MAJLIS KONVOKESYEN KE-19 DARUL QURAN

Rajin...Ahli sem yang saling membantu
Bermula 29 hingga 31 Julai yang lalu, satu majlis yang gilang gemilang telah diadakan di Kompleks Darul Quran JAKIM, KKB iaitu Majlis Konvokesyen Ke-19.

Majlis istiadat konvokesyen dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Masyitah Ibrahim pada 31 Julai yang bermula jam 9.30 pagi. Majlis ini menyaksikan penganugerahkan Diploma, Sijil Tahfiz DQ-UIAM dan Sijil Tinggi Tarannum Al-Quran kepada para graduan.

UKHUWAH SEMANIS MADU

Turun padang...Pengerusi IQRaC 10/11(kanan) turut membantu

Sepanjang majlis konvokesyen ini berlangsung, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang diadakan seperti pertandingan bola sepak, futsal, bola tampar dan kayak. Pasukan bola tampar IQRaC telah Berjaya berkongsi kedudukan di tempat ketiga bersama pasukan staf DQ. Tahniah diucapkan. Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan bola sepak DQ, DARQIS dan SYABAS(Syarikat Bekalan Air Selangor) turut menyaksikan kehebatan wakil IQRaC yang menyertainya. Natijahnya, ukhuwah setiap peserta semakin mantap. Jelas, pelbagai cara boleh dilakukan untuk ‘memaniskan’ ukhuwah, selari dengan salah satu ciri-ciri khusus Islam, thabat wa murunah.

Lincah...Akal yang sihat terletak pada badan yang sihat

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara" (al-Hujurat;10)

Majlis turut diserikan dengan ekspo jualan yang mendapat sambutan hangat daripada para siswa dan siswi DQ dan juga masyarakat berhampiran. Difahamkan gerai IQRAC merupakan antara gerai yang terlaris jualannya. Pada malam kemuncak Majlis Konvokesyen DQ, telah berlangsung Konsert Kesenian Islam. Kumpulan nasyid yang diminati ramai, INTEAM telah diundang. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan multimedia, deklamasi sajak dan dikir barat oleh pelajar DQ sendiri.

Merdu...Persembahan daripada kumpulan In-Team memeriahkan majlis

SUBURKAN BUDAYA ILMU

Majlis Konvokesyen DQ ke-19 ini secara tidak langsung telah menjadi batu loncatan kepada para graduan dan pembakar semangat buat siswa dan siswa DQ sendiri supaya lebih tekun dan gigih belajar demi mencapai keredaan Allah swt. Segulung diploma atau sijil tersebut bukanlah bermakna terhentinya perjuangan terutamanya dalam menuntut ilmu. Namun, ingatlah kata-kata pujangga Arab, “Ilmu yang tidak diamalkan seperti pohon yang tidak berbuah”.

Para graduan yang dilahirkan oleh bumi barakah Darul Quran ini sebenarnya bagaikan benih yang subur. Jika dilemparkan ke daratan akan tumbuhnya pohon yang subur, dan jika dicampakkan ke lautan akan terbentuk sebuah pulau. Begitulah bernilainya mereka. Masyarakat memerlukan “permata-permata” itu. Ayuh! Jangan biarkan ilmu yang dipelajari seperti kayu reput dimakan anai-anai. Tapi, jadikan seperti sang mentari yang memancarkan cahayanya.

INTIHA’
Allah swt berfirman dalam al-Quran al-Karim,
“Adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui?”
Ana percaya kebanyakkan pembaca akan menggelengkan kepala sambil mengatakan “Tidak” apabila turut diajukan soalan yang sama. Nah! Usah segan menuntut ilmu, usah segan menyampaikan ilmu.

Tenang...Aktiviti berkayak di Tasik Huffaz menenangkan fikiran


EmoticonEmoticon