Peperiksaan Semester 2 : Adakah lebih mencabar?


“Abang, sampai bila kita kena belajar?”

“Sampai bila-bila. Sampai kita mati.”

Indikator kejayaan dalam menuntut ilmu, sebenarnya di mana?

Adakah pada segulung ijazah ataupun pengiktitrafan seperti Doktor, Profesor dan sebagainya itu?

Ataupun bagi adik-adik UPSR, PMR dan SPM, adakah selepas anda mendapat keputusan yang cemerlang, 5A, 9A, 11A dan sebagainya itu?

Kalau itu indikator kejayaan bagi kita dalam menuntut ilmu, kita telah tersilap sebenarnya.

Ada yang lebih utama daripada itu. Apa itu?

Terus-menerus menuntut ilmu tanpa henti.

SEMANGAT YANG BERMUSIM

“Aku ni, bila ada mood aku belajarla.”

“Kita dah habis SPM, jom, enjoy time !”

“Periksa dah habis. Huh, merdeka!”

Kadang-kadang, kita tersilap meletak ukuran. Yang berjaya sebenarnya adalah yang tidak hanya belajar untuk musim-musim tertentu sahaja.

Misalnya, kita sedang ambil Degree dalam bidang-bidang tertentu. Ya, memang kita perlu belajar untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi itu. Tetapi, ia tidak harus berhenti sekadar itu.

Biarpun setelah habis Degree , kita masih perlu terus menuntut ilmu.

CONTOHI ABDULLAH IBN ABBAS, SAHABAT NABI YANG GIGIH

Abdullah Ibn Abbas, seorang sahabat Nabi sa.w. yang juga sepupu kepada Nabi s.a.w, hidup bersam Nabi s.a.w. sejak kecil lagi.

Sepanjang kehidupan bersama Rasul sa.w., beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk berada dalam majlis-majlis ilmu bersama dengan Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. wafat, umurnya belum lagi mencapai 13 tahun.

Tetapi, betapa bersungguhnya Abdullah Ibn Abbas, usai kewafatan Rasul s.a.w., beliau menuntut ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w. pula.

Pernah sekali diceritakan tentang kesungguhannya, beliau datang ke rumah seseorang untuk mendapatkan hadith. Tetapi, orang yang didatangi beliau itu sedang tidur ketika itu. Maka, Ibn Abbas pun membentangkan kain di hadapan rumah orang itu dan menunggunya, sehingga angin menerbangkan debu kepadanya. Ketika orang itu keluar dan melihat keadaan Ibn Abbas itu, dia pun berkata kepada Ibn Abbas:

“Hai sepupu Rasulullah s.a.w., apa maksud kedatanganmu? Kenapa kamu tidak suruh saja orang sampaikan pesanan kepadaku supaya aku datang kepadamu?”

“Tidak, bahkan akulah yang harus mengunjungimu.” Kemudian Ibn Abbas belajar daripadanya satu hadith.

Hanya semata-mata untuk itu. Lihatlah, adakah kesungguhan kita hingga ke tahap itu?

Keinginan beliau dalam menuntut ilmu tidak pernah puas. Beliau terus mencari dan mencari.

Saad bin Abi Waqas pernah menyebut tentang Ibn Abbas :

“Tidak seorang pun yang ku temui lebih cepat mengerti,lebih tajam fikiran dan lebih cepat memahami ilmu, serta lebih santun daripada Ibn Abbas.”

Pernah suatu hari ditanyakan kepada Ibn Abbas:

“Bagaimana anda memperoleh ilmu ini?”

Jawabnya : “Dengan mulut yang suka bertanya dan akal yang suka berfikir!”

BILA ANDA SEORANG MUSLIM, ANDA PERLU JADI PHD !

Apa itu PhD?

Person of High Determination. Orang yang penuh keazaman. Sentiasa bersemangat. Sentiasa miliki perasaan cinta kepada jalan menuju syurga Allah ini.

Janganlah jadi PHD satu lagi, Person of High Demoralization. Orang yang lemah semangat. Berhenti bila diuji. Berhenti hanya dengan kesusahan yang kecil.

Islam perlu terus dibangunkan dan ditinggikan. Siapa lagi yang akan melakukan itu kalau tidak kita sebagai muslim?

Islam tidak mungkin disampaikan dan disebarkan oleh orang-orang yang jahil.

Kalau kita berhenti dan puas hanya setakat kejayaan yang kita miliki hari ini, maka kita masih belum berjaya sebenarnya.

Pernah ada seseorang berkata kepada saya :

“Abang, habis PMR ni, saya nak berhenti belajar. Saya nak kerja. Bawa kato.”

Saya rasa sangat terkilan bila mendengar penyataan seperti itu.

Kita nanti, pekerjaan apa pun yang kita lakukan, kita tidak hanya ingin sekadar bekerja.

Kalau hanya sekadar bekerja, ramai sudah yang bekerja, bahkan lebih hebat lagi daripada kita, bergaji besar pula. Tetapi, bukan itu matlamat kita sebenarnya.

Yang sebenarnya, bila seorang muslim yang berilmu bekerja, maka dia itu menjadi contoh kepada masyarakat. Melihat dirinya, orang boleh nampak Islam sebenar. Itulah yang lebih utama.

Seorang jurutera, kesungguhan dan komitmennya dalam pekerjaan dan ketaatannya kepada Allah, akan memberi contoh kepada jurutera-jurutera lain.

Seorang doktor, kata-katanya yang sentiasa mempengaruhi pesakit, akan menjadi ubat kepada hati pesakit bila kata-katanya mengandungi inspirasi yang mendekatkan lagi mereka kepada Ilahi.

Hatta seorang tukang sapu sampah di tepi jalan sekalipun, seorang pekebun, kalau mereka itu tidak berhenti dalam menuntut ilmu, maka mereka juga mampu menjadi seorang PHD, (Person Of High Determination). Seorang pekebun, tetapi mampu memotivasikan orang lain untuk dekat dengan Allah.

Bahkan, seorang suri rumah, bila ilmu terus menerus dicari, tambahan pula ilmu itu adalah ilmu deen (Islam), maka pentarbiyahan (Pendidikan) anak itu pastinya berjalan di atas landasan Ilahi.

PENUTUP : YANG BERHENTI SEBENARNYA TIDAK PERCYA KEPADA JANJI SYURGA

Dan, siapa yang berhenti, maka dia sebenarnya tidak percaya kepada janji Nabi s.a.w.

Bukankah Nabi s.a.w. pernah menyebut dalam satu hadis yang mafhumnya :

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan jalan untuknya menuju ke syurga.”

[HR Muslim]

Jalan ke syurga telah menjadi mudah, siapa yang tidak mahu?

Syaratnya, jangan pernah berhenti menuntut ilmu. Ilmu Allah tidak akan pernah habis. Siapa yang berjuang mendapatkannya, maka Allah pasti akan membantunya.

“ Barangsiapa yang keluar rumah untuk menuntut ilmu, dia berada di jalan Allah sehinggalah dia pulang.”

[HR Tirmizi]

Semakin banyak ilmu yang kita tuntut, kita akan semakin tahu bahawa banyak lagi yang kita tidak tahu.

Maka, pastinya kita tidak akan pernah berhenti hinggalah kita mati !


Diambil dari




EmoticonEmoticon