepada para pelajar.

Ramai yang menitiskan air mata, tidak kurang juga yang tersenyum gembira. Pelbagai gelagat adik-adik yang mengungkap kembali kenangan sewaktu pendaftaran persijilan 08/09. Tidak disangka sudah setahun bergelar siswa/siswi DQ. Tidak terasa perjalanan masa dan akhirnya kini telah mempunyai adik-adik baru yang perlu diberi tunjuk ajar.

Selepas selesai sesi pendaftaran, semua hadirin dijemput ke dewan makan untuk makan tengahari yang telah disediakan oleh pihak dewan makan. Seterusnya para pelajar akan terus mendaftar untuk asrama dan PERKEMAT DQ. Inilah waktu yang paling gamat sekali. Alhamdulillah ada abang-abang dan kakak-kakak yang sanggup turun untuk menolong adik-adik baru yang bakal ditinggalkan oleh ibu bapa untuk meneruskan pejuangan di sini.

**Kepada adik-adik GEN10, selamat meneruskan perjuangan anda di bumi barakah Darul Quran ini. Dan juga kepada GEN9, tunjukkanlah qudwah hasanah yang baik kepada adik-adik gen10. Jangan hanya disebabkan perbalahan pemikiran, adik-adik kita menjadi mangsa. Ukhwah fillah abadan-abada.**


EmoticonEmoticon