HENSHIN! 'Resfresh The Roh'

Bagaimanakah Iman Anda? Sihat?

Iman adalah satu aspek yang tidak boleh dipisahkan dari hidup setiap muslim. Jadi, atas kesedaran inilah Biro Tarbiyah dan Kerohanian telah mengendalikan sebuah program yang diberi nama ‘Henshin’ yang membawa maksud ‘berubah!’. Sesuai dengan temanya iaitu  Refresh The Roh, program ini dijalankan untuk menyingkap dan menyingkirkan jahiliyah yang berada di sanubari ahli IQRaC khususnya. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu bermula dari 12 Oktober 2012 bersamaan 26 Zulkaedah 1433H sehingga 13 Oktober 2012 bersamaan 27 Zulkaedah 1433H.


 12 Oktober 2012
Bagaimanapun, tirai Henshin dimulai sebuah forum bertajuk ‘Cinta dan Bagaimana Menguruskannya’.
               

Forum tersebut dikendalikan oleh saudara Muhammad Saiful Adlie bin Misnan selaku moderator, Ustaz Shaari bin Abdul Rahman selaku panel pertama dan isterinya, Ustazah Syuhada binti Shuib selaku panel kedua. Forum ini bertujuan untuk membuka minda para pelajar tentang fitrah cinta dan bagaimana menguruskannya dengan baik berlandaskan Islam. Alhamdulillah, para panel jemputan memberikan jawapan yang mantap terhadap soalan-soalan yang diajukan oleh moderator mengenai pandangan Islam terhadap cinta, isu couple dan ikhtilat.

 Majlis diteruskan pada sesi sebelah malam,iaitu slot ‘Refresh The Roh’. Tepat jam 8.50 malam,auditorium mula dipenuhi dengan para pelajar. Pada jam 9.00 malam,ketibaan penceramah disambut dengan ucapan alu-aluan daripada saudara Abdul Rahman bin Ibrahim selaku pengerusi majlis. Penceramah tersebut ialah Ustaz Nordin bin Jaafar yang menggantikan tempat Ustaz Amaluddin bin Mohd Napiah kerana beliau tidak dapat hadir untuk slot tersebut akibat sedikit masalah yang telah menimpa beliau. Penceramah yang merupakan bekas vokalis Raihan telah membuka ceramahnya dengan sebuah nasyid. Penceramah menyentuh mengenai bagaimana untuk memperbaharui iman seorang muslim.   Sesi soal jawab turut dibuka. Ceramah ini diakhiri dengan sebuah lagi lagu nasyid dan berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah. Tepat jam 11.00 malam, pelajar bersurai.




 13 Oktober 2012

Pada keesokan harinya, 13 Oktober 2012, bersamaan hari Sabtu, Qiamullail diadakan di sebelah pihak banin di masjid dan pihak banat di surau. Seawal jam 8.30 paginya pula, penceramah telah pun tiba di auditorium Sheikh Mohamad Nor. Beliau dijamu dengan sedikit kudapan sebelum bermulanya majlis. Setelah auditorium dipenuhi dengan para pelajar, pengerusi majlis iaitu saudara Zulfar Al-Abqari bin Asmawi mengalu-alukan kedatangan penceramah bagi slot ini iaitu Ustaz Wanji bin Wan Hussein. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ceramahnya yang bertajuk ‘Jahiliah Moden’. Penceramah telah berjaya mengupas tentang jahiliah moden yang semakin berleluasa di kalangan muslim sekarang. Selain itu, beliau telah menyentuh tentang pentingnya sikap kritis dan inovatif dalam masyarakat Islam masa kini. Beberapa soalan telah diajukan kepada penceramah.Dalam slot ini, penceramah telah berjaya menarik perhatian pelajar sehingga para pelajar memberi respon yang sangat baik dalam majlis ini. Seterusnya, penceramah menerima sedikit cenderahati daripada pihak majlis dan dijemput untuk menjamah sedikit jamuan ringan di sebelah kanan auditorium. Ceramah berakhir tepat jam10.50 pagi.



Setelah itu, pelajar-pelajar diberikan masa rehat selama 35 minit untuk memberi ruang kepada pelajar bagi menunaikan solat dhuha. Kudapan dan sedikit tayangan video selingan telah disediakan untuk para pelajar. Seterusnya, tepat jam 11.35,majlis diteruskan dengan tayangan video yang bertajuk ‘The Arrival’. Tayangan ini memberi gambaran tentang hakikat minda muslim zaman sekarang yang banyak dikuasai media massa. Video yang ditayangkan merupakn sembilan daripada episode-episod dokumentari ‘The Arrival’. Setelah itu, saudara Muhammad Siddiq Fadhil bin Sutrisno telah dijemput bagi menyampaikan pencerahan berdasarkan tayangan video tersebut. Beliau menekankan betapa pentingnya iman seseorang bagi menangkis sebarang bentuk jahiliah.


Seterusnya, pada jam 2.30 petang,para pelajar mula mendaftarkan diri di auditorium Sheikh Mohamad Nor bagi slot yang keempat.iaitu slot Diskusi IQRAC. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada saudara Ahmad Mukhlis bin Mohamad Amin selaku pengerusi majlis. Panel-panel terdiri daripada ahli IQRAC sendiri iaitu saudara Muhammad Azim bin  Rahimi selaku panel pertama, saudara Umar Hakimie selaku panel kedua dan saudari Nur Amira binti Shuib selaku panel ketiga. Diskusi ini dikendalikan oleh saudara Azim bin Azlan. Diskusi yang dijalankan berkisar tentang hala tuju ahli sem sebagai huffaz teknokrat. Sesi soal jawab telah dibuka. Diskusi ini ditutup dengan penyampaian cenderahati kepada ahli-ahli panel dan moderator. Tepat jam 4.32 petang,saudara Akmal bin Zulkarnain memberi sedikit khulasoh tentang diskusi tersebut.




Program Henshin berakhir dengan majlis penutup yang diadakan pada sebelah malamnya. Bermula jam 9.10 malam, pelajar mendaftarkan diri di auditorium Sheikh Mohamad Nor. Sedikit video selingan disajikan sementara menunggu perasmi majlis. Majlis bermula pada jam 9.25 malam. Pengerusi majlis, iaitu saudara Mohamad Anwar bin Muhd Ibrahim dan saudara Abdul Malik bin Ismail  mengalu-alukan ketibaan sebagai perasmi majlis penutup program Henshin merangkap pengerusi IQRaC. Beliau menjadi wakil perasmi kerana semua ustaz terlibat dalam program Bakti Huffaz. Majlis seterusnya menjemput saudara Muhammad Syazwan bin Basil untuk mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan diteruskan dengan ucapan oleh saudara Ahmad Zubair bin Muhd Asri merangkap Timbalan Penyelaras 1 Program. Tepat jam 9.50 malam, merasmikan majlis penutup program Henshin. Majlis berlanjutan dengan ucapan daripada saudara Muhammad Amin bin Adnan selaku penyelaras program. Beliau meminta para hadirin beristighfar sebanyak 3 kali sebagai penutup tirai program Henshin dan meminta agar lampu ditutup ketika beristighfar.  Hadirin seterusnya menikmati tayangan video korporat dan tayangan sepanjang program dan majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh saudara Muhd Abror bin Abdul Majid. Setelah selesai bacaan tasbih kifarah dan surah Al-‘Asr, majlis bersurai. Saudara Akmal bin Zulkarnain  dijemput untuk menikmati sedikit jamuan ringan di sebelah kanan auditorium.


Hidup Ini

Hidup kita cuma..
Hidup kita cuma dalam 3 hari:

1.Semalam-sudah menjadi sejarah
2.Hari ini-apa yang sedang kita lakukan
3.Esok-hari yang belum pasti

Hisablah hari pertama, semoga hari kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua

Hidup cuma dalam dua nafas:

1. Nafas naik
2. Nafas turun

Hargailah nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dab carilah keredhaan-Nya dalam menggunakannya.

Bertaubatlah dalam nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.


Hidup yang abadi hanya ada dua tempat:

1.Kekal di dalam neraka
2.Kekal di dalam syurga

Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada Rukun Iman. Rukun Iman itu pula ada 6 dan hilang salah satu daripadanya, maka hilanglah ia. Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha HEBAT. Tidak terfikir oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya terjemahkan Rukun Islam yang lima itu dan puncaknya adalah SOLAT… Amat sukar dipercayai bagi yang ingin ke syurga tetapi tidak bersolat, umpama seorang yang ingin menaiki kapal terbang tetapi tidak mempunyai 'boarding pass'. Mereka yang sengaja melalaikan solat, umpama mengeposkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem, apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampaipada penerimanya, lalu dia pun berkata setemnya akan dihantar kemudian. Ada 2 penyelesaian dalam kes ini:

1.Dia mungkin didenda
2.Segala suratnya masuk tong sampah

Oleh itu, tidakkah kita semestinya bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sekurang-kurangnya Allah telah beri udara secara percuma untuk kita berzikir mengingati Allah setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali kepada Allah dalam keadaan jiwa yang tenang lalu masuk ke syurga dalam keadaan kita redha dan Allah meredhai.

10 PERINGATAN BUMI

Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan 10 perkara:


1. Hai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan di azab dalm perutku
2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.
3. Engkau ketawa di atas perutku,tetapi ingatlah engkau akan menangis di dalam perutku
4. Engkau bergembira di atas belakangku,tetapi ingatlah engkau akan kecewa di dalam perutku.
5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku. Tetapi ingatlah engkau akan menyesal di dalam perutku
6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku
7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah engkau akan dihina di dalam perutku
8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku,tetapi ingatlah engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.
9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.
10. Engkau hidup di atas belakang beramai2, tetapi ingatlah engkau akan keseorangan di dalam perutku. 

Kisah Si Tukang Kayu


Di suatu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjanya sebagai tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. 

Dalam fikirannya lagi, dengan tenaga yang semakin kurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang. Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara. Tetapi, dia tetap dengan keputusannya. Lalu, tukang kayu itu memberitahu majikannya tentang hasratnya itu.

Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Akhirnya, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.


Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangkamasa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut dan memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata "Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."

Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi.


*moralnya kita hendaklah ikhlas dalam setiap perbuatan kita J


Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah


Oleh: Dr. Fathi Yakan

Assalamualaikum wr. wbt.

Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yangmempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina,memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya. Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat interaktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah ke atas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia di seluruh pelusuk alam.

Benarlah seperti firman Allah Taala yang bermaksud: "Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul".(An Nisa' 165)

Dan firman-Nya yang bermaksud: "Dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi ke atas kamu".(Al Baqarah 143).

Walau bagaimanapun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak lagi merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.


Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali ???

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: 

"Biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya".

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

1. Seseorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.

2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret kepada kematiannya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.

3. Kemudian duduk di hadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata. Di samping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.

Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka; kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Untuk merealisasikan kebersamaan ini seseorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan "muraqabah" dan "muhasabah" serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi di zaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah S.A.W secara khusus mengenai zaman tersebut di mana orang yang siuman menjadi bingung, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi, antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia".(hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh. Amin ya rabbaal alamin.

ya ALLAH, jauhkanlah aku dari dugaan syaitan