Adab Membaca Al-Quran seperti Tafsir Surah Al-A'araf

Adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi:

1. Berniat ikhlas kerana Allah SWT.


2.Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.


3.Membaca dalam keadaan berwudhuk.


4.Mengadap ke arah kiblat.


5.Memulakan dengan at-Ta’awwuz.


6.Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat.Walaupun begitu bagi yang ingin mengahafaznya diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.


7.Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain.
Al-Imam al-Ghazali mengatakan jika kita bimbang akan timbul riyak iaitu ingin menunjuk-nunjuk,maka membaca secara perlahan itu lebih utama.Sebaliknya jika dapat menjaga dari timbulnya penyakit tersebut, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring.- Kitab Ihya` Ulumuddin.

8.Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.


9.Membaca dengan mentadabbur dan menangis.

Tahukah Anda!!!Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh tentang sifat Allah menurut tafsiran orang-orang kafir.Sebagai contoh orang-orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30.Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-hambaNya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maaidah.

10.Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan tentang sesuatu yang amat penting.


11.Membaca ayat-ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dahulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.


12.Beramal dengan ajaran al-Quran itu.


13.Sentiasa membaca al-Quran terutamanya pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu.
Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang-orang yang lalai”.no 2085, hadith sahih mengikut syarat Muslim

14.Berusaha menghafaz ayat-ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat-ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.


15.Meletakkan target untuk mengkhatamkan al-Quran itu..


16.Memanjatkan doa sebaik tamat dari membaca al-Quran kerana waktu itu merupakan antara waktu mustajab doa.


17.Dilarang membaca al-Quran di tempat-tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas dan sebagainya.
Menurut Qadhi Beirut al-Syeikh Ab Latif dalam kitab al-Tabyiin Fi AhkamTilawat al-Kitab al-Mubin terdapat adab-adab selain dari yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi iaitu :

18. Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup al-Hajar al-Aswad kerana ia juga merupakan hadiah Allah kepada si pembaca Al-Quran tersebut.


19. Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada al-Hajar al-Aswad.


20.Meletakkan al-Quran pada tempat yang tinggi.


21.Berusaha untuk menghayati isi al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis.


22.Tidak memberi salam pada seseorang yang sedang membaca al-Quran.
Kalam Terakhir dari Pengerusi I.Q.RaC 08/09

Kalam Terakhir dari Pengerusi I.Q.RaC 08/09

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

“We did indeed offer the trust to the Heavens ,to the Earth and to the mountains (to bear it) but they declined to bear it and were afraid that they would not be able to fulfill it (for they do not have innate disposition to bear it).And (then) man (with the innate disposition in him) undertook to bear it.(Remember that) man is prone to do injustice and to do things in the manner of the ignorant ”
(Surah AlAhzab:verse 72)

Segala puji bagi Allah pencipta alam semester tersimpannya seribu satu rahsia disebalik keindahan ciptaanNYa. Selawat dan salam buat Junjungan mulia Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w yang memastikan survival ummah ini terus dalam kegemilangan dan kecemerlangan. Tak lupa juga buat ahli keluarga baginda,para sahabat,para tabi’e dan tabi’ tabien seterusnya jiwa-jiwa yang meneruskan mata rantai perjuangan Rasulullah yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas sehinggalah terhapusnya fitnah diatas muka bumi ini. Salam perjuangan buat mereka yang mencintai Islam sebagai mukadimah warkah terakhir dari saya mewakili saf kepimpinan I.Q.RaC 08/09.

Sahabat sahabiah seperjuangan,

Saya mengucapkan setinggi-tingi kesyukuran kehadrat Ilahi telah memilh saya dan rakan seperjuangan menjadi salah seorang tenteraNya. IQRaC sebagai satu wadah buat saya dan rakan-rakan mengimplementasikan Islam sebagai satu cara hidup. Disinilah kami memungut mutiara tarbiah melalui sistem yang disusun agar lahirnya Sultan Muhammad AlFateh yang kedua. IQRaC sebagai medan latihan buat kami sebelum memasuki gerbang merawat masyarakat dan mendidik. Disilah kami belajar perkara baru sebagai seorang huffaz teknokrat.

Dunia kepimpinan penuh dengan ombak bergelora kadang-kadang diuji dengan ujiaan membebankan terasa jiwa dan emosi terumbang ambing, cemuhan dan kritikan perkara biasa buat seorang duat andai Nabi Muhammad dicemuh siapalah kita untuk sentiasa diagungkan. Biarlah kita dihina dihadapan manusia tapi mulia disisiNya, biarlah titis peluh dan keringat yang tak seberapa ini akan menjadi saksi bahawa kitalah penegak kebenaran. Itulah jalan perjuangan tak lekang dengan ujiaan perasaan dan jiwa ditambah dengan masalah kewangan, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya namun disitulah terbinanya bibit kemanisan ukhuwwah. Teman sejati wujud dikala senang dan susah, berpuluh-puluh sms kian meziarahi telefon tatkala diri berasa lemah. Saya bersyukur memiliki teman sejati didunia dan diakhirat. Terima kasih kepada anda semua!!!

Genap satu tahun kami mentadbir IQRaC bermula 27 Mac 2008 sehinggalah 27 Mac 2009 beribu kenangan dan pengalaman diperolehi. Dunia ini ibarat roda kadang-kadang diatas kadang-kadang dibawah. Moga pengalaman ini menjadi bekalan dalam mendepani dunia pancaroba sebagai seorang doktor merawat iman lesu melalui method dakwah fardiah dan jamaah yang disusun. Itulah tugas kita sebenar wahai huffaz teknokrat menjalankan proses Islamisasi dibidang masing-masing. Biarlah masyarakat merasai keberadaan kita usahlah menjadi huffaz bisu. AlQuran hanya meniti dibibir semata-mata namun masyarakat tidak mendapat sedikit pun kilauan AlQuran walaupun hanya tempias. Ruginya masyarakat dengan lahirnya hufffaz seperti ini. Islam menjadi fitnah disebabkan golongan agama sendiri. Non-muslim fobia terhadap Islam dek perangai umat Islam itu sendiri.

Warkah terakhir ini juga saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada bonda dan ayahanda yang memahami diri saya sejak ditaman Maahadi lagi, Ust. Taufiq selaku guru pensihat, Mantan YDP PERKEMAT DQ Akh Ihsan Fadhli dan barisan exco, saf kepimpinan Perkemat 08/09,sayap kanan dan sayap kiri Pengerusi IQRaC, barisan perwakilan IQRaC 08/09, pihak pentadbir HEP, DQ & UIAM,adik-beradik usrah Wafda,adik-adik Hunafa’ dan buat sahabat-sahabiah yang menyokong kami tak lupa buat rakan-rakan setia menjadi pengkritik kehormat kami namun merekalah yang mengajar kami erti ketabahan, tanpa mereka jalan ini tak akan dirasai kelazatannya. Syukran ‘alla kullihal.

Saf Kepimpinan IQRaC 09/10

Buat adik-adik pewaris perjuangan Islam, saya dan abang-abang serta kakak-kakak mengharapkan kelab ini terus maju kehadapan dengan idea dan pendekatan yang baru. Dunia kepimpinan bukan satu tradisi tapi satu seni. Itulah ungkapan nasihat yang diungkapkan oleh Akh Luqman Nazari buat kami ketika induksi dulu. Jadilah seorang pemimpin yang sufi lagi haraki. Disini saya ingin kongsikan satu madah pujangga dari Abdullah Nasih Ulwan:

“ Wahai Anakku, jangan sibuk ingin memenangkan Islam dengan strategi semata-mata sedangkan basirahmu semakin menumpul dan ibadahmu semakin berkurang. Teladanilah Abdullah AlMubarakyang menggandingkan semangat jihadnya dengan ketaqwaan yang mutlah kepada Allah. Bukankah AlBanna itu seorang sufi lagi haraki”

Jagalah ibadat dan hubungan dengan Allah wahai adikku. Jalan ini penuh dengan onak dan duri. Jadikan Allah tempat pergantungan. Malammu tempat mengadu dan menangis kepada Sang Pencipta siangmu medan untuk bertempur. Tak cukup sekadar itu seimbangkanlah tarbiah dalam diri adik-adik dari segi ilmu, jasmani, pemikiran, fizikal dan mental. Seimbangkan antara tarbiah dan pengurusan biarlah ia bergerak seiringan. Setiap amal mestilah bertunjangkan kefahaman dan ikhlas kerana Allah. Yakinlah adik-adik mampu membawa bahtera ini jauh kehadapan andai ikatan ukhuwah sesama perwakilan kian utuh dari masa ke masa. Usah campur adukkan masalah peribadi dengan urusan kerja. Jadilah seorang proaktif dan rencam dalam melaksanakan amanah jangan salahkan oranglain andai dakwah kurang effective dan masalah baru timbul tapi salahkan diri kita adakah kita golongan bekerja??? Tidak lupa juga AlQuran dan akademik mestilah mantap jangan diabaikan. Sama-samalah menampung segala kekurangan agar adik-adik sentiasa dalam keizzahan dibawah naungan Ilahi.

Akhir kalam, saya mewakili barisan perwakilan memohon jutaan kemaafan andai ada salah silap ketika kami mengemudi bahtera ini,kebajikan terabai dan sebagainya. Tuntutlah hak sahabat semua didunia lagi janganlah dituntut di Padang Mahsyar kelak tatkala tiada tempat pergantungan melainkan rahmat Allah s.w.t. Harap maaf ampun dipinta. Doakan kami sentiasa istiqamah di atas jalanNYa semoga dikekalkan hidayah dan dirahmati Allah selalu. “ Sahabat yang dikasihi..marilah kita bersama..kita bina rabitah hati..mengisi..fitrah insani..merai cinta Nabi..” Sekian terimakasih. Salam ukhuwwah dan salam Perjuangan.. See you dIPT.

SUBUH DQ????

Tajuk lagu : Peristiwa Subuh

Nyanyian : Raihan



Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi

berkumandang suara azan

mendayu memecah sepi

selang-seli sahutan ayam

tetapi insan kalaupun ada hanya

mata yang celik dipejam lagi

hatinya penuh benci berdengkurlah kembali

begitulah peristiwa di Subuh hari

suara insan di alam mimpi

Ayuh bangunlah tunaikan perintah Allah

sujud mengharap keampunan-Nya

bersyukurlah bangkitlah segera

moga mendapat keredhaan-Nya

begitulah peristiwa di Subuh hari

setiap pagi setiap hari



Lirik nasyid di atas betul-betul mengingatkan ana kepada ‘Bumi Barokah’ yang pernah ana diami suatu ketika dahulu. Fenomena Subuh. Mungkin ada yang berpendapat artikel ini amat tidak patut di’post’kan dalam blog ini, akan tetapi ana berfikiran betapa egonya diri kita andai tidak dapat menerima kritikan atau teguran sekiranya perihal tersebut dapat memberi manfaat kepada diri kita sendiri. Ana yakin sahabat dan sahabiah ana lebih masyi tentang ayat 216 daripada surah al-Baqarah dan tidak perlu untuk dihuraikan lagi.


Situasi masjid



Cukup-cukup menyedihkan bagi setiap jemaah Subuh yang selalu bertandang ke masjid. Dengan bilangan saff yang tidak seperti saff solat fardhu yang lain dan kadang-kadang 2 saff pun tidak penuh. Ya Tuhan, ke mana perginya warga ‘Bumi Barokah’??? Di manakah mereka solat??? Tidak kira pelajar banin mahupun banat. Tampar muka tanya diri. Masjid indah yang menjadi tarikan setiap kali pengunjung datang hanya di’gah’kan oleh burung-burung yang setia dan hamba-hambaNya yang mengejar untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan-Nya, insya-Allah.



Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara berjemaah : “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di akhirat kelak.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Jagalah solat Subuh kerana ia menggerunkan kaum kafir kerana kesatuan kita dan menjadi lambang kekuatan kita umat Islam.



Hari minggu



Virus ‘hari minggu cuti jugaklaa’ semakin menyerang segelintir warga ‘Bumi Barokah’. Sepatutnya, dengan ketiadaan waktu kuliah di siang hari lebih memberi peluang keemasan, intan dan berlian untuk mengimarahkan lagi suasana Subuh khususnya dan juga solat-solat lain secara berjemaah di masjid. Teringat kuliah Subuh yang pernah disampaikan oleh mantan exco PERKEMAT 07/08, waktu tu hari minggu(Ahad), tazkirah yang disampaikan oleh beliau mengenai keutamaan solat Subuh. Nak dijadikan cerita, beliau kaitkan kisah Bilal bin Rabah dengan keadaan umat Islam. Situasi Bilal yang melaungkan kalimah ‘Ahad!!, Ahad!!, Ahad!!’ kerana tegar mempertahankan aqidahnya untuk tetap bersama Islam, akan tetapi ‘Ahad!!, Ahad!!, Ahad!!’ yang dilaungkan oleh umat Islam pada hari ini adalah kerana ingin memberitahu bahawa ’excuse’kanlah untuk solat Subuh. Masya-Allah wa na’udzubillah min dzalik.



Sahabat sahabiah yang amat ana kasihi,



Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seseorang Muslim, apabila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh Gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul. Oleh sebab itu Baginda SAW telah mengkhususkan solat Subuh dengan beberapa kelebihan yang tidak ada pada solat-solat yang lain. Antaranya,



· Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya)..” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)



· Sabda Rasulullah SAW : “Seseorang mukmin yang mengerjakan solat Subuh selama 40 hari secara berjemaah, akan diberi oleh Allah dengan dua kebebasan, iaitu : *dibebaskan daripada api neraka

*dibebaskan daripada nifaq(sifat munafik)



· Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).



· Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu Subuh merupakan antara sunnah Rasulullah SAW. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkanlah kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah SWT yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah SWT.

Kita semua sudah makruf mengenai peribadi Rasulullah SAW yang bersifat ma’sum. Setiap hajat yang dipintanya pasti akan dikabulkan oleh Allah SWT. Tidak ada hijab antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT. Waktu Subuh adalah waktu yang afdhal untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan Allah SWT. Tidakkah kita merasa ingin merebutnya???



Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya, dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)



Ikhwan wa akhowati,



Hayatilah hikmah-hikmah yang terdapat di sebalik solat Subuh. Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seluruh isinya. Dalam hadith riwayat Imam at-Tirmidzi: “Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”Begitulah keistimewaan solat Subuh.



Apakah yang menghalang kita untuk tidak solat Subuh secara berjemaah? Atau paling kurang kalau tidak secara berjemaah pun, bukan ‘Subuh Gajah’ setelah dikejutkan oleh sahabat di sisi.



Retorik ke???



Jangan hanya kerana ada program syadid seperi Ribathul Mawaddah, Haluan Siswa, HAFAZ, Interfames dan seumpama dengannya barulah solat Subuh secara berjemaah di masjid terjaga. Sebaliknya, tanamlah dalam diri untuk istiqomah dalam mengerjakan solat Subuh berjemaah atau solat Subuh awal kerana kenikmatan tersebut tidak dapat diungkapkan melainkan hanya kepada si pelakunya. Ketenangan dan kedinginan suasana di saat matahari hendak terbit, hanya Tuhan yang tahu.



Betapa besarnya ganjaran Allah SWT yang menanti bagi mereka yang solat Subuh berjemaah khususnya di masjid. Apakah alasan yang hendak diberikan oleh mereka yang tidak hadir ke masjid di waktu Subuh? Banin diberikan kemudahan basikal oleh Allah SWT. Tidak cukup dengan itu, stamina yang kuat yang tiada tandingan dengan kaum hawa. Kalau tak ada basikal sekalipun masih boleh membonceng bersama teman-teman mereka. Banat pula, asrama tidaklah sejauh asrama banin. Corong tempat azan dilaungkan pun tidak sampai sebatu untuk didengari. Itu kalau hari tak hujan, jemaah masih sedikit. Kalau hari hujan?(jawab sendiri ye..) Ana cukup kagum dan terharu dengan golongan ‘istimewa’ yang masih boleh melangkahkan kaki untuk sama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid tak kira hari hujan ataupun tak walaupun nikmat penglihatan tidak ada. Kita???!!!


Ketahuilah, solat Subuh merupakan sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Pada hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, hanya ibadat yang akan menerangi pelakunya. Seperti yang telah diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari).



Muhasabah diri, kenali diri, perbaiki diri. Peliharalah solat kerana solat merupakan tiang agama. Alasan apakah lagi yang ingin diutarakan? Jika kita di hadapan Allah SWT nanti, dengan alasan yang bagaimanakah akan kita jawab? Tepuk dada tanya iman bukan tanya Aiman. Jadikanlah permulaan hidup kita pada setiap hari permulaan yang membawa berkat, rahmat, kepuasan dan ketenangan.



Apabila terasa diri diawasi Tuhan, diri akan merasa berdosa setiap waktu, jiwa menderita dengan dosa, rasa syukur dengan nikmat-Nya, rasa hina diri dengan Tuhan dan itulah tanda diri kita memiliki sifat kehambaan. Berusahalah menjadi muslim yang sejati. Setiap usahamu akan dinilai di akhirat kelak dan menjadi saksi kepada Allah Taala. Insya-Allah.



P/S : Artikel ini ditujukan khusus kepada sahabat sahabiah dan adik-adik persijilan dan juga diri ana yang dhoif serta tidak lupa buat seluruh warga ‘Bumi Barokah’, tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana individu . Semoga kita sentiasa berada dalam pandangan-Nya dan jiwa sentiasa mendapat tarbiyah daripada-Nya. Semoga barokah dan rahmah Allah SWT kembali menyinari kampus dan diri kita, ameen.