Minggu IT Islami 2010



Pada 29 dan 30 Oktober 2010,Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) melalui Intellectual Quranic Generation Club (IQRaC) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Pelajar Darul Quran telah menganjurkan Minggu IT Islami 2010 yang bertempat di Kompleks Darul Quran.
Program yang bertemakan 'ICT Aktif Medium Huffaz Progresif' ini dianjurkan dengan objektif untuk melahirkan para huffaz yang celik IT seiring dengan perkembangan teknologi semasa di samping merapatkan lagi ukhuwah antara warga Darul Quran.

MITI '10 telah bermula dengan perasmian pembukaan oleh Ustaz Mohd. Tahir bin Abdul Manap, KPP HEP Darul Quran pada 29 Oktober 2010 bertempat di Auditorium Sheikh Mohd Noor selepas solat Isyak.Majlis kemudiannya disusuli dengan tayangan multimedia yang disediakan khas oleh Unit Tekno MITI '10.

Program diteruskan pada keesokan harinya,30 Oktober 2010,dengan ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan,Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dengan tajuk 'ICT Aktif Medium Huffaz Progresif ' yang bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran.Ceramah selama satu jam 30 minit tersebut telah menyentuh tentang maksud 'Huffaz Progresif ' dan ciri-cirinya.Ustaz Pahrol juga telah berkongsi pengalaman beliau bergiat aktif dalam bidang dakwah melalui blog.Ceramah tersebut telah berakhir pada jam 10.30 pagi dan disambung dengan Kuiz IT Islami.

Kuiz IT Islami telah dibuka penyertaannya kepada semua pelajar Darul Quran dan soalan-soalannya merangkumi pengetahuan tentang agama Islam itu sendiri dan juga mengenai perkembangan semasa dunia teknologi komunikasi dan perhubungan (ICT).Selain Kuiz IT Islami,pelbagai pertandingan lain telah diadakan sepanjang MITI '10 ini.Antaranya, pertandingan e-Card,karya Islami,Brain Challenge dan Mini Games.

Bertempat di Dewan Muktamar juga,telah berlangsung Ekspo Marjanul Quran (EMQ),yang telah disediakan oleh Biro Akademik IQRaC.EMQ ialah suatu ekspo yang mendedahkan pengunjung tentang keharmonian,perkaitan dan juga keindahan al-Quran yang sangat berkait dengan sains.Tahun ini adalah kali pertama EMQ dianjurkan sejak IQRaC ditubuhkan.Ekspo ini mempunyai tiga bahagian,bahagian pertama ialah 'al-Quran dan Kosmologi Serta Ruang Angkasa'.Bahagian ini membawa pengunjung pameran merentasi ruang angkasa lepas dan kajian beberapa orang saintis yang semua fakta kajiannya telahpun diceritakan dalam al-Quran.Contohnya,perkembangan alam semesta dan teoro 'Big Bang'.Dua bahagian yang lain adalah 'al-Quran dan Geografi Serta Bumi' dan 'al-Quran dan Biologi Serta Organisma Hidup'.EMQ berjaya membuktikan bahawa sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan seperti mana firman Allah dalan surah Fussilat,ayat 53; "Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di setiap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri,sehingga jelas kepada mereka,bahawa al-Quran itu benar".

Selain EMQ,terdapat juga booth pameran yang lain seperti Aman Palestin,BPI IQRaC,gerai jualan Ekon IQRaC,dan juga jualan barang-barang IT oleh pengusaha kedai IT yang telah dijemput dari luar.

Pada sebelah malamnya,telah diadakan majlis perasmian penutupan MITI '10 dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan-pertandingan sepanjang MITI '10 dan pertandingan Futsal Sijil (FutJil) yang berlangsung di Dewan Muktamar Darul Quran.Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan oleh al -Fadhil Ustaz Abdul Kodir bin Salah,Timbalan Pengarah (Pendaftar) Darul Quran.Majlis kemudiannya telah diakhiri dengan tayangan 'Devine Book'.

Tuntasnya,diharapkan agar program yang telah dianjurkan sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada semua warga Darul Quran.

'ICT AKTIF MEDIUM HUFFAZ PROGRESIF'


Perasmian oleh al-Fadhil Ustaz Tahir bin Abdul Manap

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Ceramah 'ICT Aktif Medium Huffaz Progresif'

Penyampaian cenderahati kepada penceramah oleh Pengerusi IQraC

Saf koordinator program bersama Ustaz Pahrol

EMQ: Bahagian al-Quran dan Kosmologi serta Ruang Angkasa

EMQ: Bahagian al-Quran dan Geografi serta Bumi

Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang oleh Ustaz Abdul Kodir bin Salah

Wallahua'lam..