Salam Imtihan

‘Demam imtihan’ kembali melanda warga mahasiswa di Negeri Al-Quran ini. Untuk Pengetahuan sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah sekalian, tarikh peperiksaan Al-Quran Syafawi dan Al-Quran Tahriri telah ditunda ke 23 dan 24 November 2009,manakala bagi madah Tajwid,English dan Understanding Islam telah ditukar ke tarikh 16,17 dan 18 November ini .Mungkin sesetengah mahasiswa DQ terutamanya bagi pelajar diploma dan ijazah tidak terasa bahang imtihan ini. Di sana-sini, majoriti dari kita sudah mula bercakap-cakap tentang fatrah imtihan yang makin mendekat dan tidak kurang juga yang mula merancang pelbagai strategi untuk mencapai pointer yang elok bagi semester ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semester kedua inilah merupakan detik-detik kritikal dan yang paling mencabar bagi setiap pelajar Program Persijilan DQ-UIAM . Namun, apa yang pasti, walau apa pun cara atau strategi, kita sama-sama inginkan kecemerlangan dalam imtihan kali ini.

Saban tahun, setiap kali menjelangnya fatrah imtihan, kita sering diajak untuk merenung kembali diri masing-masing sejauh mana persiapan kita untuk menghadapi imtihan yang menjelang. Dan begitu juga saban semester, kita diajak bermuhasabah tentang kelemahan atau kecuaian kita pada musim imtihan pada semester sudah. Setiap kali berakhirnya musim imtihan, ramai dari kita yang menaruh azam dan tekad untuk melakukan yang lebih baik dalam fasa imtihan seterusnya. Namun sayang, tidak ramai dari kita yang mampu mengekalkan azam tersebut pada fasa imtihan yang seterusnya.

Sahabat yang dikasihi,
Sesungguhnya kecemerlangan dalam peperiksaan merupakan suatu perkara yang cukup penting dalam diari kehidupan seorang mahasiswa khususnya mahasiswa muslim. Keperluan umat Islam kepada mahasiswa muslim yang cemerlang dari sudut akademik dan pemahaman terhadap Al Quran itu sendiri merupakan suatu yang bersifat mendesak. Ini lebih-lebih lagi dalam keadaan umat Islam yang tidak keterlaluan jika dikatakan ketinggalan dalam banyak bidang. Peri pentingnya kepada kecemerlangan akademik dapat kita soroti daripada lipatan sirah agung tokoh ilmuwan Islam sendiri. Nama-nama seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Khindi dan banyak lagi tokoh-tokoh cendekiawan muslim cukup dikenali baik dalam dunia Islam mahupun barat. Mereka bukan sahaja faqih dalam ilmu agama, tetapi juga turut menguasai pelbagai ilmu alat yang lain seperti perubatan, kira-kira dan astronomi.

Justeru, adalah menjadi kewajipan bagi setiap dari kita yang bergelar mahasiswa muslim serta bakal-bakal huffaz teknokrat untuk menguasai dalam apa jua bidang untuk mengembalikan keagungan tamadun ilmu kepada dunia Islam. Baginda Ar-Rasul (saw) telah mengajarkan kepada kita melalui sirahnya yang mulia bahawa sesungguhnya umat Islam tidak pernah mengenal erti usaha melainkan bersama-sama usaha itu adanya mujahadah dan kesungguhan. Renungilah peristiwa kesungguhan Nabi (saw) berdakwah di Thaif sehingga baginda dilempar dengan batu, namun untuk baginda berputus asa, tidak sama sekali.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama lemparkan persoalan kepada diri masing-masing, adakah aku telah bersungguh-sungguh dalam jihad ilmu ini sebagaimana kekasihku, Muhammad (saw) telah bersungguh-sungguh dalam menyampaikan amanah risalah? Dan adakah aku telah merasai peritnya mujahadah dalam kesungguhanku sebagaimana kekasihku, Muhammad (saw) merasai peritnya mujahadah dalam kesungguhannya?

Ya Allah, bantulah kami dalam mujahadah kami dan tetapkanlah niat kami semata-mata keranaMu sebagaimana ikrar kami; sesungguhnya solat kami, ibadah kami, kehidupan kami dan kematian kami adalah semata-mata keranaMu, Tuhan sekelian alam...

Kami di saf kepimpinan I.Q.Rac mengucapkan Salam Mujahadah dan selamat menghadapi imtihan bagi semester ke-2 ini kepada sahabat-sahabat seperjuangan banin dan banat. Moga-moga kejayaan yang kita idam-idamkan dapat menjadi kenyataan. Siiru 'ala Barakatillah.


Disediakan oleh: Ketua Biro Penerbitan Dan Informasi I.Q.RaC

1 comments:

selamat myambut periksa...

wat elok2 sume...
mulakan dgn basmalah


EmoticonEmoticon