Belajar Ilmu Ikhlas


"Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.

"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."

"Tak payah, bawa sahaja karung guni."

"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.

"Mari kita ke pasar!"




Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.

Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

"Cukup?"

"Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik."




Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.

"Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?"

"Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?"

"Ya, ya..." kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.




"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.

"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.

"Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.




Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.

"Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?"

"Tak buat apa-apa."

"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.

"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas..."

"Bagaimana?" tanya anak murid itu kehairanan.




"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."

"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu..."

"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"

"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat..."

"Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar murid itu.

Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.


petikan dari www.iluvislam.com

Sifat ikhlas sememangnya amat sukar ditanam dalam hati apabila beramal.
Ikhlas ialah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan niat diri dari segala segala perhatian manusia. Seringkali kita membicarakan mengenai hakikat ini, namun kita tidak boleh berhenti membicarakan mengenainya sehingga kita berjaya mencapai hakikat tersebut.

Sesunngguhnya, ikhlas itu ialah seperti seekor semut hitam yang merayap di balik batu hitam di malam yang hitam pekat.Ia memang sukar diperoleh,namun kita perlu berusaha mencapainya kerna ikhlaslah syarat sesuatu amalan kita diterima oleh ALLAH S.W.T. Oleh kerana itu, ganjaran orang yang ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan amatlah tinggi. Para malaikat boleh mengira setiap helaian daun yang gugur, setiap buturan pasir di lautan, dan sebagainya, namun pahala orang yang ikhlas tidak dapat dihitung nilainya di sisi Allah S.W.T. Hanya DIA sahaja yang mengetahui.

Untuk mendapat hakikat ini, kita tidak boleh lari daripada mencontohi Rasullullah S.A.W dan para sahabat baginda. Setiap kali melakukan amalan, periksa dahulu niat kita sebelum ,semasa dan selepas melakukannya, sekiranya ada timbul perasaan riyak walaupun sedikit, beristighfar dan ungkapkanlah kalimah laahaulawalaaquwwataillabillah.

Semoga bermanfaat untuk renungan kita bersama..
"Berilah peringatan, sesunnguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang beriman"

1 comments:

salam persahabatan..

ikhlas memang sukar diperolehi..ia umpama mencari sebutir permata di dasar lautan yg penuh dgn 'sea hunter'..

bak kata ummi ana, ilmu dan amal ni walau banyak mana sekalipun, tetapi jika disertai dengan riak dan tidak ikhlas, di akhirat kelak, sikit pun x laku bila berdepan dengan Yang Maha Mengadili..

oleh itu..sahabat2 sekalian, apabila kita dikurniakan peluang untuk menuntut ilmu dan beramal dgn ilmu yg dituntut itu, lakukanlah dengan hati yang ikhlas krna Allah Ta'ala..insyaAllah berkat akan diperolehi.

*tahniah kpd editor kerana berjaya buat post terbaru..lama ana tunggu bila la nak keluar new post ni.tahniah2.


EmoticonEmoticon