PENGHALANG-PENGHALANG DALAM MENUNTUT ILMU

Ilmu adalah cahaya yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Tidak diragukan lagi kedudukan orang yang berilmu disisi Allah SWT adalah lebih tinggi beberapa darjat. Hanya orang-orang yang berilmu & berakal iaitu manusia dapat memahami kebesaran Allah SWT melalui penciptaan alam semesta beserta segala isinya.

Demikian mulianya kedudukan orang yang berilmu sehingga Rasulullah SAW meriwayatkan dalam sebuah hadith shahih :

“Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu maka Allah mudahkan jalannya menuju syurga. Sesungguhnya malaikat akan membuka sayapnya untuk orang yang menuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya seorang yang mengajarkan kebaikan akan dimohonkan ampun oleh makhluk yang ada di langit mahupun di bumi hingga ikan yang berada di air. Sesungguhnya keutamaan orang alim atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan di atas seluruh bintang. Sesungguhnya para ulama itu pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar, tidak juga dirham, Yang mereka wariskan hanyalah ilmu. Dan barangsiapa yang mengambil ilmu itu, maka sungguh, ia telah mendapatkan bahagian yang paling banyak.” - diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Imam Abu Dawud, at-Tirmidzi, Ibnu Majjah dan Ibnu Hibban.


Siapakah orang yang tidak mahu didoakan oleh malaikat dan makhluk-makhluk Allah SWT yang ada di bumi?? Sungguh hal tersebut adalah suatu kemuliaan yang besar.

Seperti kata pepatah “No pain, no gain” (tidak ada yang akan kita dapat tanpa pengorbanan) , maka untuk mencapai kemuliaan yang bernama ilmu itu pasti ada dugaan dan cabaran yang harus kita hadapi.

Berikut adalah beberapa faktor atau penyebab yang dapat menghalang sampainya kemuliaan ilmu kepada seseorang:

1. Niat yang rosak

Niat adalah dasar dan rukun amal. Apabila niat itu rosak maka rosaklah seluruh amalannya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW “Amal itu bergantung kepada niatnya, dan seseorang akan mendapatkan apa yang diniatkan…” - hadith shahih riwayat Al-Bukhari


Imam Malik bin Dinar (wafat th.130 H) rahimahullah mengatakan,”Barangsiapa mencari ilmu bukan kerana Allah Taala maka ilmu itu akan menolaknya hingga ia dicari hanya kerana Allah Taala.”

2. Ingin Terkenal dan Ingin Tampil

Cuba kita ingat mungkin terkadang saat kita belajar terbit di hati kita “Supaya dapat rangking 1 atau jadi juara umum dan dikenali orang?? Ya, ingin terkenal dan ingin tampil adalah penyakit kronik. Tidak seorang pun yang akan selamat darinya kecuali orang-orang yang dijaga oleh Allah SWT. Perkara ini juga diterjemahkan sebagai riak. Rasulullah SAW sangat bimbang sekiranya riak ini terkena pada ummat baginda kerana penyakit riak ini amat halus dan muncul tanpa kita sedari. Rasulullah SAW juga mengibaratkan bahawa penyakit riak itu seperti semut hitam, di batu hitam pada malam yang gelap. Bayangkan, sudah pasti kita tidak nampak bahawasanya ada semut hitam di atas batu yang hitam itu. So, be careful…

Rasulullah SAW bersabda, “...sesuatu yang paling aku takutkan menimpa kalian adalah kesyirikan dan syahwat tersembunyi.” - hadith shahih riwayat Thabrani


Mahmud bin Ar-Rabi berkata : “Syahwat yang tersembunyi bermaksud seseorang itu merasa senang apabila kebaikannya dipuji oleh orang lain.” Hendaklah kita berhati-hati terhadap penyakit ini, kerana Allah SWT mengingatkan kita dalam sebuah hadith yang disampaikan oleh Rasulullah SWT :

“Barangsiapa yang menyiarkan amalnya, maka Allah SWT akan menyiarkan aibnya. Dan barangsiapa yang beramal kerana riak maka Allah SWT akan membuka niatnya di hadapan manusia pada hari kiamat.” – hadith shahih riwayat Bukhari. Wa Naudzubillahi mindzalik.

3. Tidak memanfaatkan atau menghadiri majlis ilmu


Jika kita tidak memanfaatkan majlis ilmu, kita akan menggigit jari sepenuh penyesalan. Kalau kebaikan yang ada di majlis ilmu hanya berupa ketenangan dan rahmat Allah yang meliputi mereka, maka dua alasan itu saja seharusnya sudah cukup sebagai pendorong untuk menghadirinya. Apalagi jika seseorang mengetahui bahawa orang yang menghadiri majlis ilmu insyaAllah akan mendapat dua keuntungan, iaitu ilmu yang bermanfaat dan ganjaran pahala di akhirat!

4. Beralasan dengan banyaknya kesibukan


Alasan ini seringkali dijadikan syaitan sebagai alasan menjadi penghalang dalam menuntut ilmu. Jika dihitung, Allah SWT memberikan kita 24 jam sehari, 8 jam untuk bekerja, 8 jam untuk istirahat, masih ada 8 jam lagi… apa yang selama ini telah kita lakukan untuk memanfaatkan sisa waktu itu???

5. Mensia-siakan kesempatan belajar di waktu lapang.


Allah Taala berfirman : ”Dan beribadahlah kepada Rabb-mu hingga datangnya kematian.” (QS.Al-Hijr : 99)

Kerana itu, marilah kita semua para remaja, mahupun orang tua, lelaki mahupun wanita, bertaubatlah kepada Allah Taala atas apa yang telah berlalu. Sekarang, marilah menuntut ilmu, menghadiri majlis ta’lim, belajar dengan sungguh-sungguh dan menggunakan kesempatan sebaik-baiknya sebelum ajal tiba.

Ketika ditanya kepada Imam Ahmad, ”Sampai bilakah seseorang harus menuntut ilmu?” Beliau pun menjawab ”sampai meninggal dunia.”


6. Bosan dalam menuntut ilmu

Di antara penghalang menuntut ilmu adalah merasa bosan dan beralasan dengan banyak. Ilmu yang kita cari seharusnya mendorong kita untuk mengetahui keadaan kita sendiri. Kita tidak akan dapat mengatasi pelbagai masalah dan musibah yang menimpa kecuali dengan meletakkannya pada timbangan syariat. Seorang penyair mengatakan:

” Syariat adalah timbangan semua permasalahan dan saksi atas akar masalah dan pokoknya” – kitab Ishlaahul Masaajid minal Bida’ wal Awaa’id hal.110, karya al-Allamah Muhammad bin Jamaluddin al-Qasimi rahimahullah


Bosan itu adalah penyakit. Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit melainkan ada ubatnya. Tidaklah musibah terjadi melainkan ada penyelesaiannya dalam Al-Quran dan Sunnah. Oleh kerana itu, kita harus melawan rasa bosan yang kadang-kadang timbul sewaktu kita belajar. Belajarlah sehingga kita merasai kenikmatan ilmu itu..


7. Merasakan Diri Hebat


Maksudnya adalah merasa bangga apabila dipuji dan merasa senang apabila mendengar orang lain memujinya.

Allah Taala berfirman : ”Maka janganlah kamu merasa dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (QS. An-Najm : 32)

8. Tidak Mengamalkan Ilmu


Tidak mengamalkan ilmu merupakan salah satu sebab hilangnya keberkatan ilmu. Allah Taala benar-benar mencela orang yang melakukan ini dalam firmanNya : ”Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan hal yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian Allah bahawa kamu mengatakan apa saja yang tidak kamu kerjakan (QS.Ash-Shaff : 3)

9. Putus Asa dan Rendah Diri

Allah SWT berfirman : “Dan Allah mengeluarkankamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.” (QS. An-Nahl : 78)

Putus asa dan rendah diri adalah salah satu penghalang ilmu. Semua manusia diciptakan dalam keadaan sama yang tidak mengetahui sesuatu pun. Janganlah merasa rendah diri dengan lemahnya kemampuan menghafal, lambat membaca atau cepat lupa.

Selain itu menjauhi maksiat adalah sebab paling utama dalam menguatkan hafalan dan memperoleh ilmu.

10. Bertangguh

Yusuf bin Asbath rahimahullah mengatakan : ”Muhammad bin Samurah pernah menulis surat kepadaku seperti berikut : ” Wahai saudaraku janganlah sifat menunda-nunda menguasai jiwamu dan tertanam di hatimu kerana ia membuatmu lesu dan merosakkan hati. Ia memendekkan umur kita, sedangkan ajal segera tiba… Bangkitlah dari tidurmu dan sedarlah dari kelalaianmu! Ingatlah apa yang telah engkau kerjakan, engkau perlekehkan, engkau sia-siakan, engkau hasilkan dan apa yang telah engkau lakukan. Sungguh semua itu akan dicatat dan dihisab sehingga seolah-olah engkau terkejut dengannya dan engkau sedar dengan apa yang telah engkau lakukan, atau menyesali apa yang telah engkau sia-siakan.”- kitab Iqtida al-Ilmi al’amal


11. Belajar dengan Ahlul Bid’ah

Seorang penuntut ilmu tidak boleh belajar dengan ahlul bid’ah kerana ahlul bid’ah merasa redha terhadap sesuatu yang menyelisihi agama Allah SWT, seolah-olah ia mengatakan bahawa Allah Taala belum menyempurnakan agama ini dan Rasulullah SAW belum menyampaikan seluruh risalah.

*bid'ah: sesuatu yang direka-reka

12. Tergesa-gesa ingin memetik buah ilmu.

Seorang penuntut ilmu tidak boleh tergesa-gesa dalam usahanya memperoleh ilmu, kerana belajar adalah proses seumur hidup. Terutama yang berkaitan dengan masalah agama tidak cukup dilakukan dalam masa satu atau dua tahun belajar.

Imam Yahya bin Abi Kathir rahimahullah mengatakan,”Ilmu tidak boleh diperoleh dengan tubuh yang dimanjakan”

Imam Ibnu Madini rahimahullah mengatakan, “Dikatakan kepada Imam As-Sya’bi ‘Dari mana anda peroleh semua ilmu ini?’ Beliau menjawab, ‘dengan tidak bergantung pada manusia, menjelajahi di serata negeri, bersabar seperti sabarnya benda mati, dan berpagi-pagi mencarinya seperti pagi-paginya burung gagak.”

Dipetik daripada : Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga, karya Yazid bin Abdul Qadir Jawas (Pustaka At-Takwa : 1428 H)


EmoticonEmoticon