Jangan Suka Salahkan Orang Lain




Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw. Bersabda:


Jika ada seseorang berkata: Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka"




Penerangan Hadis:


Imam Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus-Shalihin beliau memberikan penjelasan seperti berikut:



Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasakan dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram.



Ada pun orang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya.



Demikianlah yang dijelaskan oleh para alim-ulama dan bergitulah cara mereka menghuraikan permasalahannya. Di antara alim ulama yang berpendapat begitu ialah Imam Malik bin Anas, al-Khath-Thabi, al-Humaidi dan lain-lain.



Hadis ini sengaja diletakan diawal buku ini supaya menjadi suatu peringatan kepada kita bila menghuraikan hadis-hadis akhir zaman seperti apa yang dituliskan di sini yang banyak mendedahkan tentang kemunduran umat islam dan kemerosotan moral mereka.



Oleh kerana itu apabila kita cuba mengaitkan hadis-hadis tersebut dengan realiti umat Islam dewasa ini, maka janganlah kita merasa bangga dan ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menunding orang lain. walaupun hal kerosakan moral umat islam dewasa ini yang diketengahkan, biarlah pendedahan itu di dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap agama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.



Mudah-mudahan Allah swt dengan limpah kurnianya mencucuri kita rahmat, taufiq dan hidayah. Amiin



Riwayat: Kitab Riyadhus-Shalihin - Imam Nawawi




EmoticonEmoticon