Fasa-fasa Ramadhan ; Tapisan Allah buat hamba-Nya


Pejam celik pejam celik, kita sudahpun melalui 2 fasa dalam Ramadhan kali ini dan insyaAllah akan memasuki fasa ketiga tidak lama lagi. Jika kita sama-sama renungi, pada hakikatnya penetapan fasa-fasa dalam bulan Ramadhan ini secara tidak langsung adalah suatu tapisan yang Allah buat untuk menilai hamba-hambaNya yang benar-benar menginginkan natijah taqwa dan keampunan yang telah Allah janjikan di akhir Ramadhan.

Kita boleh melihat sendiri penapisan ini berlaku dalam ruang lingkup kehidupan kita. Sewaktu fasa pertama Ramadhan, tak kira ramainya jemaah di masjid untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan. Akan tetapi, apabila menginjak ke fasa kedua, keramaian jemaah mula berkurang hinggalah ke fasa yang ketiga, mungkin akan tinggal satu atau dua saf sahaja di masjid. (tapi kalau di Masjid India mungkin akan bertambah ramai safnya akhir ini..hehe :D)

Namun hakikatnya, satu atau dua saf jemaah yang masih setia beribadah hingga ke akhir itulah insyaAllah akan benar-benar menikmati kelazatan beribadah pada bulan Ramadhan dan insyaAllah, akan diganjari-Nya dengan sebaik-baik ganjaran. Moga kita termasuk dalam golongan ini, yang masih setia dalam trek Fastabiqul Khairat (berlumba-lumba mengejar kebaikan) di saat yang lain mula futur (putus asa) dan tidak mahu lagi meneruskan perjuangan hingga ke akhirnya.


Hatta, jika kita melihat pada fasa sebelum bermula Ramadhan, tidak semua hambaNya yang diberi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan. Ada yang hanya beberapa hari sahaja lagi untuk bertemu Ramadhan, tetapi Allah swt tidak rezekikan padanya untuk bertemu Ramadhan. Cukuplah contoh-contoh tersebut untuk kita lihat bahawa fasa-fasa Ramadhan ini adalah tapisan dari Allah swt untuk meniloai ketaqwaan hamba-hambaNya.


Persoalannya, adakah kita telah memanfaatkan sepenuh hari-hari dalam bulan Ramadhan yang sudah berlalu pergi? Adakah pada 2 fasa sebelum ini kita telah benar-benar berusaha untuk menggapai rahmat dan keampunanNya? Atau kita sekadar menempuh Ramadhan sebagai rutin untuk berpuasa selama sebulan dan bertarawikh tanpa kita mencari gali fadhilat-fadhilat yang cukup besar yang ada dalam bulan Ramadhan ini?



Di kesempatan ini, suka untuk ana mengajak pembaca semua untuk sama kita kembali ke trek Fastabiqul Khairat, bangkit dari futur setelah sekian lama dan teruslah melangkah memburu 10 malam terakhir ; Pelepasan dari api neraka.
Moga kita termasuk dalam golongan hambaNya yang direzekikan dengan Lailatul Qadr dan seterusnya menjadi hamba yang terus istiqamah dalam mengabdikan diri kepadaNya. Janganlah kita termasuk dalam kalangan yang rugi kerana tidak mendapat keampunan Allah walaupun setelah menempuh sebulan Ramadhan.

Jadikanlah Ramadhan kita kali ini sebagai Ramadhan terbaik sepanjang kehidupan kita dan akhirnya, semoga Aidilfitri yang akan kita sambut nanti adalah dengan kemenangan yang besar hasil manifestasi tarbiyah Ramadhan.



TaqabbalaAllahu minna waminkum.
Wallahua'lam.


EmoticonEmoticon