Majlis Riang Raya IQRaC [TRiQ]

Majlis jamuan makan malam Riang Ria Raya IQRaC 2012 merupakan sebuah majlis yang dianjurkan oleh Ahli Majlis Tertinggi IQRaC. Majlis ini telah diadakan pada malam 13 September 2012 bersamaan 27 Syawal 1433H. Majlis ini telah dirasmikan oleh penasihat Intellectual Quranic Generation Club (IQRaC) iaitu, Ustaz Aishamuddin bin Samsungei.


Bermula pada 12 September hingga 13 September 2012, semua pelajar IQRaC semester 2 telah diminta untuk berpuasa bersama-sama. Pada petang 13 September (Khamis) sebuah majlis iftor perdana telah diadakan di asrama masing-masing. Pada malamnya pula, majlis jamuan makan malam Riang Ria Raya IQRaC diadakan.


Bermula jam 9.15 malam, semua pelajar banin dan banat telah mula memenuhi ruang Dewan Muktamar setelah mengesahkan kehadiran masing-masing di pintu utama. Setiap pelajar banin telah diberikan butang baju melayu dan pelajar banat pula diberikan sebiji kerongsang setiap seorang sebagai cenderahati. Pada jam 9.30 malam, pensyarah-pensyarah tasmi’ mula memenuhi ruang meja makan VIP. Kedatangan Ustaz Aishamuddin sebagai tetamu VIP telah diiringi oleh Pengerusi IQRaC, Saudara Akmal bin Zulkarnain dan Timbalan Penyelaras 1, Saudara Amru Khalid bin Sazali tepat pada jam 9.45 malam.


Gimik pengacara majlis terus bermula sebaik sahaja kesemua tetamu VIP mengambil tempat di meja makan. Gimik ini telah berlangsung selama hampir 10 minit. Majlis dipengerusikan oleh Saudara Haikal Syafie dan Saudara Jamaluddin bin Sahlan. Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Timbalan Pengerusi IQRaC, Saudara Hud Al-Hasyir bin Haironeze. Ayat-ayat suci Al-Quranul Karim telah dialunkan oleh Saudara Mohd Syafiq bin Mohd Iqbal. Ucapan alu-aluan telah diberikan oleh Pengerusi IQRaC, Saudara Akmal bin Zulkarnain bagi menggantikan Timbalan Penyelaras 1, Saudara Amru Khalid bin Sazali kerana beliau tidak dapat memberikan ucapan pada malam tersebut. Ustaz Aishamuddin pula dijemput untuk menyampaikan ucapan perasmian.


Video korporat ditayangkan oleh unit teknikal sejurus selepas ucapan perasmian tamat. Seterusnya, acara penyampaian kad raya dan cenderahati kepada pensyarah-pensyarah tasmi’ diadakan dan disempurnakan oleh Ustaz Aishamuddin sendiri. Jamuan makan malam bermula sebaik sahaja acara penyampaian kad raya dan cenderahati kepada pensyarah tasmi’ tamat. Pelajar banin telah memperdendangkan dua buah nasyid sambil pelajar-pelajar lain menikmati juadah yang dihidangkan. Menu utama pada malam tersebut adalah nasi goreng cina, lemang, satay, kuah kacang, nasi impit, rendang ayam dan air oren. Setelah menjamu selera, Ustaz Aishamuddin telah diiring pulang oleh Pengerusi IQRaC, Saudara Akmal bin Zulkarnain.


Setelah semua pelajar dan pensyarah tasmi’ selesai menjamu selera, sesi fotografi setiap halaqah tasmi’ banin dan banat telah berlangsung selama hampir 20 minit. Kemudian, kesemua pensyarah tasmi’ beransur meninggalkan pekarangan dewan bersama-sama cenderahati dan kad raya yang diberikan oleh halaqah masing-masing. Majlis tamat pada pukul 11.30 malam. 


Wallahualam.


EmoticonEmoticon