Ini Sungguh Bagus :)

Pada zaman dahulu kala di negeri Afrika, terdapat seorang raja yang memrintah dengan adil dan saksama.
Raja Afrika tersebut mempunyai seorang sahabat bernama Koami.

Koami mempunyai satu sifat yang sungguh unik iaitu Koami suka melihat setiap perkara yang berlaku (positif mahupun negatif) dalam hidupnya sebagai sesuatu yang baik dengan mengucapkan, "Ini sungguh bagus."


Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari Raja Afrika mengajak Koami pergi memburu di dalam hutan. Sepertimana kebiasaan, Koami menyediakan peralatan untuk memburu seperti senapang, peluru makanan dan lain-lain.

Entah bagaimana Koami terlupa untuk memeriksa senapang tersebut samada masih elok atau tidak. Ketika di dalam hutan, Raja Afrika melihat seekor rusa jantan di celah-celah semak, dengan pantas Raja Afrika menembak menggunakan senapang yang dibawa oleh Koami. "Pom!!"

Senapang tersebut meletup dengan sangat kuat apabila picunya ditekan. Akibatnya Raja Afrika kehilangan ibu jari kanan kerana letupan senapang tersebut dan menjerit-jerit menahan kesakitan.
Tiba-tiba keluar dari mulut Koami, "Ini sungguh bagus."

Bagaikan terabkar telinga Raja Afrika apabila mendengar kata-kata Koami itu dan berkata dengan marahnya, "Bodoh, ini tidak bagus! Pengawal! Kurung Koami di dalam penjara seumur hidup!"

Setelah setahun berlalu, pada suatu hari Raja Afrika bersama beberapa orang pengawal keluar memburu di dalam hutan. Alangkah malangnya, nasib Raja Afrika tersebut kerana terserempak dengan Puak Madura yang suka memakan daging manusia.

Raja Afrika dan pengawal-pengawal ditangkap dan diperiksa seorang demi seorang bagi memastikan manusia buruan mereka sempurna tubuh badan. Apabila melihat Raja Afrika tidak memiliki ibu jari kanan, Puak Madura tersebut melepaskan Raja Afrika tersebut kerana pada kepercayaan Puak Madura, manusia yang tidak sempurna tubuh badan akan menjadi sumpahan jika makan.

Betapa besyukurnya Raja Afrika tersebut kerana selamat daripada dimakan oleh Puak Madura itu. Barulah Raja Afrika sedar bahawa benarlah kata-kata sahabat rapatnya Koami, "Ini sungguh bagus." ketika peristiwa Raja Afrika kehilangan ibu jarinya setahun yang lalu.


Raja Afrika memerintahkan supaya Koami dilepaskan dan Raja Afrika dengan rasa rendah diri memohon maaf di atas tindakannya mengurung Koami di dalam penjara. Tetapi Koami berkata, "Ini sungguh bagus."

Terkejutnya Raja Afrika mendengar kata-kata itu dan bertanya, "Mengapa pula sungguh bagus?"
Dengan selamba Koami menjawab, "Jika Tuanku tidak mengurung patik, sudah tentu patik bersama-sama Tuanku pergi memburu dan bertemu dengan Puak Madura itu dan akhirnya patik akan mati dimakan Puak Madura itu."

Raja Afrika hanya duduk terpaku memikirkan kebenaran kata-kata Koami tersebut. :)

Melihat Dengan Mata Allah


Allah Maha Melihat. Melihat seluruhnya. Apabila mata Allah melihat, pasti tidak akan ada satu pun yang terlepas dari pandangan Allah walau sekelumit zarah sekalipun yang zahir mahupun yang tersembunyi. Subhanallah.... Tetapi ciptaan yang bernama "insan" itu seringkali melihat dengan pandangan hati. Andai hati itu bersih, pasti yang tersmbunyi kelihatan berseri. Tetapi apabila hati itu banyak dosa yang berkelompok, maka hasilnya tunggu dan lihat.

"Di hati seorang insan yang penuh dengan kebergantungannya pada Allah S.W.T itu pasti keputusannya juga sepenuhnya bergantung pada Allah."

Pilihan Allah adalah pilihannya, tetapi bagaimana kita tahu pilihan itu adalah pilihan Allah terhadap kita? Pada saya jawapannya adalah istikharah. Istikharah memohon petunjuk Allah S.W.T. Pandanganglah dengan pandangan Allah. Pandangan kebaikan untuk setiap ketentuan,


Apabila kita memandang setiap ketentuan Allah, setiap ujian Allah dan setiap pemberian Allah ke atas diri kita dengan pandangan yang penuh hikmah, pasti yang akan kita temui bukan noktah.

Tetapi kelembutan dan kasih sayang yang tidak pernah renggang, sungguhpun yang Dia berikan itu adalah kesakitan yang kita rasakan tidak akan pernah hilang. Masa yang berlalu berbekalkan kesabaran akan membuka mata yang bersengkang untuk meminta kebenaran hikmah luas terbentang dan ketika itu, adakah masih mahu menentang? Atau mengeluh panjang di atas segala nasib yang dikatakan malang? 

Jangan, Allah itu Maha Penyayang. Apabila Allah memberikan pasti pemberian itu ada kebaikan yang kemudiannya akan membuat kita tenang. Andai kesabaran menjadi tunjang dan berbaik sangka pada Allah yang selalu kita ingatkan.

"Insan"  itu kejadiannya banyak kelemahan. Ujian datang untuk mendidik hati untuk beriman lembut menerima setiap pengajaran dan berfikir tentang kekuasaan Dia yang menciptakan.

Manusia itu tidak terlepas dari ujian yang menjadikan rapuhnya iman, tersungkur ke taah bagai tiada kekuatan untuk bankit bertahan. Menimbulkan banyak persoalan kenapa dan mengapa Allah memberikan kesakitan.

Namun apabila pertolongan Allah datang melalui teman, segala peringatan Allah disampaikan melalui peti suara insan, kembali kukuh, senyum menikmati hikmah kehidupan. Mangambil pelajaran dan pengajaran atas setiap pemberian. Sesungguhnya ujian begini sangatlah ringan andai dibandingkan dengan mereka terdahulu yang berperang menegakkan kebenaran. SubhanaAllah.


Allah itu masih sayang dan sangat sayang akan hambanya kerana itulah Dia memberikan ujian. Ujian itu tandanya mata Allah, perhatian Allah masih pada kita, masih belum berpaling dari kita dan masih tidak jemu mahu mendidik kita agar sedar akan diri kita, amal ibadah kita, dunia kita dan akhirat kita kelak. InsyAllah.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : Kami telah beriman, sedang mereka masih belum diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta."
 (Al-Ankabut : 1)



Majlis Riang Raya IQRaC [TRiQ]

Majlis jamuan makan malam Riang Ria Raya IQRaC 2012 merupakan sebuah majlis yang dianjurkan oleh Ahli Majlis Tertinggi IQRaC. Majlis ini telah diadakan pada malam 13 September 2012 bersamaan 27 Syawal 1433H. Majlis ini telah dirasmikan oleh penasihat Intellectual Quranic Generation Club (IQRaC) iaitu, Ustaz Aishamuddin bin Samsungei.


Bermula pada 12 September hingga 13 September 2012, semua pelajar IQRaC semester 2 telah diminta untuk berpuasa bersama-sama. Pada petang 13 September (Khamis) sebuah majlis iftor perdana telah diadakan di asrama masing-masing. Pada malamnya pula, majlis jamuan makan malam Riang Ria Raya IQRaC diadakan.


Bermula jam 9.15 malam, semua pelajar banin dan banat telah mula memenuhi ruang Dewan Muktamar setelah mengesahkan kehadiran masing-masing di pintu utama. Setiap pelajar banin telah diberikan butang baju melayu dan pelajar banat pula diberikan sebiji kerongsang setiap seorang sebagai cenderahati. Pada jam 9.30 malam, pensyarah-pensyarah tasmi’ mula memenuhi ruang meja makan VIP. Kedatangan Ustaz Aishamuddin sebagai tetamu VIP telah diiringi oleh Pengerusi IQRaC, Saudara Akmal bin Zulkarnain dan Timbalan Penyelaras 1, Saudara Amru Khalid bin Sazali tepat pada jam 9.45 malam.


Gimik pengacara majlis terus bermula sebaik sahaja kesemua tetamu VIP mengambil tempat di meja makan. Gimik ini telah berlangsung selama hampir 10 minit. Majlis dipengerusikan oleh Saudara Haikal Syafie dan Saudara Jamaluddin bin Sahlan. Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Timbalan Pengerusi IQRaC, Saudara Hud Al-Hasyir bin Haironeze. Ayat-ayat suci Al-Quranul Karim telah dialunkan oleh Saudara Mohd Syafiq bin Mohd Iqbal. Ucapan alu-aluan telah diberikan oleh Pengerusi IQRaC, Saudara Akmal bin Zulkarnain bagi menggantikan Timbalan Penyelaras 1, Saudara Amru Khalid bin Sazali kerana beliau tidak dapat memberikan ucapan pada malam tersebut. Ustaz Aishamuddin pula dijemput untuk menyampaikan ucapan perasmian.


Video korporat ditayangkan oleh unit teknikal sejurus selepas ucapan perasmian tamat. Seterusnya, acara penyampaian kad raya dan cenderahati kepada pensyarah-pensyarah tasmi’ diadakan dan disempurnakan oleh Ustaz Aishamuddin sendiri. Jamuan makan malam bermula sebaik sahaja acara penyampaian kad raya dan cenderahati kepada pensyarah tasmi’ tamat. Pelajar banin telah memperdendangkan dua buah nasyid sambil pelajar-pelajar lain menikmati juadah yang dihidangkan. Menu utama pada malam tersebut adalah nasi goreng cina, lemang, satay, kuah kacang, nasi impit, rendang ayam dan air oren. Setelah menjamu selera, Ustaz Aishamuddin telah diiring pulang oleh Pengerusi IQRaC, Saudara Akmal bin Zulkarnain.


Setelah semua pelajar dan pensyarah tasmi’ selesai menjamu selera, sesi fotografi setiap halaqah tasmi’ banin dan banat telah berlangsung selama hampir 20 minit. Kemudian, kesemua pensyarah tasmi’ beransur meninggalkan pekarangan dewan bersama-sama cenderahati dan kad raya yang diberikan oleh halaqah masing-masing. Majlis tamat pada pukul 11.30 malam. 


Wallahualam.

The Miracle of Al-Quran Through Science and Technology (THE MOST)

Program The Most merupakan satu program mega yang dikendalikan oleh Biro Akademik. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu bermula dari 7 September 2012 bersamaan 21 Syawal 1433H sehingga 8 September 2012 bersamaan 22 Syawal 1433H.

7 September 2012
MALAM- Tirai The Most dibuka dengan tayangan movie ‘Meet The Robinson’ yang diadakan di auditorium Sheikh Mohamad Nor. Tayangan ini bermula pada jam 9.00 malam. Kehadiran pada malam tersebut sangat menggalakkan. 

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada saudara Akmal bin Zulkarnain selaku penyelaras. Dalam ucapannya, beliau menyatakan harapannya agar program ini dapat membongkar rahsia-rahsia yang terkandung dalam Al-Quran terutama yang berkaitan dengan perkara sains dan teknologi. Beliau turut berharap usaha ini dapat membantu dalam melahirkan huffaz yang profesional pada masa hadapan.  Tayangan movie diakhiri dengan sesi pencerahan daripada saudara Muhammad Amin bin Adnan.


8 September 2012
PAGI- Sabtu dimulkan dengan Qiamullail. Seawal jam 8.30 paginya pula, pelajar sudah mula mendaftarkan diri di Dewan Muktamar. Pelajar mula melengkapkan bahan-bahan pameran bagi halaqah masing-masing di tempat yang disediakan. Buku-buku jualan tersusun rapi di bahagian belakang dewan. Pada jam 9.10 pagi, ketibaan penceramah telah disambut dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis. Penceramah tersebut ialah Ir Ahmad Jais Alias As-Syazili. Majlis diteruskan dengan ceramahnya yang bertajuk ‘Islam dan Teknologi’. Penceramah turut menyentuh mengenai sifat-sifat yang perlu ada pada seorang saintis muslim.

Pelajar seterusnya mula bertebaran untuk melihat pameran di bahagian belakang dewan. Ustaz Ir Ahmad Jais Alias As-Syazili juga sempat membuat lawatan di beberapa buah pameran. Penilaian telah dibuat oleh beberapa orang juri. Dimulakan dengan kumpulan yang membentangkan projek hujan diikuti dengan projek roket dan seterusnya. Sebanyak 7 kumpulan telah mengambil bahagian dalam pameran ini.





PETANG- Pada jam 2.30 petang, sekali lagi para pelajar mula mendaftarkan diri dan mengambil tempat masing-masing. Penceramah untuk sesi ini ialah Professor Madya Dr. Mohd Arip bin Kasmo bagi menggantikan penceramah yang telah dijadualkan iaitu Dr. Jamnul Azhar bin Mulkan yang tidak dapat hadir akibat masalah kesihatan. Beliau menyampaikan ceramahnya yang bertajuk ‘Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran Al-Kareem’ atau lebih dikenali sebagai PASAK.



MALAM- Pengerusi majlis, iaitu saudara Muhammad Burhanuddin bin Mahadar dan Ahmad Izzat Nizar bin Hashim mengalu-alukan ketibaan Ustaz Aishamuddin bin Samsungei sebagai perasmi majlis penutup program The Most merangkap penasihat IQRaC. Majlis seterusnya menjemput saudara Mohd Fawwaz Shahidi bin Yaacob untuk mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan diteruskan dengan ucapan oleh saudara Zubair bin Amir Nur Rashid merangkap Timbalan Penyelaras 1 Program. Seterunya ucapan oleh Ustaz Aishamuddin dan seterusnya merasmikan majlis penutup program The Most.
               
Majlis berlanjutan dengan penyampaian hadiah yang disampaikan oleh Ustaz Aishamuddin kepada para pemenang pertandingan pameran. Johan telah digondol oleh kumpulan yang menjalankan projek pergerakan bumi. Manakala tempat kedua dan ketiga disandang oleh kumpulan yang menjalankan projek ‘big bang’ dan hujan. Saguhati turut diberikan kepada kumpulan lain yang kurang bernasib baik. Namun, projek gelombang bunyi, roket, lampu dan pita rakaman yang dijalankan oleh mereka tidak kurang hebatnya.


Wallahualam.