MAFATIHUL MAHABBAH PENSIJILAN SESI 13/14


Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz Darul Quran(PERKEMAT DQ) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar Darul Quran telah mengadakan program Mafatihul Mahabbah Pensijilan sesi 13/14. Program ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh PERKEMAT DQ.

Program Mafatihul Mahabbah yang bermula pada 12-14 Januari 2013 yang lepas,telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Nur Laman Bestari, yang terletak di Ulu Yam, Selangor telah menjadi saksi terlaksananya program pada kali ini. Hasil Kerjasama yang mantap daripada 45 pelaksana program dengan dibantu 16 orang fasilitator mampu mengendalikan program ini dengan penglibatan peserta Pensijilan DQ-UIAM sesi 13/14 seramai 95 orang pelajar banin dan 60 orang pelajar banat. 


Antara objektif program kali ini adalah mendedahkan dan menekankan kepada peserta tentang kepentingan alquran dalam kehidupan seharian. Disamping itu pihak penganjur juga menekankan pembinaaan ukhuwwah diantara peserta dan juga pimpinan. Dalam masa yang sama,ingin membina sifat kepimpinan dalam kalangan peserta.

Pengisian kali ini dimuatkan dengan eksplorasi ukhuwwah,3 sesi ceramah yang disampaikan oleh penceramah yang mantap thaqofahnya iaitu ust Imam Muda Nazrul, Ust Shaari dan Ust Wan Ji. 




Selain itu, pelbagai aktiviti menarik lagi bermanfaat telah diadakan sepanjang program berlangsung seperti aktiviti riadah bermodul,latihan dalam kumpulan(LDK) dan tidak ketinggalan slot bersama Pimpinan PERKEMAT sesi 12/13. 



Turut dimuatkan juga pengisian muhasabah huffaz yang dikendalikan oleh Ust Mizan.Majlis Perasmian Penutupan Program telah dirasmikan oleh Ust Ahmad Bin Ismail.


Bulan Wafatnya Junjungan Mulia

Sempena bulan Rabiul Awal kali ini, sedang ramai orang menyebut mengenai hari kelahiran nabi, apa kata kita renungkan saat kewafatan Rasulullah yang mana jatuh tarikhnya dalam bulan ini juga. MasyaAllah, sungguh cantik ketetapan Allah terhadap nasib hambanya. Jom kita renungkan reaksi para sahabat apabila Rasulullah berada di akhir hayatnya.


KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W.

Rasulullah s.a.w. wafat setelah Baginda mengetahui ajalnya telah hampir melalui jalan wahyu. Baginda mengucap selamat tinggal kepada orang ramai pada Hajjatul Wada'. Hati-hati para sahabat berdebar-debar, gelisah dan bimbang sekiranya ajal Baginda telah hampir. Namun apabila ajal yang ditetapkan oleh Allah datang, ia tidak dapat ditangguhkan. Apabila berita kewafatan Rasul s.a.w. tersebar, se mua para sahabat menjadi kacau bilau kerana tragedi yang dahsyat itu. Madinah bergegar hebat. Ramai para sahabat yang besar dan mereka yang terdahulu memeluk Islam hilang kewarasan akalnya. Ada di kalangan mereka yang lidahnya kelu. Ada yang jatuh lumpuh tak berdaya bergerak. Ada pula (iaitu Umar) yang menghunus pedangnya seraya melarang orang ramai mengatakan Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau mendakwa Baginda sekadar koma dan akan kembali semula kepada mereka. Hanya Abu Bakar seorang sahaja yang masih teguh jiwanya. Beliau masuk menziarahi Rasulullah s.a.w. sedang Baginda kaku diselubungi (selimut) di atas katilnya. Beliau lantas mengucupi Baginda seraya berkata: "Aku tebus kamu dengan bapa dan ibuku, wahai Rasulullah! Alangkah eloknya kamu ketika hidup mahupun mati! Kematian yang Allah suratkan kepadamu telah kamu rasai. Kamu tidak akan ditimpa kematian lagi selepas ini untuk selama-lamanya. Wahai Rasulullah, ingatilah kami di sisi Tuhanmu." Kemudian Abu Bakar keluar menemui orang ramai. Beliau berucap kepada mereka seraya berkata: "Wahai manusia! Sesiapa yang menyembah Muhammad. Muhammad telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati." Kemudian dia membacakan firman Allah:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu). (Ali Imran: 144)

Apabila Abu Bakar membaca ayat al-Quran tersebut, mereka tersedar daripada kejutan yang dahsyat itu. Mereka seolah-olah tidak pernah mendengar ayat tersebut sebelum itu. Kata Abu Hurairah: Umar berkata: "Demi Allah, tidak terlintas firman Allah yang demikian melainkan apabila aku mendengar Abu Bakar membacanya. Lantas aku terkejut dan kebingungan sehingga aku terduduk ke bumi kerana kedua kaki ku tidak berdaya menanggungku. Ketika itu aku tahu bahawa Rasulullah s.a.w. telah mati." 


Pengajaran

Terdapat dua pengajaran yang cukup mendalam di sini:

Pertama:

Para sahabat terkejut dengan kematian Rasulullah s.a.w. hingga seolah-olah kematian tidak mungkin berlaku kepada Baginda. Padahal kematian itu penghujung kepada setiap kehidupan. Fenomena ini berlaku kerana mereka amat mencintai Rasulullah s.a.w.. Cinta mereka itu menyerap ke dalam darah dan urat saraf mereka. Kehebatan kejutan kerana kehilangan kekasih adalah mengikut kadar kecintaan tersebut. Kita lihat orang yang kehilangan anak atau bapa, masih tidak mempercayai dia telah kehilangannya berhari-hari lamanya. Apakah cinta di dunia ini yang mencapai kehebatan cinta para sahabat yang baik ini kepada Rasulullah s.a.w.? Allah telah memberi petunjuk kepada mereka melalui Baginda. Baginda juga telah menyelamatkan mereka daripada kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran, mengubah kehidupan mereka, membuka pemikiran dan pandangan mereka, serta mengangkat mereka ke tahap tokoh pemimpin yang agung. Selanjutnya lagi, Baginda juga berperanan sebagai pendidik, hakim dan pemberi panduan kepada mereka. Mereka merujuk kepadanya ketika malapetaka, meminta panduan ketika berhadapan dengan peristiwa-peristiwa dan mengambil firman Allah untuk mereka melalui Baginda. Mereka juga mengambil hadis-hadis dan pengajaran Baginda untuk mereka. Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, semua ini telah terputus. Kejutan apakah lagi yang lebih hebat dan dahsyat daripada kejutan ini?

Kedua:

Pendirian Abu Bakar menunjukkan beliau seorang yang memiliki jiwa yang teguh dan bersemangat waja ketika berhadapan dengan malapetaka. Kriteria ini tidak dimiliki oleh sahabat lain. Ini menjadikan beliau orang yang paling layak untuk menggantikan Rasulullah s.a.w.. Sifat ini juga terbukti ketika beliau menangani gerakan murtad di semenanjung tanah Arab.

                                                                        Petikan daripada Sirah Nabawiyah oleh Mustafa Sibaie


Semoga kita juga mendapat husnul khatimah dan menjadi setabah Abu Bakar As-Siddiq dan para sahabat yang lain. T_T
Pesanan Buat Hamalatul Quran

Pesanan Buat Hamalatul Quran

Assalamualaikum,

Tanggal 7/1/2013,Alhamdulillah I.Q.Rac menerima kehadiran adik2 baru pensijilan dq uiam,abg-abg dan kakak-kakakmu di sini mengalu-alukan kedatangan adik2 semua ke bumi barakah darul quran

Wahai adik2 ku yang bakal menjadi hamalatul quran

Sesungguhnya Allah akan menguji hamba-hambaNya yang menghafal al-quran. Sejauh mana keazaman kita dalam hafazan. Oleh sebab itu, kita lihat ramai yang menghafal al-quran yang diuji dengan pelbagai ujian yang kadang-kadang kita rasa tidak mampu untuk menanggungnya. Maka tidak hairanlah kita menyaksikan mereka yang telah menghafal al-Quran tewas dan terlibat dalam maksiat yang sangat parah.

Al-Quran tidak akan lekat di hati orang-orang yang tidak mampu untuk menjaganya sebaik mungkin, maka beruntunglah mereka yang menghafal, menghayati serta mengamalkan isi al-quran tersebut…

Jadikanlah tujuan dan matlamat di sebalik menghafal al-Qur’an semata-mata hanya kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah, (Ikhlas) serta hadirkan dalam hati bahawa apa yang dibaca itu adalah kalam Allah. Jauhilah dari menghafal al-Qur’an untuk mendapatkan kedudukan disisi manusia (dipuji) ataupun untuk mendapatkan habuan dunia.

Lupa hafalan al-Qur’an adalah antara musibah yang besar. Sebenarnya hanya orang-orang yang terpilih sahaja yang dapat menghafal al-quran.

Imam Syafie Rahimahullah yang terkenal dengan cepat hafalannya pun pernah mengadu kepada gurunya Waqi’ Rahimahullah bahawa suatu hari dia terasa amat sukar untuk menghafal, lalu gurunya menunjukkan kepadanya satu bentuk rawatan yang tegas iaitu dengan meninggalkan perkara-perkara maksiat dan membersihkan hatinya dari semua perkara yang menghalang dari tuhannya. al-Quran adalah cahaya . Cahaya Allah tidak dapat bersama dengan perkara kemaksiatan.

Para Sahabat yang ku kasihi..

Mata kita selalu melihat al-Quran, tetapi dengan mata ini juga kita selalu melakukan zina mata (cth :melihat lelaki ajnabi tanpa urusan yang mengharuskan), telinga ini selalu mendengar kalam Allah, tetapi dengan telinga ini juga kita selalu mendengar apa yg bertentangan dengan Kata-kata Allah(cth: Muzik yang akhirnya melalaikan) , mulut ini sentiasa membaca KalamNya, tetapi sering juga mulut ini mengumpat, membuka aib orang, jari-jemari kita sentiasa memegang Mushaf al-Quran, tetapi dengannya juga kita selalu SMS atau Chating dengan ajnabi tentang perkara-perkara yang sia-sia…

Adakah kita sering meninggalkan tidur kita semata-mata untuk bangun Solat Tahajjud . Qiamulail adalah warisan bagi mereka yang menghafal al-Quran.

Sehari kita tinggalkan al-Quran, Seminggu al-Quran meninggalkan kita, Sebulan kita tinggalkan al-Quran, Setahun al-Quran meninggalkan kita..

Walaupun seharian kita sibuk dengan pelajaran , utamakan tanggungjawab kita dengan al-Quran terlebih dahulu, Kerana apabila kita mengutamakan al-Quran, Allah akan mengajar kita kerana ilmu itu datang dariNya, dan akan mempermudahkan segala urusan kita. Insya Allah.

Banyak manakah kita meluangkan masa kita bersama dengan al-Quran (Murajaah/Mengulang) dalam seharian ?? Murajaah/ulang semula akan apa yang telah dihafal merupakan tanggungjawab kita dengan Allah.

Sudahkah kita berahklak dengan Akhlak al-Quran. Sedangkan perbuatan kita seharian selalu bertentangan al-Quran. Malulah kita dengan al-Quran terutama lagi dengan Pencipta kita , Allah.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri yang lemah dan hina ini, dan peringatan juga buat sahabat-sahabat yang menghafal al-quran.

Barakallahu fikum…

                                                                                                     Muhammad Hud Al-Hashir

Ahlan Wasahlan Ila Darul Quran





“ Encik boleh ke dewan muktamar yang tersergam indah depan tu ye. Yang depan garaj tu.” Senyum. 



“ Puan, kita tangkap gambar dulu boleh. Sebagai tanda kenang-kenangan. Lepas itu baru daftar. “ Senyum.

“ Ok, lepas semak borang-borang ini, adik boleh pergi ke kaunter sebelah untuk pembayaran yuran.” Senyum.

Haa..begitulah gelagat urus setia pendaftaran adik-adik IQRaC 13/14 yang terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar-pelajar. Penat tapi puas.

Alhamdulillah, untuk sesi 13/14, seramai lebih kurang 170 orang pelajar dari setiap pelosok Malaysia telah mendaftar di Dewan Muktamar Darul Quran pada 7 Januari 2013. Satu jumlah yang memberansangkan. Melebihi jumlah pelajar yang mendaftar untuk sesi-sesi sebelum ini terutama jumlah pelajar banin yang menjangkau 90 orang.

Harapnya semua akan tetap berada di Darul Quran walau seberat mana pun cabaran dan dugaan yang bakal menimpa mereka.

Dan tidak ketinggalan juga kepada ahli IQRaC 12/13 yang mendaftar untuk sem 3 pada 14 Januari 2013, seminggu selepas adik-adik daftar. Harapnya semua abang-abang dan adik-adik berazam untuk menegakkan syiar Islam berpandukan apa yang tertulis dalam Al-Quran.

Dan harapnya, semua dapat menghadirkan sepenuh hati dan semangat ke bumi barakah ini. Bukan hanya jasad sahaja yang hadir seperti yang diungkapkan oleh Ibnu Jauziyah :

“Ketahuilah bahawa seorang hamba menempuh perjalanannya menuju Allah dengan hati dan semangatnya, bukan dengan tubuhnya. Sesungguhnya hakikat taqwa itu ada dalam hati, bukan pada anggota tubuh.”
Dan firman Allah yang bermaksud :

“Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul daripada kekuatan hati.”
(al-Hajj: 32)

Jadi, tetapkan hati dan kuatkan semangat untuk bermujahadah dan bermuamalah dengan Al-Quran!