Nilai seorang huffaz...



Tiada erti sesuatu jika bukan kita yang menjadikannya bererti. Sama seperti daie, amanah yang dipikul cukup berat namun hanya menjadi 'hangat-hangat tahi ayam' jika tidak dilaksanakan. Memang peranan setiap Muslim di muka bumi Allah SWT ini mesti menjalankan amar ma'ruf nahi munkar tapi cuba kita lihat, berapa peratuskah golongan tersebut pada hari ini? Hanya sebilangan kecil sahaja. Hati-hati yang sensitif dan sedar terhadap masalah yang melanda Islam dan umatnya sahaja yang bangun dari tidur dan khayalan yang membinasakan diri.

Siapakah antara golongan-golongan ini? Beranikan diri untuk menyebutnya, wahai huffaz!!! Tiada istilah ketakutan dalam menyemai sebuah kemenangan untuk Islam. Biarpun nyawa menjadi taruhan ataupun caci maki yang kita dapat. Ingatlah, Allah SWT sentiasa bersama hamba yang setia berada di atas jalan kebenaranNya dan menolong agamaNya. Andai gentar dan ketakutan yang menjadi penghalangmu dalam meneruskan perjuangan Rasulullah SAW ini, yakinlah Allah SWT ada sebagai pembela kita. Tetapi, andai sifat malas yang menguasai dirimu untuk tidak berjuang, lebih-lebih lagi dalam menegakkan syariat Allah SWT, sesungguhnya kamu telah memberi peluang keemasan kepada musuh-musuh Islam untuk menggantikan pos penting kamu itu.

Golongan huffazlah yang menjadi aset penting dalam arena dakwah kepada masyarakat umum pada hari ini selain kepada dirinya sendiri. Golongan huffazlah antara golongan yang dilihat seperti bayi yang baru lahir oleh mereka kerana di hatinya tersimpan 30 juzuk Al-Quran. Pemegang Kalamullah semestinya mempunyai hati yang bersih dan terhindar daripada sebarang kemungkaran dan kemaksiatan. Golongan huffaz amat dipandang tinggi dan hebat oleh masyarakat biasa dan melalui perspektif inilah para huffaz seharusnya memanfaatkan kelebihan atau keistimewaan yang dikurniakan kepada dirinya dengan sebaik-baiknya bukan menjadi fitnah kepada kesucian Al-Quran.

"Perjuangan itu 10 bahagian. Satu bahagian adalah menentang musuh-musuh lahir (orang kafir, munafik, yahudi dan nasrani) manakala 9 bahagian lagi adalah perjuangan menentang musuh batin (nafsu & syaitan) yang tiada hentinya iaitu sepanjang masa.."- kata-kata ulama'. Keizzahan seorang daie/pejuang agama Allah SWT terletak pada kekuatan dalaman iaitu hatinya. Apabila daie itu tidak menjaga hatinya, maka rosaklah dirinya, terfitnahlah Islam kerananya dan runtuhlah dakwah di tangannya. Hei daie yang huffaz!!! Kejayaan dakwah bukanlah terletak pada kepandaian seseorang daie itu berhujah, tetapi pada keikhlasan dan kebersihan hatinya. Maka, waspadailah hatimu selalu agar ia terselamat dari kekotoran nafsu yang menipu.

Tanpa bekalan ilmu yang mantap, usaha dakwah menjadi sia-sia. Sabda Nabi SAW : "Seorang faqih itu lebih ditakuti oleh syaitan berbanding 1000 orang 'abid" - hadith riwayat Tirmidzi. Tuntutlah ilmu selagi terdaya kerana daie yang menjadi idaman masyarakat pada akhir zaman ini ialah daie yang berkepimpinan dan pencetus kebangkitan ummah, sebagai penasihat, penggalak dan pendorong mereka. Pendek kata, daie profesional. Semua itu memerlukan kuasa ilmu. Dalam riwayat Al-Tabrani pula, Nabi SAW pernah bersabda : "Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan pada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam dalam urusan agama." Dakwah mesti berperancangan bukan kerja asal buat takpe. Kita perlukan ilmu tetapi berdasarkan tarbiyah dan Islam tertegak dengan kekuatan hujah. How? Kaifa? Macam mana? IMMAL KITAB WA IMMAL SUNNAH. Dan antara method untuk menjadi daie ialah..1- menjadi diri yang bersifat Rabbani bukan menjadi Tuhan.. 2-pastikan ada hujah dan tidak terpesong daripada pusaka Rasulullah SAW. Apa yang penting, belajar dan faham sirah perjuangan umat-umat terdahulu.

Perjuangan memang sukar dilalui, hebat dan dahsyatnya, terkadang meruntuhkan hati dan meranapkan jiwa. Tetapnya hati di jalanNya kerana yakin Allah pasti akan memudahkan urusan hidupnya, tetapi andai semangat itu hilang, jangan sesekali berundur dari perjuangan suci ini. Yakinlah bahawasanya Allah sentiasa bersama. Hakikatnya perjuangan dalam merebut janji manis Tuhan ini tidak semudah membalikkan tapak tangan. Ada turun naiknya, ada sakit pedihnya, ada manis pahitnya, andai rebah, bangkitlah semula, andai terluka, ingatlah akan janjiNya, andai lemah, singkaplah kembali sirah-sirah perjuangan para nabi dan sahabat yang mula-mula merasai perit getir perjuangan ini. "Jika kedua-dua sabar & syukur itu engkau jadikan kenderaanmu untuk menharungi kehidupan ini nescaya engkau akan selamat" - Saidina Umar Al-Khattab. Sabda Rasulullah SAW : "Sesaat kesabaran seseorang kamu di dalam medan jihad adalah lebih baik dari ibadah seseorang kamu yang dilakukan selama 60 tahun." Renung-renungkanlah ayat 47 dari surah Muhammad sebagai pembakar semangat. Hei Jiilul Quran!! Beranilah menghadapi segala ujian yang ditimpakan ke atasmu.

Justeru, jadilah seorang huffaz yang semakin tinggi ilmunya, semakin dekat dirinya kepada Allah SWT (ma'iyatullah). Gunakanlah kelebihanmu & ilmumu dalam mentarbiyah jiwamu agar hidup sentiasa dilimpahi rahmat pencipta dirimu. Berbekallah dengan iman dan taqwa kepada Allah SWT nescaya jalan dakwah yang kamu harungi ini mudah. Manfaatkanlah permata-permata ilmu sebagai satu wadah untuk mendekatkan hati kepada Allah SWT bagi mencapai redhaNya di samping mengukuhkan tali-tali ukhuwah. Ingatlah, ukhuwah tunjang kekuatan sesuatu jemaah. Jadilah seperti kaum muslimin beriman terdahulu yang sentiasa bersatu-padu berganding-bahu bersama para nabi dalam menentang kemungkaran dan jangan berpecah-belah.

AYUH SYABAB DAN FATAYAT!!! BANGKIT!!! Kembalilah kepada nawaitu serta matlamat sebenar kita diciptakan iaitu sebagai khalifah dan pemangkin dakwah Islamiah. Teruskanlah dakwahmu, demi Islam ditegakkan, jihad sebagai jalan, ujian sebagai kekuatan, syahid menjadi idaman bagi memburu kebahagiaan dari Tuhan yang tersayang. Jadilah huffaz yang berperanan kepada ummah kerana nilaimu amat berharga!!!

"HUFFAZ PEMANGKIN DAKWAH ISLAMIAH!!!"


EmoticonEmoticon