Kenapa nak hafal al-quran?

Bismillah walhamdulillah.

Tarikh 14 MEI 2011 mencatatkan satu sejarah baru buat bumi barakah Darul Quran. Pada tarikh keramat ini, seramai hampir 250 manusia telah dipilih oleh Allah untuk meneruskan pengajian di Darul Quran pada peringkat diploma. Rata-rata pelajar diploma sesi 2011/2014 ini adalah sebaya dengan ahli IQRaC 2011/2012.

Bak kata hukama', kelesuan di tengah jalan setelah bermujahadah, adalah kerana langkah awal yang bobrok.

Darul Quran. Apabila disebut Darul Quran, perkara yang terlintas di benak saya, dan benak kebanyakan manusia lain ialah, menghafal al-quran. Dan memang perkara itulah "core business" kita di Darul Quran ini.

Dan apabila ditanya mengapakah masuk Darul Quran, rata-rata daripada kita akan menjawab, kerana nak menghafal al-quran. Apabila ditanya pula, mengapa ingin menghafal al-quran, pelbagai jenis aneka jawapan yang diberikan. Dan kita pada hari ini, ingin sama-sama bermuhasabah kembali, apakah "valid" sebab kita untuk menghafal al-quran itu di sisi Allah.

Jadi, sebelum sahabat sahabiyah diploma 2011/2014 melangkah lebih jauh dalam penghafalan al-quran, marilah sama-sama kita baca artikel di bawah yang telah dipetik dari blog Mantan Yang Dipertua Perkemat sesi 2007/2008.

************
diambil dari SINI

Kenapa nak hafal Quran…? Soalan yang mesti dijawab oleh mereka yang mengahafal Al-Quran, terutamanya di Maahad Tahfiz ataupun Kolej Tahfiz. Apakah matlamat yang menjerumuskan mereka ke dalam bidang Huffaz…? Lalu banyaklah jawapan yang diterima. Semuanya mempunyai matlamat yang berbeza, tapi agak sama. Ingin menjadi golongan yang boleh mensyafaatkan ibu-bapa. Tu kira eloklah.

Ditanya kepada ibu bapa, kenapa mendaftarkan anak-anak mereka ke Maahad Tahfiz..? juga banyak jawapannya.. tapi masih tidak berbeza. Mereka ingin menumpang tuah syurga anak-anak mereka kelak. Mereka ingin dipakaikan mahkota di akhirat kelak.

Ditanya kepada pengasas dan pengarah Maahad Tahfiz, apakah tujuan utama menubuhkan Maahad Tahfiz, jawapannya juga sama, nak lahirkan generasi yang dapat menjaga Al-Quran, masyi dan cair dalam hafalan mereka. Tidak kurang yang berorientasikan keuntungan kerana institusi Tahfiz agak memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Namun secara jujurnya, kesemua jawapan yang saya terima amat menyedihkan. Mereka meletakkan generasi Hufffaz dibawah tempurung kejumudan dengan memisahkan mereka dari kehidupan dunia. Memenjarakan mereka dari dunia yang amat memerlukan khidmat mereka.

Realiti dunia pada hari ini, golongan huffaz dipandang sepi dan dianggap jumud serta ketinggalan. Mereka digambarkan hanya mengadap kitab-kitab dan membaca Al-Quran sepanjang masa. Tugas mereka hanya untuk menjaga tiang-tiang masjid.

Golongan huffaz seolah diharamkan dari bidang profesional, dipisahkan dari arus massa, dibuang jauh dari arus teknologi. Dihijabkan dari melihat hakikat dunia luar. Sedangkan dunia sekarang amat memerlukan golongan huffaz profesional untuk mengislahkan keadaan kepada apa yang diajarkan oleh Al-Quran.

Huffaz reformis yang mampu mencetus arus reformasi dalam masyarakat supaya menjadi masyarakat yang unggul.

Huffaz yang boleh ‘mensyafa’atkan’ bukan sekadar sepuluh orang, bahkan beribu-ribu dan berjuta-juta melalui kefahaman yang mendalam kepada isi kandungan AL-Quran dan berkemahiran tinggi dalam mengaplikasikan teknologi sebagai alat bantu dalam medium dakwah mereka. Huffaz yang mampu mengeksploitasi dan menterjemahkan pelbagai bidang professional sebagai medan dakwah mereka.

Apalah sangat ertinya menghafaz Al-Quran kerana nak menjaganya. Manusia tak perlu manjaga Al-Quran. Allah telah berjanji menjaganya hingga hari Qiamat. "sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-quran dan kamilah yang akan menjaganya." Al-Hijr : 9.

Tugas manusia adalah untuk mempraktikkan Al-Quran dalam kehidupan seharian. Menerapkan ajaran Al-Quran dalam masyarakat. Mengajak masyarakat untuk mendalami apa yang diajar oleh Al-Quran, mempraktikkan method yang dibawa Al-Quran dalam seluruh kehidupan kerana memang ianya sesuai dengan kehidupan manusia dari awal penurunannya hingaa hari Qiamat. Pendekatan yang dibawa oleh Al-Quran tidak akan ketinggalan zaman.

Jangan harap untuk mensyafaatkan sepuluh orang andai hanya mengahafaz Al-Quran seperti burung kakak tua. Masyi tanpa mengerti apa tuntutan Al-Quran. Hebat ingatannya tanpa mampu menurut ajaran Al-Quran. Lebih-lebih lagi sekiranya masyi dan dalam masa yang sama, melanggar ajaran dan saranan Al-Quran. Tambahan pula, tidak ada hadis yang warid menyatakan bahawa –al-hafiz- dapat mensyafaatkan ahli keluarganya.

Pengertian syafaat yang sebenar adalah apabila si huffaz itu mampu untuk menerapkan apa yang dibaca dan dihafal dari Al-Quran, seterusnya mempraktikkan ajaran Al-Quran kedalam diri mereka dan kepada golongan sekelilingnya sehingga mereka betul-betul menuruti apa yang dikehendaki Allah. Inilah ‘syafaat’ hakiki. Menyelamatkan ummat dari terjerumus ke dalam neraka. Lisanul hal adalah lisan yang paling berkesan. Yang penting, menerapkan intipati Al-Quran dalam diri sendiri sebelum menerapkannya ke dalam diri orang sekelilling dan masyarakat.

Kata seorang pemimpin gerakan islam, “tegakkanlah islam dalam diri kamu, nescaya islam akan tertegak dalam wilayah kamu”

Apa ertinya mahir qiraat pada zaman gelombang pancaroba yang di bawa oleh pelbgai pemahaman sesat yang telah menelan umat ini.

Kita perlu pandai membezakan antara yang penting dan yang paling penting.

Satu kata-kata yang amat baik nilainya, dari Ibnu Taimiyyah, “ bukanlah orang cerdik kalau dia hanya tahu yang baik dari yang buruk, bahkan orang yang sebenar cerdik ialah orang yang mengetahui yang terbaik dari yang baik dan yang terburuk dari yang buruk”.

Ilmu Qiraat bukan tidak penting, tetapi ada ilmu yang lebih penting. Ilmu qiraat dan tarannum boleh diklasifikasikan sebagai tahsinaat sedangkan ilmu kepakaran dalam bidang-bidang lain seperti usul agama dan bidang prifesional lain adalah ilmu hajiyyat bahkan Dharuriyyat.

Bukan untuk menafikan kepentingan masyi quran, mahir tarannum dan qiraat, tetapi ada agenda yang lebih penting untuk dilaksanakan.

Pengertian hadith "sebaik-baik kamu ialah yang belajar al-quran dan mengajarkannya", janganlah disempitkan dalam pengertian yang beku.

Maksud yang dibawa melalui hadith itu lebih luas. Bukan sekadar untuk belajar membaca Al-Quran dan hukum yang berkaitan seperti tajwid, qiraat dan tarannum. Bahkan ilmu-ilmu lain yang terkandung dalam al-quran seperti sains, geografi, biologi, kimia, psikologi dan ilmu kejadian alam. Bahkan banyak lagi. Menjadi satu perkara yang amat merugikan sekiranya penghafal Al-Quran tidak merebutkan peluang yang sudah berada di depan mata.

Buka mata, tanya hati. Fikir-fikirkan.


EmoticonEmoticon