Program Pelita Kasih Ramadhan - majlis iftor bersama anak-anak yatim Siraman Kasih

11 Ogos 2012 ~ Program Pelita Kasih Ramadhan 1433H merupakan salah satu program mega yang dikendalikan oleh Biro Perhubungan dan Aktiviti Luar (BPART) dan dirasmikan oleh Tuan Pengarah Darul Quran JAKIM, Tuan Hj Paimuzi bin Yahaya. Aktiviti yang telah dijalankan ialah Majlis Iftor bersama Anak-anak Yatim Siraman Kasih.

5.15 petang ~ semua pelajar banin dan banat sudah mula memenuhi ruang Dewan Muktamar setelah mengesahkan kehadiran masing-masing di meja pendaftaran. Sementara menunggu kehadiran para tetamu VVIP, satu sesi taklimat telah disampaikan oleh Unit Penyelaras Program, saudara Akmal bin Zulkarnain berkenaan perjalanan majlis secara keseluruhan.

6.00 petang ~ ketibaan Anak-anak Yatim Siraman Kasih bersama guru pengiring mereka di Dewan Muktamar disambut baik oleh koordinator program dan anak-anak yatim tersebut telah ditempatkan di meja bersama pelajar-pelajar IQRaC yang lain.

6.15 petang ~ ketibaan Tuan Hj Paimuzi bin Yahaya di Dewan Muktamar dan diiring masuk bersama-sama alunan selawat.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, saudara Muhammad Amin bin Adnan dan Muhammad Saiful Adlie bin Misnan. Bagi memberkati majlis pada petang tersebut, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran telah dialunkan oleh saudara Muhammad Ashlam bin Azman. Seterusnya, majlis telah menjemput Tuan Pengarah Darul Quran, Tuan Hj Paimuzi bin Yahaya untuk memberi ucapan dan seterusnya merasmikan Program Pelita Kasih Ramadhan 1433H.

6.30 petang ~ majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan kepada Anak-anak Yatim Siraman Kasih yang disampaikan oleh Tuan Hj Paimuzi bin Yahaya, diiring oleh Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP),Ustaz Mat Lazim bin Hassan dan Timbalan Pengerusi IQRaC, saudara Hud Al-Hasyir bin Haironeze. Seramai 45 orang Anak Yatim Siraman Kasih telah menerima sumbangan berupa wang tunai, senaskhah Al-quran tafsir beserta novel.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid yang mantap oleh anak-anak yatim selama 10 minit menggunakan peralatan muzik yang dibawa sendiri oleh pihak Rumah Anak Yatim Siraman Kasih. Majlis disambung dengan persembahan multimedia yang disediakan oleh unit teknikal.

7.00 petang ~ majlis mempersilakan Timbalan Pengerusi IQRaC, saudara Hud Al-Hasyir bin Haironeze untuk menyampaikan tazkirah ramadhan selama 15 minit. Setelah itu, majlis telah dihentikan seketika untuk memberikan laluan kepada para pelajar dan tetamu jemputan bersiap sedia untuk berbuka puasa sambil mendengar alunan zikir munajat. Buffet telah disediakan di bahagian belakang Dewan Muktamar. Menu utama ialah nasi beriyani. Masuk sahaja waktu maghrib iaitu pada jam 7.28 petang, laungan azan diperdengarkan oleh saudara Mohd Syafiq bin Mohd Iqbal dan bacaan doa makan telah diketuai oleh saudara Muhammad Fawwaz Shahidi bin Yaacob.

Selepas menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, sesi fotografi antara pelajar IQRaC dan Anak-anak Yatim Siraman Kasih telah diadakan di atas pentas utama Dewan Muktamar sebagai kenang-kenagan. Para hadirin sekali lagi dijamukan dengan moreh yang telah disediakan.

8.30 malam ~ majlis bersurai


EmoticonEmoticon