KELEBIHAN BERSIWAK


Dalam buku Qasas as Soilihin, Syeikh Hamid Ahmad Tahir membawakan satu kisah tentang keistimewaan orang yang mengamalkan SIWAK.


            Pada kurun kelapan hijrah, kerajaan Islam di bawah pemerintahan Abbasiyyah telah menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk alam. Ketika mereka memerangi musuh di Negara Samarakand, tentera Islam tidak dapat menembusi benteng yang dibuat oleh musuh. Benteng yang menjadi penghalang itu ialah tentera-tentera yang berdiri di sepanjang pintu dan dinding kota. Keadaan ini merunsingkan panglima tentera Islam.

            Salah seorang tentera panglima Islam di situ mengumpulkan semua tentera di suatu kawasan, kemudian bertanya, “adakah sesiapa dalam kalangan kita yang tidak menunaikan solat?” Mereka berkata, ”tidak!”.

            “Adakah sesiapa dalam kalangan kita yang ada meninggalkan satu daripada sunnah Nabi?”, tanya panglima itu lagi.

            Semuanya terdiam. Setelah berfikir dan bertanya sesama  sendiri, barulah mereka tersedar di sepanjang peperangan, mereka terlupa sunnah BERSIWAK ketika wuduk dan solat. Mereka segera memanjat pohon kurma dan beberapa pohon kayu dan mengambil kayu yang sesuai untuk bersiwak.

            Tidak lama kemudian, muazzin melaungkan azan dan semua tentera sedia untuk menunaikan solat. Ketika itu, pengintip dari pihak musuh menyelinap masuk ke khemah tentera Islam untuk mendapatkan berita tentang tentera Islam. Mereka terus menjadi gementar dan menggigil ketakutan dan segera berlari kepada kaumnya untuk membawa satu berita yang dahsyat!

            Mereka berkata kepada kaumnya, “sesungguhnya musuh kita bukanlah sembarangan manusia. Aku lihat orang Islam sekarang ini sedang mengasah gigi-gigi mereka dengan kayu untuk memakan kita seorang demi seorang.Maka bersedialah kamu untuk DIRATAH MEREKA!

            Mereka menyangka perbuatan siwak yang dilakukan tentera Islam itu seperti orang mengasah sesuatu dan mereka menganggap orang Islam ialah sejenis kaum yang memakan daging manusia. Mereka menjadi gerun dan sedia berundur dari medan perang. Akhirnya tentera Islam Berjaya menawan kota tersebut dengan cepat  dan mudah.

            Setelah penduduk kota itu memeluk Islam dan menggunakan siwak sebagai sunnah harian, mereka akan ketawa jika menggunakannya.

 “Kami dikurniakan Islam dengan berkat SUNNAH BERSIWAK, maka hidupkanlah kami,Ya Allah dalam agama Islam dan dalam keadaan sentiasa melazimi sunnah.”