Fathu Makkah : Aplikasi "Inqilabiah"



Sampainya di sempadan Kota Makkah al-Mukarramah, baginda sibuk membaca surah al-Fath. Berulang-ulang kali. Penuh pengharapan dan kesyukuran pada Ilahi, sekalipun kemenangan telah dijanjikan. Sesampainya di Dzu Tuwa, baginda terus menundukkan kepalanya tanda bersyukur. Tunduk, sehingga janggutnya mencecah belakang unta tunggangannya. Syukur yang tidak terhingga.

Sahabat diperintah untuk memasuki Makkah daripada empat penjuru. Sememangnya satu strategi yang bijak bagi mengelakkan pertumpahan darah dan melemahkan moral musyrikin Quraisy. Sedari awal sudah dipesan supaya seboleh-bolehnya elakkan pertumpahan darah. Jaminan keselamatan diberikan.

ISLAM TERTEGAK ATAS RUNTUHNYA JAHILIYYAH

Tongkatnya dihayun pada berhala-berhala dan tuhan-tuhan palsu di sekeliling Kaabah. Hayunannya padu. Cukup sekali, jatuh berderai binaan-binaan itu. Jatuh sekali dengan keegoon kaum Musyrikin yang enggan menerima Islam. “Tibalah sudah haq dan terhapuslah batil. Tibanya haq dan tidak akan datang kembali batil,” ucap baginda tatkala memecahkan berhala-berhala itu.

Kunci Kaabah diserahkan kepada Uthman ibn Talhah, sekalipun ketika itu beliau masih bergelar kuffar. Hikmahnya, biar amanah itu diberikan pada individu yang paling berhak dan mahir dalam mengendalikannya.

"Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat."(An-Nisa';58)

PEMAAF

Bilal diarahkan untuk memanjat bumbung Kaabah. Azan dilaungkan. Ramai bersyahadah. Kuffar yang dahulunya begitu anti pada nabi turut bersyahadah, menyatakan keislaman. Orang ramai berdiri di keliling Kaabah, ternanti-nanti ucapan nabi.


“Tidak ada tuhan melainkan Allah. Tiada sekutu baginya. Dia telah membuktikan kebenaran janjiNya. Dia menolong hambaNya. Dan dibinasakan bersendirian atas musuh-musuhnya yang bersatu. Segala perbalahan, segala dendam kesumat, atau menuntut bela tamatlah hari ini. Penjagaan Kaabah dan memberi minum orang-orang haji tetap berada di tangan orang-orangnya. Wahai orang-orang Quraisy, Allah telah menghapuskan sikap membangga-banggakan keturunan atau membesar-besarkan nenek moyang. Kerana
semua manusia adalah anak cucu Adam, dan Adam dari tanah.” Lalu, ayat 13 daripada surah al-Hujuraat pun dibaca.

"Wahai manusia! Sungguh kami telah menciptakan kamu semua daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti"(Al-Hujurat;13)

Wehdah terjalin. Dakwah tersebar. Jihad dilancarkan. Daulah dibentuk. Khilafah dibina.

INTIHA'

Bulan Ramadhan. Fath Makkah. Ramadhan 8 hijrah, runtuhnya jahiliyyah. Bulan Ramadhan bulan muhasabah, bulan meruntuhkan jahiliyyah.

Tapi, ini cerita Ramadhan zaman lapan hijrah yang lalu. Bagaimana dengan Ramadhan kali ini? Ramadhan hampir berlalu pergi, sudah runtuhkan belum sifat-sifat jahiliyyah yang ada pada mu? Termasukkah kita dalam golongan aidheen wal faizeen menjelang Syawal nanti, atau kita tetap diri kita yang asal, atau lebih dahsyat, jahiliyyah kita makin bertambah?
Renungan buat semua, dan buat diri ana terutama...

Sumber: Fiqh as-Sirah 3, ms 557-597, oleh Muhammad Said Ramadhan al-Buti

BIRO AKADEMIK IQRAC


EmoticonEmoticon