Anak Kecil Yang Takut Api Neraka


Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai,
sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis. Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu’. Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."


Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguhnya anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada
orang yang dewasa.Maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"


Catatan:

Telah Allah ciptakan neraka itu yang bahan bakarnya terdiri daripada batu dan manusia. 
Maka, janji Allah
pasti terlaksana. Cuma menunggu masanya.

Pernahkah kita terfikir akan panasnya neraka itu?
Adakah kita berasa bahawa kita akan selamat daripadanya?


Lihatlah diri kita dengan penglihatan yang suci daripada sifat ujub dan bangga diri. Amal kita ketika

ini menuju syurga atau neraka Allah? Solat kita. 

Apakah solat itu terbang tinggi ke sisi Tuhan atau sekadar tiba di langit pertama lantas dilempar keras
ke muka kita semula?

Sama-samalah kita memperingati sementara kita masih diberi masa. Mati tidak menanti tua dan sakit. Ramai orang yang hidupnya tanpa sakit tetapi pergi meninggalkan dunia secara tiba-tiba.

Semoga kita sentiasa berada di kalangan orang-orang yang ruku’ dan sujud kepada Tuhan alam semesta ini.


Wahai akhawat fillah sama-sama kita doa moga kita sentiasa di dalam keredhaannya. Mencintai Allah dan
berkasih sayang sesama kita hanya kerana-Nya.

Sayang fillah ...


EmoticonEmoticon