SAHUR : Ibadah Yang Kian Dilupai


Memandangkan kita hanya tinggal beberapa langkah lagi untuk melangkah masuk dalam bulan Ramadan Al-Mubarak, kali ini BTK akan membawakan satu isu yang amat penting namun sering dilupakan dewasa ini.

Merujuk ayat 183 surah al-Baqarah, umat-umat terdahulu juga berpuasa dengan matlamat yang sama seperti dengan umat Nabi Muhammad SAW, yakni melahirkan ketakwaan kepada Allah. Sungguhpun demikian, Rasulullah SAW menjelaskan terdapat satu perbezaan besar dalam aspek pelaksanaan umat Baginda dan umat-umat terdahulu yakni bersahur. Berpandukan sebuah hadis Imam Muslim no.1836, beliau meriwayatkan hadis yang bermaksud: “beza antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah kita disyariatkan(disunatkan) bersahur”.

Dalam sebuah hadis lain, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” ( al-Bukhari no.789 dan Muslim no.1835). Walaupun begitu, berkat termasuk dalam perkara ghaib kerana ia tidak dapat dilihat, yang wajib kita imani. Maka, kita dianjurkan bersahur menepati syara’ supaya dapat menyemai iman dan takwa.


Selain itu, antara kaedah pelaksanaan bersahur yang sangat dituntut ialah sahur itu dilewatkan, selari dengan sunah Rasullulah SAW. Malah, para sahabat r.a yang bersahur bersama Rasullullah SAW menunaikan solat Subuh berjemaah selepas selesai bersahur. Mereka menyatakan tempoh masa antara sahur dan solat subuh adalah kadar membaca 50 ayat al-Quran.

Apa yang menyedihkan ialah umat islam dewasa ini menjadikan makan lewat malam (supper) sebelum tidur sebagai trend dan menganggap ‘ibadah’ ini sebagai ‘sahur moden’. Alasannya mudah yakni sukar bangun sahur sebelum subuh. Sedangkan Sheikh Ibrahim al-Bajuri di dalam kitab Hashiyah al-Bajuri menyatakan sahur bermula pada separuh kedua malam maka makan sebelumnya tidak mendapat pahala sunah. Jadi, menjelang Ramadhan ini, budaya ini harus ditinggalkan.


Andai dilihat di sudut saintifiknya, sahur dan melewatkannya adalah signifikan dan menepati waktu sarapan pagi. Malah kajian mendapati mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan gula dalam darah berbanding mereka yang jarang bersarapan pagi(Quran Saintifik, hlmn. 295). Walau bagaimanapun, islam menuntut kita beribadah semata-mata kerana kerana Allah Yang Maha Esa, sama ada kita mengetahui hikmah atau tidak di sebalik sesuatu amalan.

BIRO TARBIYAH DAN KEROHANIAN
~Synergy of Da'wah, Empowering the Ummah~


EmoticonEmoticon