Seminar Profesionalisme Imam dan Khatib

Pada 24 Julai 2010, Sabtu bersamaan 12 Syaaban 1431 H, 7 orang pelajar DQ yang terdiri daripada 3 orang wakil IQRAC dan 4 wakil diploma telah menyertai seminar Profesionalisme Imam & Khatib bertempat di Auditorium Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Seminar yang dianjurkan oleh Lujnah Dakwah & Tarbiah PERKEMAT Perak turut dihadiri oleh para pelajar Maahad Tahfiz sekitar Perak.

Seminar Profesionalisme Imam & Khatib adalah sebagai persediaan menempuh bulan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Memandangkan potensi para pelajar Maahad Tahfiz yang sering dilantik sebagai imam tarawih di masjid-masjid mahupun surau.Seminar tersebut dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YB AlFadhil Ustaz Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Slot pertama yang dikendalikan oleh Dr Haji Mohd Fahmi bin Abdul Khair, Pensyarah Kolej Komuniti Gerik banyak menyentuh tentang Profesionalisme Imam. Slot kedua pula diteruskan oleh Ustaz Huri bin Alias, Imam 1 Masjid Daerah, Iskandari Pangkalan Hulu. Beliau menghuraikan teknik khutbah berkesan & peri budi khatib.

Akhirnya seminar ini diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta. Sebelum pulang, para pelajar DQ & MTQN Perak mengadakan sesi fotografi sebagai kenangan.

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Baru-baru ini telah diadakan Majlis Perlantikan Ketua Biro yang baru melibatkan dua biro iaitu Biro Akademik dan Biro Perhubungan Luar (B-PART).

Mereka yang dilantik ialah Muhammad Farhan Bin Baharuddin dan Muhammad Faris Bin Mohammed Basir.

Muhammad Farhan Bin Baharuddin diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua Biro Akademik, merupakan lepasan pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Selangor. Dan berasal dari Tanjung Malim, Perak.

Muhammad Faris Bin Mohammed Basir pula diamanahkan sebagai ketua Biro Perhubungan Luar (B-PART).Berasal dari Kampung Telipot,Kota Bharu Kelantan dan mendapat pendidikan di Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu, Kelantan.

KHULASOH

Dari Abu Hurairah ra. dia berkata: “Rasulullah saw. bersabda: ‘Jalankanlah amanah yang diembankan kepadamu, dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu.’” (Abu Daud, 3535 dan Tirmizi, 1264). Sabda Rasulullah: “Jalankanlah amanah” adalah perintah, dan perintah itu sifatnya adalah untuk mewajibkan. Allah swt. berfirman: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya.” (An-Nisa:58).

Amanah adalah segala sesuatu yang wajib dikerjakan. Tahniah dan takziah kepada kedua-duanya. Selamat menjalankan tugas.

Ceramah Isra' Mikraj

Penceramah : Ustaz Zainal Abidin B Abd Rahman
Tarikh : 15 Julai 2010 M/ 3 Sya'aban 1431 H
Hari : Khamis
Masa : 8.00 malam



Kupasan dan tafsiran ayat 1 surah al-Isra’ ;


“Maha Suci (ALLAH) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."

1) Kenapa digunakan perkataan



> untuk menunjukkan sesuatu yang luar biasa

Isra' = Perjalanan dari Masjidil Haram(Mekah) ke Masjidil Aqsa(Palestin)

>> Peristiwa ini berlaku setelah Nabi s.a.w mengalami kesedihan berikutan kematian Saidatina Khadijah, isteri tercinta dan Abu Talib, bapa saudaranya yang tidak sempat beriman kepada Allah.

>> Sepanjang perjalanan Nabi s.a.w diperlihatkan seksaan neraka dan nikmat syurga.

>> Solat telah difardukan ke atas Nabi s.a.w dan umat sebanyak 5 waktu sehari semalam.


INTIHA'

Peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang Isra' Mikraj memberi satu petanda yang benar bahawa umat Islam akan menghadapi ujian keimanan, keyakinan, kesabaran, keislaman, keilmuan, dan kebijaksanaan mereka dalam menempuh liku-liku kehidupan di dunia ini. Oleh itu, kita perlu mempersiap diri dengan segala bentuk persiapan.

"Jom Bergandingan ke Syurga"


Kempen Biah Solehah PERKEMAT DQ 2010 yang bertemakan "Jom Bergandingan ke Syurga" telah dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz Darul Quran dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar yang diadakan selama seminggu bermula dari 9-17 Julai 2010.

Biah Solehah didefinisikan sebagai suasana yang terbina hasil pentarbiyahan Islam dan juga praktikal amal Islam yang disebatikan dengan kehidupan seharian. Inilah tujuan sebenar kempen ini dijalankan dan kami bagi pihak IQRaC 2010/2011 menyokong 100% kempen ini dengan harapan biah solehah dapat diperkasa di Darul Quran.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa kempen ini diadakan seperti ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Dasuki bin Hashim, qiamullail perdana, Pertandingan Bola Sepak Piala Pengarah DQ, Pertandingan Futsal Usrah Cup, Pertandingan Bola Jaring Piala Solehah, sukaneka dan banyak lagi.

Kempen ini menyarankan kita untuk melaksanakan biah solehah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w seperti solat berjemaah, bersedekah, senyum dan bermanis muka, menjaga adab dan batas pergaulan, ihtiram murabbi, qiamullail, memberi dan menjawab salam serta banyak lagi.

Majlis Perasmian Penutup telah diadakan di Dewan Muktamar dan disempurnakan oleh Ustaz Abdul Kodir Bin Sallah. Selepas itu, majlis penyampaian hadiah diadakan. Pasukan IQRaC telah mendapat tempat ke-3 bagi Pertandingan Bola Sepak Piala Pengarah DQ dan johan bagi Pertandingan Bola Jaring Piala Solehah.

Perasmian penutup ini bukanlah bermakna biah solehah yang perlu wujud dalam sesebuah kawasan juga telah tamat. Tidak! Biah solehah atau suasana yang baik ini perlu dipelihara dan diperkasakan. InsyaALLAH.

DEWAN HUFFAZ KEBANGSAAN

Majlis Pelancaran Dewan Huffaz Kebangsaan (DHK)

Pada 21 Jun 2010 bersamaan 14 Rejab 1431H telah diadakan Majlis Pelancaran Dewan Huffaz Kebangsaan yang bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.
Ucapan perasmian dan pelancaran Dewan Huffaz telah dilaksanakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom selepas ucapan YBr Dato’ Hj. Wan Mohammad Bin Dato’ Syeikh abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM.

Selepas atur cara majlis perasmian, majlis diteruskan lagi dengan forum yang bertajuk “Dewan Huffaz Kebangsaan Kearah Pemangkitan Kemajuan Tahfiz di Malaysia” serta pembentangan kertas kerja yang bertajuk “Hala Tuju Dewan Huffaz Kebangsaan” dan berakhir dengan pembentangan resolusi.

Terdapat LIMA agenda utama yang merupakan halatuju penubuhan DHK ini.

1) Menjadi penghubung/perantara kerajaan dan sesama institusi tahfiz di Malaysia.
2) Menjaga kebajikan huffaz serta menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan
3) Menjadi pusat pengumpul dalam menyediakan data para huffaz di Malaysia
4) Menjadi perancang dalam melaksanakan aktiviti penyebaran ilmu al-Quran di Malaysia
5) Menjadi pusat rujukan segala ilmu yang berkaitan dengan al-Quran