SUBUH DQ????

Tajuk lagu : Peristiwa Subuh

Nyanyian : Raihan



Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi

berkumandang suara azan

mendayu memecah sepi

selang-seli sahutan ayam

tetapi insan kalaupun ada hanya

mata yang celik dipejam lagi

hatinya penuh benci berdengkurlah kembali

begitulah peristiwa di Subuh hari

suara insan di alam mimpi

Ayuh bangunlah tunaikan perintah Allah

sujud mengharap keampunan-Nya

bersyukurlah bangkitlah segera

moga mendapat keredhaan-Nya

begitulah peristiwa di Subuh hari

setiap pagi setiap hari



Lirik nasyid di atas betul-betul mengingatkan ana kepada ‘Bumi Barokah’ yang pernah ana diami suatu ketika dahulu. Fenomena Subuh. Mungkin ada yang berpendapat artikel ini amat tidak patut di’post’kan dalam blog ini, akan tetapi ana berfikiran betapa egonya diri kita andai tidak dapat menerima kritikan atau teguran sekiranya perihal tersebut dapat memberi manfaat kepada diri kita sendiri. Ana yakin sahabat dan sahabiah ana lebih masyi tentang ayat 216 daripada surah al-Baqarah dan tidak perlu untuk dihuraikan lagi.


Situasi masjid



Cukup-cukup menyedihkan bagi setiap jemaah Subuh yang selalu bertandang ke masjid. Dengan bilangan saff yang tidak seperti saff solat fardhu yang lain dan kadang-kadang 2 saff pun tidak penuh. Ya Tuhan, ke mana perginya warga ‘Bumi Barokah’??? Di manakah mereka solat??? Tidak kira pelajar banin mahupun banat. Tampar muka tanya diri. Masjid indah yang menjadi tarikan setiap kali pengunjung datang hanya di’gah’kan oleh burung-burung yang setia dan hamba-hambaNya yang mengejar untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan-Nya, insya-Allah.



Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara berjemaah : “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di akhirat kelak.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Jagalah solat Subuh kerana ia menggerunkan kaum kafir kerana kesatuan kita dan menjadi lambang kekuatan kita umat Islam.



Hari minggu



Virus ‘hari minggu cuti jugaklaa’ semakin menyerang segelintir warga ‘Bumi Barokah’. Sepatutnya, dengan ketiadaan waktu kuliah di siang hari lebih memberi peluang keemasan, intan dan berlian untuk mengimarahkan lagi suasana Subuh khususnya dan juga solat-solat lain secara berjemaah di masjid. Teringat kuliah Subuh yang pernah disampaikan oleh mantan exco PERKEMAT 07/08, waktu tu hari minggu(Ahad), tazkirah yang disampaikan oleh beliau mengenai keutamaan solat Subuh. Nak dijadikan cerita, beliau kaitkan kisah Bilal bin Rabah dengan keadaan umat Islam. Situasi Bilal yang melaungkan kalimah ‘Ahad!!, Ahad!!, Ahad!!’ kerana tegar mempertahankan aqidahnya untuk tetap bersama Islam, akan tetapi ‘Ahad!!, Ahad!!, Ahad!!’ yang dilaungkan oleh umat Islam pada hari ini adalah kerana ingin memberitahu bahawa ’excuse’kanlah untuk solat Subuh. Masya-Allah wa na’udzubillah min dzalik.



Sahabat sahabiah yang amat ana kasihi,



Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seseorang Muslim, apabila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh Gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul. Oleh sebab itu Baginda SAW telah mengkhususkan solat Subuh dengan beberapa kelebihan yang tidak ada pada solat-solat yang lain. Antaranya,



· Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya)..” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)



· Sabda Rasulullah SAW : “Seseorang mukmin yang mengerjakan solat Subuh selama 40 hari secara berjemaah, akan diberi oleh Allah dengan dua kebebasan, iaitu : *dibebaskan daripada api neraka

*dibebaskan daripada nifaq(sifat munafik)



· Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).



· Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu Subuh merupakan antara sunnah Rasulullah SAW. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkanlah kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah SWT yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah SWT.

Kita semua sudah makruf mengenai peribadi Rasulullah SAW yang bersifat ma’sum. Setiap hajat yang dipintanya pasti akan dikabulkan oleh Allah SWT. Tidak ada hijab antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT. Waktu Subuh adalah waktu yang afdhal untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan Allah SWT. Tidakkah kita merasa ingin merebutnya???



Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya, dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)



Ikhwan wa akhowati,



Hayatilah hikmah-hikmah yang terdapat di sebalik solat Subuh. Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seluruh isinya. Dalam hadith riwayat Imam at-Tirmidzi: “Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”Begitulah keistimewaan solat Subuh.



Apakah yang menghalang kita untuk tidak solat Subuh secara berjemaah? Atau paling kurang kalau tidak secara berjemaah pun, bukan ‘Subuh Gajah’ setelah dikejutkan oleh sahabat di sisi.



Retorik ke???



Jangan hanya kerana ada program syadid seperi Ribathul Mawaddah, Haluan Siswa, HAFAZ, Interfames dan seumpama dengannya barulah solat Subuh secara berjemaah di masjid terjaga. Sebaliknya, tanamlah dalam diri untuk istiqomah dalam mengerjakan solat Subuh berjemaah atau solat Subuh awal kerana kenikmatan tersebut tidak dapat diungkapkan melainkan hanya kepada si pelakunya. Ketenangan dan kedinginan suasana di saat matahari hendak terbit, hanya Tuhan yang tahu.



Betapa besarnya ganjaran Allah SWT yang menanti bagi mereka yang solat Subuh berjemaah khususnya di masjid. Apakah alasan yang hendak diberikan oleh mereka yang tidak hadir ke masjid di waktu Subuh? Banin diberikan kemudahan basikal oleh Allah SWT. Tidak cukup dengan itu, stamina yang kuat yang tiada tandingan dengan kaum hawa. Kalau tak ada basikal sekalipun masih boleh membonceng bersama teman-teman mereka. Banat pula, asrama tidaklah sejauh asrama banin. Corong tempat azan dilaungkan pun tidak sampai sebatu untuk didengari. Itu kalau hari tak hujan, jemaah masih sedikit. Kalau hari hujan?(jawab sendiri ye..) Ana cukup kagum dan terharu dengan golongan ‘istimewa’ yang masih boleh melangkahkan kaki untuk sama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid tak kira hari hujan ataupun tak walaupun nikmat penglihatan tidak ada. Kita???!!!


Ketahuilah, solat Subuh merupakan sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Pada hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, hanya ibadat yang akan menerangi pelakunya. Seperti yang telah diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari).



Muhasabah diri, kenali diri, perbaiki diri. Peliharalah solat kerana solat merupakan tiang agama. Alasan apakah lagi yang ingin diutarakan? Jika kita di hadapan Allah SWT nanti, dengan alasan yang bagaimanakah akan kita jawab? Tepuk dada tanya iman bukan tanya Aiman. Jadikanlah permulaan hidup kita pada setiap hari permulaan yang membawa berkat, rahmat, kepuasan dan ketenangan.



Apabila terasa diri diawasi Tuhan, diri akan merasa berdosa setiap waktu, jiwa menderita dengan dosa, rasa syukur dengan nikmat-Nya, rasa hina diri dengan Tuhan dan itulah tanda diri kita memiliki sifat kehambaan. Berusahalah menjadi muslim yang sejati. Setiap usahamu akan dinilai di akhirat kelak dan menjadi saksi kepada Allah Taala. Insya-Allah.



P/S : Artikel ini ditujukan khusus kepada sahabat sahabiah dan adik-adik persijilan dan juga diri ana yang dhoif serta tidak lupa buat seluruh warga ‘Bumi Barokah’, tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana individu . Semoga kita sentiasa berada dalam pandangan-Nya dan jiwa sentiasa mendapat tarbiyah daripada-Nya. Semoga barokah dan rahmah Allah SWT kembali menyinari kampus dan diri kita, ameen.


EmoticonEmoticon