Penemuan Sains membenarkan Al-Quran

Ketika wahyu diturunkan di zaman Nabi s.a.w kajian-kajian saintifik berhubung dengan alam belum meledak dan kemudahan-kemudahan ke arah itu belum lagi wujud. Pada hari ini teknologi semakin canggih dan penemuan-penemuan baru berhubung dengan rahsia alam semakin terserlah. Yang amat mengagumkan ialah, penemuan-penemuan baru ini selari dengan pernyataan Al-Quran sekali gus menampakkan keunggulannya. Di antara ayat-ayat itu ialah ayat yang berkaitan dengan pengembangan alam. Allah berfirman, “Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya..” (Surah Az-Zariyat ayat 47) Ayat ini menjelaskan tentang pengembangan alam dan sehubungan dengan ini As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir berkata: “(Maksud ayat ini ialah) langit telah Allah jadikan di dalam keadaan mengembang secara berterusan. Ia juga bermaksud langit telah diluaskan oleh Allah.

Ayat ini ialah ayat mukjizat berhubung kejadian alam… Ia menunjukkan ilmu Al-Quran amat jauh ke hadapan, melampaui tempat dan zaman. Jika ada sesiapa yang menolak Al-Quran kerana menyangka dirinya maju dengan sainsnya, eloklah jika dia menilai semula dirinya sebelum terlambat.”


Pada tahun 1929 M tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, dengan menggunakan alat yang canggih mendapati alam ini sebenarnya sedang mengembang. Pada bulan Mei 9, 1996, satu kenyataan akhbar dikeluarkan berhubung dengan teori pengembangan alam. Dua kumpulan pakar sains di peringkat antarabangsa mengesahkan kebenaran teori ini malah mereka berjaya mengukur kelajuan pengembangan alam ini sekali gus membenarkan firman Allah.

Contoh yang kedua berhubung dengan teori Big Bang. Di dalam surah Al-Anbiya Allah berfirman, “Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan di antara kedua-duanya…” (Surah Al-Anbiya ayat 30)

Di dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi meriwayatkan: “Telah berkata Ibn Abbas, Al-Hasan, Atha, Ad-Dahhak dan Qatadah: Ayat ini bermaksud kedua-dua langit dan bumi pada asalnya adalah suatu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah pisahkan di antara kedua-duanya dan dijadikan di antara keduanya udara.”

Syeikh Tantawi Jauhari di dalam kitabnya Al-Jawahir yang ditulisnya pada sekitar tahun 1920-1930, menyebutkan: “Apa yang dijelaskan oleh Al-Quran ialah, langit yang banyak dan bumi ini termasuk matahari, bintang-bintang dan segala alam yang ada di dalamnya, semuanya bercantum padu sebelum ini, kemudian Allah pisahkan kesemuanya. Ayat ini ialah mukjizat, kerana ilmu tentang perkara ini belum diketahui kecuali pada hari ini..”Mengikut teori Big Bang, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlakulah satu letupan yang kuat (cosmic explosion) 10 ke 20 bilion tahun dahulu, yang dinamakan sebagai Big Bang. Sejak dari itu berlakulah pengembangan dan penyejukan (expanding and cooling) sehingga akhirnya lahirlah bintang-bintang, galaksi dan yang seumpamanya. Teori ini pada asalnya di asaskan dari formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915.

Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann, mengembangkan lagi formula ini dan mengukuhkan lagi teori Big Bang ini. Pada tahun 1929, seorang tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang. Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau mendapati alam ini sememangnya sedang mengembang. Penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang mengatakan alam ini bercantum padu pada asalnya diikuti dengan satu letupan besar kerana letupan itulah yang telah menyebabkan pengembangan ini.173

Semua ini mengesahkan langit dan bumi suatu ketika dahulu sememangnya bercantum padu sebelum kedua-duanya dipisahkan. Hakikat yang hanya difahami pada abad kedua puluh ini telah dijelaskan oleh Allah 1420 tahun dahulu.Segala penemuan ini selari dengan pernyataan Al-Quran. Ia menunjukkan Al-Quran ialah Kalam Allah kerana ilmu astrofizik belum berkembang di zaman Nabi s.a.w di tambah pula dengan kemudahan yang daif di zaman itu yang tidak memungkinkan manusia mengetahui secara pasti tentang asal usul alam ini


.(Untuk perincian sila rujuk buku Empayar Minda Muslim oleh Dr. Danial)Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria)Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn Bhd.Pengamal Perubatan di Klinik Syifa Pulau PinangMotivator, Penulis dan Kolumnis


EmoticonEmoticon