Ahlan Wasahlan Ila Darul Quran





“ Encik boleh ke dewan muktamar yang tersergam indah depan tu ye. Yang depan garaj tu.” Senyum. 



“ Puan, kita tangkap gambar dulu boleh. Sebagai tanda kenang-kenangan. Lepas itu baru daftar. “ Senyum.

“ Ok, lepas semak borang-borang ini, adik boleh pergi ke kaunter sebelah untuk pembayaran yuran.” Senyum.

Haa..begitulah gelagat urus setia pendaftaran adik-adik IQRaC 13/14 yang terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar-pelajar. Penat tapi puas.

Alhamdulillah, untuk sesi 13/14, seramai lebih kurang 170 orang pelajar dari setiap pelosok Malaysia telah mendaftar di Dewan Muktamar Darul Quran pada 7 Januari 2013. Satu jumlah yang memberansangkan. Melebihi jumlah pelajar yang mendaftar untuk sesi-sesi sebelum ini terutama jumlah pelajar banin yang menjangkau 90 orang.

Harapnya semua akan tetap berada di Darul Quran walau seberat mana pun cabaran dan dugaan yang bakal menimpa mereka.

Dan tidak ketinggalan juga kepada ahli IQRaC 12/13 yang mendaftar untuk sem 3 pada 14 Januari 2013, seminggu selepas adik-adik daftar. Harapnya semua abang-abang dan adik-adik berazam untuk menegakkan syiar Islam berpandukan apa yang tertulis dalam Al-Quran.

Dan harapnya, semua dapat menghadirkan sepenuh hati dan semangat ke bumi barakah ini. Bukan hanya jasad sahaja yang hadir seperti yang diungkapkan oleh Ibnu Jauziyah :

“Ketahuilah bahawa seorang hamba menempuh perjalanannya menuju Allah dengan hati dan semangatnya, bukan dengan tubuhnya. Sesungguhnya hakikat taqwa itu ada dalam hati, bukan pada anggota tubuh.”
Dan firman Allah yang bermaksud :

“Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul daripada kekuatan hati.”
(al-Hajj: 32)

Jadi, tetapkan hati dan kuatkan semangat untuk bermujahadah dan bermuamalah dengan Al-Quran!