Kecairan yang Membahayakan !


kecairan yang membahayakan!!!!
Diambil daripada http://analyticalummah.blogspot.com/ .

AWAS: artikel ini dalah untuk peringatan diri sendiri terutamanya dan juga untuk semua yang bergelar dai’

Keberadaan dalam jalan dakwah dan tarbiyah merupakan satu nikmat yang tak terkata. Jalan ini membuatkan kita merasai pelbagai rasa manis mahupun pahit. Jika diimbas kembali bagaimana keadaan diri sebelum ini membuatkan rasa sebak dan sedih.

Bersyukur kini kerana di saat diri ini mencari-cari ada sahabat yang sudi menghulurkan tangan memberi semangat untuk terus berbuat perubahan. Di situ dapat dirasai betapa manisnya nilai ukhwah itu. Bahagia ketika ada sahabat yang sentiasa mengingatkan tentang iman. Memang agak jarang sekali untuk menjumpai sahabat yang boleh mengingatkan kita tentang iman. Sahabat ketawa senang dicari namun sahabat menangis boleh dikira dengan jari. Sangat payah dan susah untuk dijumpai. Ketika saat kita telah berjumpa dengan sahabat itu, ambillah peluang yang ada untuk terus mengumpul kekuatan diri.

Berubah dan terus berubah demi mencari kesempurnaan diri walaupun hakikatnya diri ini tetap tidakkan sempurna. Tapi tidak salah untuk mencuba yang terbaik untuk jadi di kalangan yang terbaik. Itulah semangat yang diperlukan oleh seorang yang mengaku dirinya islam. Terutamannya yang telah difahamkan dengan islam. Yang menggelar dirinya akhwat atau ikhwah. Dan yang setiap minggu duduk berkumpul di dalam bulatan berbincang mengenai masalah diri dan umat, yang setiap minggu terisi dengan makanan rohani untuk meningkatkan keimanan.

Semakin mengurang semangat itu
Namun kini, mengapa rasa itu tidak seperti dulu lagi? Semakin lama berada dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini dan semakin kita sebati dengan dakwah dan tarbiyah semakin terasa berkurangnya kualiti jika nak dibandingkan dengan saat mula-mula mendapat hidayah Allah dan juga saat diperkenalkan dengan dakwah dan tarbiyah. Saat itu terasa diri sangat bersemangat untuk melakukan perbaikan pada diri dan juga mengajak kepada orang-orang disekeliling. Semangat yang tidak pernah putus asa dan bergantung harap semata-mata kerana ALLAH tanpa memikirkan penat, lelah, kritikan, tohmahan dan segala kepahitan dijalani dengan penuh ketenangan. Mengapa perasaan dan semangat itu mengurang???

Fenomena ini dinamakan KEBOSANAN. Keberadaan di jalan ini semakin lama membuatkan seolah-olah diri ini terasa bosan. Bosan kerana telah banyak perkara yang telah kita ketahui lantas membuatkan terasa jemu dan penat. Halaqah dan taklim yang dijalankan sekadar taklim dan halaqah biasa tanpa ada matlamat dan perbaikan. Ia bagaikan rutin untuk sekadar memenuhi arahan dan dibuat bila mana ada kelapangan waktu. Malah pelbagai alasan seperti SIBUK, TIDAK CUKUP MASA, BANYAK TEST menyebabkan taklim dan halaqah yang sepatutnya dijalankan setiap minggu tertangguh dan akhirnya mad’u merasakan ianya tidak penting dan hanya datang bila ada kelapangan. Lebih teruk lagi ada dikalangan mad’u yang menarik diri dari mahu terlibat dengan taklim dan halaqah.
mana hilangnya semangat yang dulu????


Merasa selesa
Malah ada juga di kalangan kita yang tidak mahu langsung untuk berusaha maju ke depan dan masih di takuk yang lama. Rasa selesa berada dalam kelompok yang dikatakan dalam biah solehah membuatkan tiadanya semangat untuk terus melakukan perubahan. Mutabaah dilakukan pada kadar yang sama tanpa penghayatan. Hanya sekadar memenuhi kertas mutabaah dan yang lebih teruk lagi terus mengabaikan mutabaah.

Keadaan selesa juga itu juga membuatkan kita memandang remeh benda yang boleh dan mampu kita buat. Contohnya, mengajak orang lain melakukan kebaikan. Oleh kerana sudah terbiasa dengan suasana biah yang baik, suasana yang sentiasa ada orang yang mengingatkan kita dalam melakukan kebaikan, kita secara tidak sengaja akan menjadi manja dan tidak dapat membina kekuatan sendiri. Sentiasa mahu bergantung dengan orang lain.

Akibatnya, apabila telah terkeluar daripada biah solehah itu, akan berlaku kejutan budaya dalam diri. Berlaku kekeliruan identiti dan sekiranya ini berterusan, boleh mengakibatkan kita lari dari tarbiyah dan dakwah itu sendiri kerana hanyut dengan kelekaan dunia ditambah lagi bila bercampur gaul dengan orang yang berlainan fikrah.

Bahaya jika dibiarkan
Kecairan ini sangat bahaya jika dibiarkan kerana akan menyebabkan barah di kalangan dai’ kerana akan menyebabkan terbantutnya dakwah itu. Bahkan jika terus dibiarkan, makanya keadaan ini mungkin akan berjangkit pula pada dai’ yang lain yang sangat bersemangat mahu terus melakukan perbaikan diri dan orang-orang di sekeliling. Penyakit ini akan dikhuatiri akan terus berjangkit dan akan menghakis keaslian dakwah itu sendiri. Makanya, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil.

Paksa diri dalam membina kekuatan
Iman kita adakalanya naik dan adakalanya turun. Saat iman dirasakan menurun, maka ketika itu mutabaah kita akan jatuh merundum kerana iman dikatakan berkadar terus dengan amal. Saat itu, kita perlulah memaksa diri dalam melakukan amal. Meskipun berat dan terasa seperti tidak ikhlas dalam melakukan amal, tetapi percayalah itulah cara yang terbaik bagi mengatasi masalah kefuturan. Kefuturan atau lemah iman ini adalah sangat bahaya jika dibiarkan tanpa dirawat. Keikhlasan dan kekuatan diri itu akan muncul kemudian setelah kita berjaya memaksa diri.

Dalam keadaan apa sekalipun kita perlulah paksa diri untuk berbuat sama ada dalam keadaan berat mahupun dalam keadaan ringan. Sama ada sibuk atau tidak. Sama ada lapang atau sempit. Sama ada suka atau tidak suka. Tetaplah istiqamah dalam berbuat kebaikan.
“ Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah agar kamu beruntung.” ( At-Taubah (9) : 41)

usah biarkan diri dibelenggu kefuturan untuk tidak berbuat

Penutup: kekuatan itu penting
Kekuatan itu perlu dibina di dalam diri kita dari sekarang. Tidak kira lepas ini kita dicampakkan ke mana sahaja, kita akan tetap dalam melakukan dakwah dan tarbiyah. Cabaran dakwah dan tarbiyah masa kini sangat mencabar dan kefuturan tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk kita terus mencair dalam berdakwah.


EmoticonEmoticon