HENSHIN! 'Resfresh The Roh'

Bagaimanakah Iman Anda? Sihat?

Iman adalah satu aspek yang tidak boleh dipisahkan dari hidup setiap muslim. Jadi, atas kesedaran inilah Biro Tarbiyah dan Kerohanian telah mengendalikan sebuah program yang diberi nama ‘Henshin’ yang membawa maksud ‘berubah!’. Sesuai dengan temanya iaitu  Refresh The Roh, program ini dijalankan untuk menyingkap dan menyingkirkan jahiliyah yang berada di sanubari ahli IQRaC khususnya. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu bermula dari 12 Oktober 2012 bersamaan 26 Zulkaedah 1433H sehingga 13 Oktober 2012 bersamaan 27 Zulkaedah 1433H.


 12 Oktober 2012
Bagaimanapun, tirai Henshin dimulai sebuah forum bertajuk ‘Cinta dan Bagaimana Menguruskannya’.
               

Forum tersebut dikendalikan oleh saudara Muhammad Saiful Adlie bin Misnan selaku moderator, Ustaz Shaari bin Abdul Rahman selaku panel pertama dan isterinya, Ustazah Syuhada binti Shuib selaku panel kedua. Forum ini bertujuan untuk membuka minda para pelajar tentang fitrah cinta dan bagaimana menguruskannya dengan baik berlandaskan Islam. Alhamdulillah, para panel jemputan memberikan jawapan yang mantap terhadap soalan-soalan yang diajukan oleh moderator mengenai pandangan Islam terhadap cinta, isu couple dan ikhtilat.

 Majlis diteruskan pada sesi sebelah malam,iaitu slot ‘Refresh The Roh’. Tepat jam 8.50 malam,auditorium mula dipenuhi dengan para pelajar. Pada jam 9.00 malam,ketibaan penceramah disambut dengan ucapan alu-aluan daripada saudara Abdul Rahman bin Ibrahim selaku pengerusi majlis. Penceramah tersebut ialah Ustaz Nordin bin Jaafar yang menggantikan tempat Ustaz Amaluddin bin Mohd Napiah kerana beliau tidak dapat hadir untuk slot tersebut akibat sedikit masalah yang telah menimpa beliau. Penceramah yang merupakan bekas vokalis Raihan telah membuka ceramahnya dengan sebuah nasyid. Penceramah menyentuh mengenai bagaimana untuk memperbaharui iman seorang muslim.   Sesi soal jawab turut dibuka. Ceramah ini diakhiri dengan sebuah lagi lagu nasyid dan berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah. Tepat jam 11.00 malam, pelajar bersurai.




 13 Oktober 2012

Pada keesokan harinya, 13 Oktober 2012, bersamaan hari Sabtu, Qiamullail diadakan di sebelah pihak banin di masjid dan pihak banat di surau. Seawal jam 8.30 paginya pula, penceramah telah pun tiba di auditorium Sheikh Mohamad Nor. Beliau dijamu dengan sedikit kudapan sebelum bermulanya majlis. Setelah auditorium dipenuhi dengan para pelajar, pengerusi majlis iaitu saudara Zulfar Al-Abqari bin Asmawi mengalu-alukan kedatangan penceramah bagi slot ini iaitu Ustaz Wanji bin Wan Hussein. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ceramahnya yang bertajuk ‘Jahiliah Moden’. Penceramah telah berjaya mengupas tentang jahiliah moden yang semakin berleluasa di kalangan muslim sekarang. Selain itu, beliau telah menyentuh tentang pentingnya sikap kritis dan inovatif dalam masyarakat Islam masa kini. Beberapa soalan telah diajukan kepada penceramah.Dalam slot ini, penceramah telah berjaya menarik perhatian pelajar sehingga para pelajar memberi respon yang sangat baik dalam majlis ini. Seterusnya, penceramah menerima sedikit cenderahati daripada pihak majlis dan dijemput untuk menjamah sedikit jamuan ringan di sebelah kanan auditorium. Ceramah berakhir tepat jam10.50 pagi.



Setelah itu, pelajar-pelajar diberikan masa rehat selama 35 minit untuk memberi ruang kepada pelajar bagi menunaikan solat dhuha. Kudapan dan sedikit tayangan video selingan telah disediakan untuk para pelajar. Seterusnya, tepat jam 11.35,majlis diteruskan dengan tayangan video yang bertajuk ‘The Arrival’. Tayangan ini memberi gambaran tentang hakikat minda muslim zaman sekarang yang banyak dikuasai media massa. Video yang ditayangkan merupakn sembilan daripada episode-episod dokumentari ‘The Arrival’. Setelah itu, saudara Muhammad Siddiq Fadhil bin Sutrisno telah dijemput bagi menyampaikan pencerahan berdasarkan tayangan video tersebut. Beliau menekankan betapa pentingnya iman seseorang bagi menangkis sebarang bentuk jahiliah.


Seterusnya, pada jam 2.30 petang,para pelajar mula mendaftarkan diri di auditorium Sheikh Mohamad Nor bagi slot yang keempat.iaitu slot Diskusi IQRAC. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada saudara Ahmad Mukhlis bin Mohamad Amin selaku pengerusi majlis. Panel-panel terdiri daripada ahli IQRAC sendiri iaitu saudara Muhammad Azim bin  Rahimi selaku panel pertama, saudara Umar Hakimie selaku panel kedua dan saudari Nur Amira binti Shuib selaku panel ketiga. Diskusi ini dikendalikan oleh saudara Azim bin Azlan. Diskusi yang dijalankan berkisar tentang hala tuju ahli sem sebagai huffaz teknokrat. Sesi soal jawab telah dibuka. Diskusi ini ditutup dengan penyampaian cenderahati kepada ahli-ahli panel dan moderator. Tepat jam 4.32 petang,saudara Akmal bin Zulkarnain memberi sedikit khulasoh tentang diskusi tersebut.




Program Henshin berakhir dengan majlis penutup yang diadakan pada sebelah malamnya. Bermula jam 9.10 malam, pelajar mendaftarkan diri di auditorium Sheikh Mohamad Nor. Sedikit video selingan disajikan sementara menunggu perasmi majlis. Majlis bermula pada jam 9.25 malam. Pengerusi majlis, iaitu saudara Mohamad Anwar bin Muhd Ibrahim dan saudara Abdul Malik bin Ismail  mengalu-alukan ketibaan sebagai perasmi majlis penutup program Henshin merangkap pengerusi IQRaC. Beliau menjadi wakil perasmi kerana semua ustaz terlibat dalam program Bakti Huffaz. Majlis seterusnya menjemput saudara Muhammad Syazwan bin Basil untuk mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan diteruskan dengan ucapan oleh saudara Ahmad Zubair bin Muhd Asri merangkap Timbalan Penyelaras 1 Program. Tepat jam 9.50 malam, merasmikan majlis penutup program Henshin. Majlis berlanjutan dengan ucapan daripada saudara Muhammad Amin bin Adnan selaku penyelaras program. Beliau meminta para hadirin beristighfar sebanyak 3 kali sebagai penutup tirai program Henshin dan meminta agar lampu ditutup ketika beristighfar.  Hadirin seterusnya menikmati tayangan video korporat dan tayangan sepanjang program dan majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh saudara Muhd Abror bin Abdul Majid. Setelah selesai bacaan tasbih kifarah dan surah Al-‘Asr, majlis bersurai. Saudara Akmal bin Zulkarnain  dijemput untuk menikmati sedikit jamuan ringan di sebelah kanan auditorium.



EmoticonEmoticon