Pecah II

Pecah II

Bismillah. Dengan nama Allah yang masih menguatkan hati yang semakin lemah.

"Aku sedih la. Asyik gagal je. Futur lah macam ni. Hmm"

_Anon

"Kenapa hidup aku selalu susah eh? Asyik-asyik kena uji. Penat laa."

_Anon

Kau tahu, kadang-kadang Allah sengaja mahu uji kau dengan perkara yang kau tak suka. 

Kau tahu Allah uji kau sebab apa? Allah lebih sayang kau sebenarnya. 

"Habis kalau Allah sayang aku, kenapa aku selalu kena uji? Sedih tau.."

_Anon

Apa yang kau mahu apabila kau sayang seseorang? Kau nak dia lebih dekat dengan kau kan?

Allah uji kau, dan kau pula yang lari dari kasih sayang Dia. Pergi lah sujud dan rukuk kepadaNya.

"Aku tengok orang lain usaha biasa-biasa tapi kenapa lulus exam? Aku usaha yang bagai nak gila ni, masih gagal. Kenapa?"

Nak tahu beza dia dengan kau? 
Berkat.

Mungkin Allah sengaja belum bagi kau cemerlang. Supaya kau akan terus sabar, dan terus usaha lebih pada masa hadapan.

Dan dia yang selalu cemerlang, suatu masa, dia juga akan jatuh. Seperti kamu. Dan masa itu, baru kau dan dia sedar, kita tak akan selamanya di atas.

Allah akan mudah makbulkan doa kau dalam 2 keadaan. Usaha kamu dan Berkat Allah.

Kau usaha walau sekeras manapun, tiada berkat Dia, kau gagal.

Kau usaha sedikit, tapi Allah berkat, kau berjaya.

Tapi apa yang kau harus tahu. Allah tetap akan makbulkan juga permintaan kamu. 

Mungkin sekarang.
Mungkin Allah tangguh dulu.
Dan mungkin, Allah ada rancangan yang lebih baik untuk kau.

Maka bersabarlah. Dan menangislah kepadaNya.

"Menangislah, kerna bukan hanya tawa yang ada didunia. Kadang manusia terlalu sombong utk menangis, lantas kenapa air mata itu dicipta?

Tak salah kiranya mutiara itu gugur. Bukan bermakna kau lemah. Mungkin dengan cara tersebut boleh legakan sedikit hati?"

_Anon

Dan kau, hati yang telah sedih itu.
Terus berlari kepadaNya.

Takkan sebab kesedihan itu,
Kamu lari daripadaNya?

Orang yang sabar dan redha itu, akan kutip serpihan hati yang telah hancur, cantum dan serah kepadaNya.

Tawakkal lah. Apa yang Allah rancang untuk kamu, sudah terlebih baik.

Selamat meneruskan semester.

"Dhur thani tak hina pun. Yang lagi hina apabila kamu iadah untuk elak dhur thani."

-Anon-








Bakti Bpart Program Keinsafan

Bakti Bpart Program Keinsafan


Perjalanan ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Baru hanya mengambil masa lebih kurang 5 hingga 10 minit sahaja kerana lokasinya yang agak berdekatan dengan Darul Quran.Hasrat dihati ingin berbakti sebelum kami bercuti setelah taat semester 2.
Setibanya kami dirumah tersebut,acara perasmian program Bakti Bpart diadakan didewan yang dirasmikan oleh pengetua rumah tersebut, Puan Hajah Mariani bt Mohd Saad.

Kelibat seorang mak cik berbangsa Cina bersama kerusi rodanya,berumur dalam lingkungan 60-an munucl didepan pintu.Langsung kami tidak mengerti apa yang dibicarakannya,namun kami tetap tersenyum tanda menghormatinya.

Setiap dari kami merasai pengalaman ini sendiri.
dan ini adalah antara kisah-kisah yang kami alami..




Kisah 1

Asal mana,adik beradik berapa,selalu buat apa kat sini,makan pukul berapa,tidur pukul berapa.

Otakku memusing ligat mencari – cari topik lain untuk dibicarakan.
Dan Ting!tetiba Allah datangkan ilham

“Auntie,auntie suka baca tak?”

“India boleh la sikit sikit.Melayu Inggeris tak reti.Belajar kat tuisyen tiga kali,bukan sekolah kerajaan”

“Ohh..”

“Auntie,saya nak belajar bahasa Tamil lah!”Kata aku sambil menghadiahkan senyuman terbaik aku.

“satu apa Auntie?”

Unne,Ende,Mune,Nale,Anji

“Erk,Apa Auntie nombor satu?hehe..”

Terkial-kial aku nak mengajuk sebutannya.Tambahan lagi,giginya sudah hilang sebatang di depan menyukarkan aku menangkap sebutannya.

“Aunite,apa tadi satu sampai lima?”

Dengan sabarnya Auntie tu mengulang nombor-nombor itu kepadaku.

“Auntie, Unne,Ende,Mune,Nale,Anji,Yay!”
Tersenyum lebar Auntie leihat anak muridnya.

“Satu sampai lima je?Enam sampai sepuluh?”
Err.Okeylah,aku boleh go on lagi ni.InsyaAllah.
Ok ok,kita sambung Aunite.Enam sampai sepuluh pulak”

“A re’”

“Ah?”

A RE’”

“aduh,adik!,”gelaknya menahan ketawa.Geli hati melihat aku yang terkial kial.First time belajar tamil.Memang le.

Setelah hampir sepuluh kali ,mengulang nombor-nombor tamil tersebut dengan kepayahan  dan ketidakbiasaan,aku berjaya menyebut dengan lancer.Alhamdulillah!

‘Nah kacang.Makan makan”ujar mak cik itu.

“Err,takpe.auntie makan lah,nanti susah auntie nak beli lagi”

Alhamdulillah,aku tak pulang dengan tangan kosong.


Kisah 2



"Tak ape kalau mak cik lupa semua perkara sebab 
saya tahu,Mak cik  masih belum lupa Allah"






Aku melangkah setapak ke tempat dimana penghuni menetap.Sunyi,suram,kebanyakkan mereka terlantar diatas katil.
Perlahan-lahan aku menghampiri sebuah katil.Seorang warga tua yang sangat uzur ,tak bermaya berusaha membetulkan posisi duduknya.wajahnya muram.

“Mak Cik nak duduk ke?”lalu aku cuba membantunya.

Mak cik itu memandang,sayu..

“Mak cik,saya duduk disini boleh?”Aku duduk menghembuskan nafasku yang lelah

Kelihatan kitab Yassin dan tahlil di sudut meja .

“Mak cik baca ni tiap-tiap hari?”dia hanya mengangguk tanpa bersuara.

Aku diam sejenak memandangnya,memikirkan ibu bapa ku dirumah.

“mak cik..mak cik dah lupa nama mak cik.umur pun.Semua benda dah..dah lupa”

Dia ulangi lagi”Semua lupa”

“Tak mengapa,Mak cik”aku usap tangannya yang sudah menampakkan garis-garis tua itu
                                                                     
*********


“Masa makan tengahari!” seorang pekerja berbangsa India menolak troli membawa makanan

“Kita makan nasi ye kejap lagi, mak cik?”

“Ma...makan nasi selalu tumpah.Bo..boleh suapakn Mak cik?”suaranya tersekat-sekat namun masih boleh difahami

“Boleh saje,Mak cik”

“Adikk,,,nak tolong suapkan nasi untuk mak cik Minah?”

“Erm,,terima kasih,akak”

“Ha,Mak CIK Minah,,saya dah tahu nama Mak cik,nganga Mak cik”

Krukk.perut berkeroncong.kuat juga bunyinya.buat malu sahaja..

“Hahaa.saya pulak yang lapar,Mak cik”

Dia tergelak.Dari tadi yang asyik bermuram,akhirnya dia ketawa juga..

Bahagia aku melihatnya.

Mungkin sekarang,aku mampu mengungkap janji.
Bilamana ibu bapaku tua nanti,aku akan membalas jasa mereka setelah sekian lama menjagaku
Itu janji sekarang
Tapi..
Bagaimana bila aku sudah meningkat dewasa nanti,sudah berjaya,sibuk mengejar kerjaya,berkeluarga,punya anak sendiri.
Janji itu hanya sekadar kata-kata,boleh saja,ia melayang pergi
Tapi aku pinta janji ini aku ikat bersama,kuat talinya,tak terbang tak melayang walau dipukul kuat angin melanda..

Dan bagaimana pula bila aku yang tua nanti,,

 ditepuk dari lamunan,aku tersedar..

“Hei,dah nak kena pergi dewan kejap lagi”kawanku menyapa
“Eh,kejapnya.”
“Mak cikk,saya dah nak balik ni”dia diam..
“Mak cik Minah...”perlahan aku memanggil namanya
“Tak ape kalau mak cik lupa semua perkara sebab saya tahu,Mak cik  masih belum lupa Allah,Mak cik selalu ingat Allah ye,kan mak cik baca Yassin tiap tiap hari..”
“Saya pulang dulu mak cik”ku kucup tangannya itu dan berlalu pergi.Tak mampu menoleh .sebak ini tak mampu ditahan lagi.

----------------------------------------------------------------------------------------------------
HADITH :ANAK YANG BERBUAT BAIK KEPADA IBUBAPANYA
MEMILIKI DARJAT YANG ISTIMEWA.


Usair bin Jabir berkata:

Biasanya ‘Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada di kalangan mereka ada seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar. Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.

Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Daripada Murod, kemudian daripada Qarn?”

“Ya” jawab orang tersebut.

‘Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?”

Orang itu menjawab: “Ya.”.

Lantas ‘Umar berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar.[1]

Demikianlah besarnya darjat seorang anak yang berbuat baik kepada ibunya sehingga jika dia bersumpah, nescaya sumpahnya dibenarkan oleh Allah. Jika dia meminta ampun kepada Allah untuk seseorang, nescaya Allah akan mengampunkan orang tersebut. Sebegitu besar darjatnya sehingga seorang sahabat yang mulia kedudukannya, yakni Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh, tidak melepaskan peluang untuk mencarinya dan memintanya untuk mendoakan keampunan untuk dirinya.

Ruj
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2542 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan ukan
Uwais al-Qarni).

                                           





Rumusan semula terhadap Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Rumusan semula terhadap Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Makalah ini sebagai satu tulisan susulan kepada entri Aku, Simposium IQRaC dan Ustaz Hasrizal di blog IQRaC sekitar seminggu yang lepas. Atas permintaan ramai, maka saya memaksakan diri juga mencuri masa untuk menulis dalam keadaan setiap orang  sedang sibuk untuk bersiap menghadapi imtihan yang bakal mendatang. Namun, tidaklah menjadi satu masalah kerana menulis memang antara salah satu hobi saya, kalau tak di sini, insha Allah akan kelihatan tulisan-tulisan saya di wall Facebook hampir setiap hari. Writing is my passion. Manusia akan sanggup untuk bersusah payah dengan perkara yang mereka minati. Insha Allah, doakan agar tulisan ini ada manfaatnya untuk ummah secara am dan IQRaC sendiri secara khususnya.

Penulisan kali ini saya memang sudah meletakkan target agar sedikit ilmiah, dengan kemasukan pelbagai input dan maklumat yang didapati sepanjang sesi ceramah Ustaz Hasrizal pada simposium tempoh hari. Maka, saya akan cuba untuk menulis sedikit ‘review’ atau ulasan ilmiah dalam pembentangan ustaz yang bertajuk Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran. Kerana saya berhasrat untuk berkongsi dapatan ilmu dan hikmah yang sangat banyak daripada sesi ceramah pada ahli sem semasa sesi Kullimin (Kuliah Lima Minit). Akan tetapi, dek kerana kekangan masa dan peluang, maka saya berpendapat, blog IQRaC ialah platform terbaik untuk saya meluahkan apa yang terbuku dalam fikiran. Insha Allah.

Sejarah dan Ilmu Seorang Muslim

Pada awal pembentangan, Ustaz Hasrizal memulakan sesi curahan ilmu dengan definisi sejarah. . Dan memang menjadi satu kebiasaan yang wajib bagi setiap perkara untuk dimulakan dengan sesi pendefinisian supaya hala tuju perbincangan akan menjadi lebih mudah dan jelas. Selaku sarjana yang sudah lama berkecimpung dalam hal sebegini, maka saya yakin beliau sudah sangat arif berkenaan susunan disiplin ilmu berikut. Ustaz Hasrizal ada menyentuh berkenaan apa itu sejarah? Apakah siginifikan sejarah pada kita selaku seorang muslim. Apakah kepentingan sejarah pada kita? Bagaimanakah cara untuk kita melihat sejarah dari sudut pandang yang berbeza?

 Maka secara mudahnya, dapat saya simpulkan bahawa sejarah ialah satu bentuk pengalaman lalu  yang dialami oleh individu, kumpulan, bangsa dan negara. Ada satu kata-kata daripada ustaz yang saya tertarik dengannya dan tak rugi jika saya nukilkan kembali di sini.

“ Sejarah bukan tentang siapa, bila, di mana tetapi bagaimana kita mahu memahami siapa, bila, dan di mana”

Seterusnya beliau beralih pula pada ilmu-ilmu yang seharusnya ada pada seseorang individu Muslim. Menurut ustaz, pembentangan ini beliau ambil daripada sebuah buku hasil karya ulama kontemporari dunia, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi iaitu Kitab Thaqafah Ad-Daie’ah. Buku ini antara salah satu kitab karangan beliau yang walaubagaimanpun amat menghairankan apabila tidak terlalu terkenal seperti kitab-kitabnya yang lain, di mana Ustaz Hasrizal sendiri mengaku bahawa kitab ini tidak menempah nama sebaris dengan karya seperti Fiqh Awlawiyat dan Halal wa Haram fi Islam. Faktornya? Wallahua’lam.

Di dalam kitab tersebut, Sheikh Yusuf telah menggariskan beberapa disiplin ilmu yang wajib dikuasai oleh seorang muslim atau daie untuk menjadi seorang agen pencerahan Islam yang baik. Melalui penerangan semula oleh Ustaz Hasrizal, memang tampak jelas akan penekanan  yang diberikan oleh sheikh berkenaan peri pentingnya ilmu pada seorang muslim akan kebodohan mereka tidak terpalit pada keindahan Islam.

6 disiplin ilmu tersebut ialah:
1. Ilmu Sejarah (At-Thaqafah At-Tarikhiah)
2. Ilmu Pengetahuan Islam (At-Thaqafah Al-Islamiah)
    Eg: Quran Sunnah, Usul Fiqh, Usuluddin, Aqidah, Tasawwuf
3. Ilmu Kemanusiaan (At-Thaqafah Al-Insaniah)
    Eg: Sosiologi, Antropologi, Psikologi, Ekonomi, Falsafah, Etika
4. Ilmu Kesusasteraan dan Bahasa (At-Thaqafah Al-Adabiah wa Al-Laghwiyah)
5. Ilmu Kajian Lapangan Semasa (At-Thaqafah Al-Waqi’iah)
    Eg: Fiqh Mua’sarah, Fiqh Awlawiyat, Fiqh Tawwaqu’ (Fiqh Masa Depan)
6. Ilmu Sains (At-Thaqafah Al-Ilmiah)
    Eg: Matematik, Fizik, Kimia, Biologi, Seni bina, Robotik

Islam dan “Semalam”

Seterusnya, setelah panjang lebar menerangkan tentang disiplin ilmu yang wajib dikuasai oleh seorang daie berpandukan kitab At-Thaqafah Ad-Daie’ah, Ustaz Hasrizal beralih pula pada konsep sejarah menurut perspektif Islam.  Ustaz Hasrizal bertegas bahawa Islam datang dengan mengetengahkan konsep yang lebih baik dalam menilai sesebuah sejarah, iaitu konsep “ibrah” atau pengajaran. Ibrah menjadi batu asas kepada pembelajaran sejarah kerana  ilmu itu mesti berdiri di atas paksi Al-Haq (Kebenaran). Oleh yang demikian, tujuan paling fundamental kita meneliti sejarah adalah untuk menggarap ibrah di sebalik sejarah seterusnya dimuhasabakan kembali untuk kebaikan bersama. Dan untuk itu, ustaz ada menyertakan sekali sepotong ayat Quran,

“Demi sesungguhnya kisah Nabi-Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatngkan ibrah bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah dan rahmat bagi kaum yang beriman  (Yusuf 12:11)

Ibrah ialah elemen penghubung sesuatu dengan sesuatu. Antara semalam dan hari ini dihubungkan dengan ibrah. Ibrah menjadi penghubung dan pencerah kepada sesebuah peristiwa daripada pihak yang menyaksikannya dan pihak yang tidak menyaksikannya.

Konsep “Anfiqu, Ahsinu dan At-Tahlukah”

Secara jujurnya, ini ialah perkongsian yang paling mencengangkan dan mengagumkan saya sepanjang 2 jam sesi pembentangan. Idea yang diutarakan oleh ustaz dalam memahami suruhan Allah menerusi konsep “anfiqu” (berinfaklah) dan “ahsinu” (perbaikkanlah) sangat luar biasa, kritis dan luar kotak. Dua konsep ini diambil daripada Kalam Allah, Surah Al Baqarah 2:195
Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) di jalan Allah dan janganlah campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baik usaha) segala perbuatan kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Tatkala terpandangkan ayat ini, apakah perkara pertama yang kalian terbayangkan dalam fikiran? Terutamanya pada perkataan “At-Tahlukah” (Kebinasaan). Kalau saya (dan juga Abang Amru), secara spontan terpacul daripada bibir kami, “Ini kita biasa nampak dekat lukisan mural bahaya rokok dan dadah di dinding-dinding sekolah”. Agak kelakar apabila mengenangkan kembali, tetapi kalau kalian perasan dan imbau kembali, memang ayat ini menjadi modal untuk digandingkan bersama lukisan bahaya dadah dan rokok dalam lukisan mural. Betul kan?

Secara terperinci beliau mensyarahkan konsep ini kepada kami semua, insha Allah saya akan cuba tulis kembali dengan pemahaman saya sendiri. Ustaz Hasrizal menyediakan beberapa contoh untuk memantapkan lagi pemahaman kami. Antara contoh beliau.

1) Pada zaman projek menawan Konstatinopel sewaktu pemerintahan Khilafah Umayyah, pimpinan pada waktu itu mengeluarkan arahan untuk bersiap sedia berperang menakluki kota paling agung di dunia tersebut di samping untuk membuktikan hadis terkenal Nabi berkenaan penaklukan Konstatinopel pada legasi mereka. Namun, ramai rakyat yang tidak bersetuju kerana melihatkan peluang untuk kejayaan projek ini amatlah tipis dan hanya akan menatijahkan kegagalan. Pada waktu itu, konsep “At-Tahlukah” yang difahami majoriti umum:

Tahlukah = Kebinasaan = Kalah Perang

Berbeza pula dengan apa yang diyakini oleh seorang sahabat nabi  , Abu Ayub Al-Ansari bahawa “At-Tahlukah” itu ialah kerosakan dan kebinasaan disebabkan sifat bakhil/kedekut seseorang. Beliau berpendapat menyahut seruan jihad projek penaklukan ini bukanlah “At-Tahlukah” (Jangan mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan) kerana kebinasaan  itu ialah kerosakan disebabkan sifat bakhil. Maka, atas prinsip yang dipegang beliau menyertai legasi ke Konstatinopel dan  syahid di sana. Semoga Allah redha dengan beliau. Radhiallahu A’nhu.

2) Hubungan Infak dan Ahsinu. Di sini Ustaz Hasrizal, memberikan contoh situasi sewaktu menderma pada mangsa banjir dan pembinaan institusi tahfiz.
Apabila infak tidak disertai konsep “ahsinu” maka, ingak yang diberi sekadar ala kadar dan berlepas diri. Kualiti sesebuah infak tidak dititiberatkan dan dipandang enteng. Cukup sekadar “aku sudah menderma” yang menjadi justifikasi pada pelepasan atas kewajiban menderma atau mahu kelihatan seperti dermawan atau sekadar mahu membuang barang yang tidak mahu (misalnya baju lama yang dilapik dengan kehodohan lapisan “mahu menderma” pada mangsa banjir dengan pada niat asalnya ialah mahu membuang baju yang sudah tak dipakai). Mengapa kita tidak memberikan barang derma yang betul-betul baik dan berkualiti? Tidaklah saya bermaksud mahu menafikan niat baik mereka yang menderma, akan tetapi konsep “ahsinu”  itu mesti dibumikan. Letak diri kita pada situasi mangsa banjir tersebut, di saat kita hanya tinggal sehelai sepinggang, mengharap pada ihsan dan bantuan orang lain, dan yang dapat hanya sekadar barang terpakai dan murahan. Apa lagi yang mampu dibuat selain redha dan  bersyukur seadanya?

Seterusnya, infak tanpa disertai “ahsinu” akan membuahkan “At-Tahlukah”. Contoh yang boleh dilihat ialah pada situasi komuniti yang menyumbang harta untuk pembinaan sebuah maahad tahfiz. Tatkala duit sumbangan sudah mencukupi maka sebuah maahad tahfiz berjaya didirikan. Akan tetapi dek kerana perancangan untuk penambaikan dari segi pengurusan maahad tidak diambil berat, hanya sekadar fokus pada pengumpulan wang derma untuk pembinaan, maka dalam tempoh 3-4 tahun masalah short flow money mula berlaku. Masalah kewangan dari segi pembelian makanan asas untuk warga maahad, pembayaran gaji guru dan staf, pemulihan fasiliti dan sebagainya. Maka secara mudahnya, konsep infak dan “ahsinu” wajib dipandang dari sudut implikasi dan manfaat yang diperoleh selepas infak. Proses “ahsinu” itu mesti dikemaskan sejak dari awal supaya “At-Tahlukah tidak berlaku di pengakhirannya.

Bagus sekali bukan syarahan Ustaz Hasrizal ini? Sangat membuka minda.

Rangkaian Peristiwa

Seterunya, pada bahagian ini sensasi keterujaannya juga cukup menghiburkan. Ustaz Hasrizal cuba untuk membawa rangkaian peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu sehingga sekarang pada dunia barat mahupun Islam menggunakan elemen “Rasionalism, Romanticism dan Realism”

Dunia Barat
Sewaktu di awal zaman perkembangan pemikiran manusia, rata-rata mereka terpengaruh dengan aliran rationalism iaitu setiap perkara mesti disertakan logik dan bukti. Setiap orang akan menggunakan argument berbasiskan logik apabila mengutarakan pandangan sehingga akhirnya sifat kekerasan mula menular dalam kalangan masyarakat. Sampai di satu saat, manusia mula mengabaikan aspek emosi dan perasaan.

Kemudian apabila, keadaan kekerasan ini mula menguasai keadaan, lahirlah satu idea atau pendekatan untuk mengajak kembali manusia supaya bersifat lebih manusiawi, lebih berperasaan, lebih berperangai manusia yang selayaknya dengan tidak mengabaikan aspek emosi. Antara pencetusnya ialah daripada tokoh falsafah barat pada waktu itu iaitu Rosseau melalui novelnya Emily yang banyak menekakan kepentingan pada pemugaran emosi dalam kalangan masyarakat dan seruan untuk kembali padanya. Maka, manusia mula tersedar dan secara beransur-ansur beralih pada penumpuan aspek emosi. Time flies, dan masa yang berlalu ini membentuk pula budaya masyarakat yang terawan-awang, fantasi tidak berpijak pada realiti. Hal ini kerana emosi yang sudah diungkapkan melalui seni lukisan, muzik, tarian, cerita-cerita dewa yang terlalu melangit sehingga mendodoi masyarakat untuk terus berfantasi dan berkhayal. Maka budaya romanticism mula mengambil tempat.

Apabila fantasi ini terlalu meninggi hingga tidak lagi membumi, maka muncul satu golongan yang mendapat kesedaran bahawa kita mesti berpijak pada dunia yang nyata! It’s the time to get real man! Maka pada waktu itu manusia mula bertumpu pada aspek untuk memandang dunia dan hidup pada realiti dan lahirlah budaya realism.

Dunia Islam
Budaya atau aliran pemikiran rasionalism, romanticism dan realism ini menurut beliau berlaku juga pada kerangka dunia Islam. Di saat umat islam terlalu syadid pada agamanya, meminta dalil dan bukti pada setiap perkara ini hingga melahirkan golongan yang kita gelar “salafi. Wujudnya kekerasan ini sehinggan menyebabkan umat islam tidak lagi menitikberatkan aspek kerohanian kerana hanya mahu perbincangan berkisar pada kekuatan hujah berbasiskan dalil yang utuh.

Seterusnya, apabila umat islam mula sedar bahawa aspek kerohanian dan emosi tidak sepatutnya diambil enteng maka bermula fasa romanticism. Apabila budaya ber ‘ya hanana’, lau kana bainana (andai rasul bersama kita), berqasidah, berzanji mula berleluasa. Malah, implikasi yang lebih teruk apabila ajaran sesat mula tumbuh dengan rancak kerana masing-masing mula terawang-awang di mega awanan dan mudah terikut-ikut dengan budaya hiburan yang sudah dibalut dengan status islamik.

Sampai satu saat, di mana lahirnya golongan terutamanya anak muda yang merasakan budaya romanticism ini perlu segera diperbaiki dan umat islam perlu diketuk kembali kesedaran mereka agar kembali pada dunia reality. Maka lahirlah wacana dan diskusi anak muda yang membahaskan tentang idea-idea ciptaan manusia seperti Marxisme, Sosialisme, dan budaya rebel mula mendapat tempat di hati anak-anak muda. “Get a real life man!” kata mereka.

Walaupun saya tahu bahawa perkongsian ini sekadar satu perkongsian santai daripada ustaz, namun sedikit sebanyak ia menusuk juga kedalam hati malah mengetuk fikiran bahawa budaya rasionalism, romanticism dan realism ini memang hakikatnya ada berlaku dalam masyarakat muslim.

Mari kita bermuhasabah kembali.

Syarat Sejarawan

Pada penghujung pembentangan, ustaz ada menyatakan 10 ciri penting untuk menjadi seorang sejarawan yang berjaya.

            Melangsaikan pembacaan utama
2.       Pemikiran yang sistematik
3.       Bakat menganalisa dan mengkritik
4.       Sabar dan tenang
5.       Bekerja keras
6.       Objektif dan adil
7.       Berani dan tegas
8.       Berupaya memahami kepelbagaian konteks
9.       Sensitive dan peka pancaindera
10.   Mencintai peranan

Jadi saya kira setakat ini saya menghentikan penulisan kerana sudah terlalu panjang nampaknya, dan insha Allah tulisan ini ada sambungannya nanti kerana semasa sesi soal jawab pada pengakhiran sesi pembentangan, ustaz ada bercerita serba sedikit pengalaman beliau di Jordan dan sebab mengapa beliau memilih pengkajian terhadap Imam Birgivi dalam tesis master beliau, dan saya kira molek sekiranya saya menulis kembali penceritaan tersebut dalam sebuah entri yang lain.

Dengan ini diharapkan agar ulasan ringkas dan mudah saya ini mampu dimanfaatkan oleh, pertama kepada mereka yang datang ke simposium dan berhajat untuk “recall” kembali dapatan ilmu semasa sesi Ustaz Hasrizal, kedua kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke simposium terutamanya semasa sesi Ustaz Hasrizal, makalah ini sebagai ubat penghilang ralat dan duka di hati anda.

Saya sedar saya masih lagi baru dalam dunia penulisan. Masih lagi bertatih di saat ramai penulis di luar sana memecut di tahap yang saya tercungap mengejar mereka. Lantaran itu, saya sangat mengalu-alukan sebarang komentar mahupun kritikan terhadap penulisan ini, kerana saya mahu menjadi yang terbaik.

-Iman Danial Hakim-
Sem 2 IQRaC
12.19 a.m.






Al-Quran dan IQRaC

Bismillah.

“Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang mencipta.”

Dalam tulisan yang ringkas ini, saya ingin mengutarakan beberapa kesalan (khususnya saya sendiri) kerana peluang dan kesempatan istimewa yang dianugerahkan Allah kepada para penghafaz Al-Quran ini kelihatan tidak digunakan sepertimana sepatutnya. Ada yang memandang hafazan Al-Quran ini hanya sebagai satu ‘ritual’ kosong tanpa ada sebarang kesungguhan untuk meneliti semula isi kandungan Al-Quran dengan lebih mandalam. Repetisi demi repetisi sehingga lumat di mulut, tetapi tidak membekas langsung di akal. Sedangkan Al-Quran itu diturunkan sebagai sumber rujukan manusia di dunia, menggariskan matlamat hidup manusia sebagai khalifah dan hamba, tetapi isinya tidak pernah ingin difahami. Masakan tidak, kita lebih sibuk memikirkan kepentingan yang bersifat ‘mainstream’ daripada mencipta dan mengeluarkan sesuatu yang baru. Dalam tulisan ini, saya mengambil pendekatan mengupas isu ini khususnya daripada sudut pandang seorang pelajar IQRaC.


AL-QURAN DAN IQRAC

Sebagai pengenalan, Program Pensijilan Darul Quran ini boleh dikatakan secara umum adalah satu program yang memfokuskan seratus peratus kepada hafazan Al-Quran tanpa pembelajaran sampingan seperti Hadith, Tafsir, Bahasa Arab dan sebagainya yang amat penting untuk mendapat kefahaman yang baik terhadap kandungan Al-Quran. Tidak mengambil kira perubahan silibus adik-adik generasi baru yang ditambah pelajaran sampingan seperti Tafsir, Understanding Islam dan lain-lain. Fokus yang saya tuju ialah Program Pensijilan secara keseluruhan bermula generasi pertama sehingga kini. Jadi, setakat pemerhatian saya terdapat ramai yang tidak begitu menghargai sepenuhnya hafazan mereka untuk diaplikasikan ke dalam ilmu yang mereka dalami sama ada selepas keluar daripada Darul Quran mahupun ketika masih menuntut di sana. Termasuk diri saya sendiri, kami teraba-raba akan cara yang bagaimana untuk kita mampu mengaplikasikannya, kalau tidak sepenuhnya, beberapa tema-tema daripada Al-Quran itu pun sangat baik.
Faktor ini bagi saya adalah kerana ilmu alat untuk memahami Al-Quran itu sendiri tidak dikuasai. Kesedaran terhadap pentingnya ilmu-ilmu alat – seperti Bahasa Arab ini pun boleh dikatakan amat kurang. Ini menyebabkan kita kurang menghargai setiap kalimah demi kalimah yang terdapat dalam Al-Quran itu. Seperti yang kita sedia ketahui, Al-Quran itu sifatnya ‘Jawamiul Kalim’ iaitu setiap kalimah itu membawa pelbagai makna, yang boleh ditafsirkan secara meluas selagi tidak mengikut hawa nafsu. Dan proses penafsiran juga mempunyai metod-metod yang valid yang telah digariskan oleh ulama tafsir, maka menafsir Al-Quran mestilah berasaskan metod yang sesuai. Adab dalam menafsir Al-Quran mesti dijaga.


SIAPA PELAJAR IQRAC ?

Proses kemasukan mahasiswa ke dalam program Pensijilan Darul Quran adalah bertapis. Temuduga terhadap para pelajar adalah dimestikan sebelum diterima masuk ke dalam program ini (kecuali ada ‘link’ besar). Jadi, kebiasaannya yang terpilih masuk adalah (boleh dikatakan) ‘the cream of the cream’. Kebanyakannya berlatarbelakangkan sekolah agama dan cemerlang atau skor dalam peperiksaan percubaan SPM (kerana panggilan untuk temuduga dibuat sebelum SPM), dan saya yakin kebanyakannya juga adalah mereka yang mempunyai asas yang baik dalam Bahasa Arab. Jadi, boleh dikatakan mereka ini adalah yang diberi peluang dan anugerah oleh Allah menjalani proses pendidikan yang sangat baik sejak kecil.
Hendaklah diketahui bahawa kenyataan di atas bukan sama sekali satu pujian. Anugerah dan peluang yang dikurnia itu bukan ‘tasyrif’. Bukan satu bentuk kemuliaan dan kebanggaan semata-mata. Bahkan ia adalah satu ‘taklif’. Satu beban dan tanggungjawab yang harus dipandang serius. Bayangkan dengan kesenangan dan kemudahan yang kita peroleh sejak kecil untuk akses kepada ilmu dan maklumat, persekitaran yang baik untuk menuntut ilmu, orang-orang sekeliling yang memandang tinggi kepada pelajaran (biarpun ‘exam-oriented’), guru-guru yang berdedikasi bersungguh mendidik kita, ibubapa yang mengambil berat terhadap pengurusan hidup kita, dan pelbagai lagi kesenangan dan peluang yang kita terima, dan bandingkan usaha kita untuk capai setinggi tahap itu dengan mereka yang kurang diberikan peluang sepertimana yang kita dapat. Sudah tentu usaha mereka lebih tinggi. Kalau mereka mampu capai tahap yang sama dengan kita, wajar sekali kita malu dengan diri sendiri yang culas, kemudian menyangka kita sudah cukup beragama.
Kita mendapat pendidikan yang baik kerana peluang yang tersedia sentiasa milik kita. Mujur juga kita ditakdirkan memilih untuk tidak menyiakan peluang itu. Tetapi bayangkan mereka yang diuji Tuhan dan tidak mendapat peluang yang sama seperti kita. Ini bukan satu bentuk menyalahkan Tuhan kerana tidak memberi peluang yang sama kepada mereka, akan tetapi yang menjadi isu ialah bagaimana kita respon terhadap perkara itu. Tanggungjawab untuk membantu mereka terpundak sama sekali ke atas bahu kita. Sebab itu fokus saya ialah bagaimana kita ingin meletakkan penghargaan Al-Quran pada tempat yang tertinggi sebagai sumber utama Islam, sebagai rujukan utama cara hidup yang sebenar.


ILMU YANG TIDAK BERKESUDAHAN

Kita faham Al-Quran itu bukanlah mampu ditafsir sehingga mendapat makna yang paling benar dan tafsiran itu boleh dipakaikan(baca: secara mutlak) kepada semua jenis manusia tidak kira bangsa, tempat, warna, waktu bahkan zaman. Kerana keluasan rahmat Allah itulah yang memberikan kita kelonggaran dan keselesaan untuk melakukan amalan harian yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah.
Seperti juga mereka yang mengatakan pelajaran ilmu fardhu ain itu tidak berkesudahan, pastinya ilmu Al-Quran itu lebih tidak berkesudahan kerana ilmu dalam Al-Quran itulah yang menggariskan ilmu fardhu ain, bahkan mencakupi segala bidang-bidang ilmu yang lain. Ramai orang yang mengambil serius dalam mendalami ilmu fardhu ain, sehingga mengorbankan banyak masa dan tenaga demi kesempurnaan ilmu asas sebagai seorang Muslim yang baik dan berilmu. Ini tidak salah, bahkan amat mulia. Akan tetapi cuba lihat dan nilai semula di mana usaha kita dalam memahami ilmu Al-Quran ? Yang saya maksudkan adalah seperti setiap kali kita mengulang hafazan, apakah kita akan pastikan setiap kalimah yang disebut itu kita fahami ? Berapa kali kita belek tafsir setiap hari untuk memastikan kefahaman terhadap hafazan kita lebih mendalam ? Berapa tinggi rasa inkuiri dan keterujaan kita dalam mengetahui ‘sababun nuzul’ ayat itu, sejarah disebalik penurunan ayat, mengapa struktur ayatnya harus begitu, mengapa harus menggunakan perkataan itu sedangkan perkataan lain juga membawa maksud yang (lebih kurang) sama ? Contohnya seperti Tuhan menggunakan perkataan ‘insan’ di sesetengah tempat, dan ‘bashar’ di tempat yang lain sedangkan insan dan bashar membawa erti yang sama iaitu manusia. Juga mengapa harus cerita yang kelihatan sama diulang beberapa kali dalam Al-Quran ?
Kebanyakan soalan-soalan seperti ini kadang-kadang kita tidak pernah terasa untuk menemukan jawapan, barangkali kerana kita sudah memikirkan dari awal ia adalah satu usaha yang amat sukar. Atau barangkali soalan seperti ini dianggap tidak signifikan ? Atau sememangnya kita membaca dan menghafaz Al-Quran kerana ingin memenuhi pasaran pekerjaan juga ? Atau barangkali sebenarnya kerana kita sudah menyangka bahawa kita sudah beroleh pahala hanya dengan membaca ‘kosong’ daripadanya ?
Benar daripada hadith Nabi ada mengatakan :
“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an maka baginya kebaikan sepuluh kali lipat, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf.” (Shahih HR.Tirmidzi)
Terdapat ulama yang membahaskan semula sebenarnya yang dimaksudkan di dalam hadith berkenaan adalah ‘kebaikan’, di dalam Bahasa Arab iaitu ‘hasanah’, (sedangkan boleh sahaja Nabi menggunakan perkataan lain seperti ‘ajrun’ - ganjaran, ‘thawaab’ – balasan/pahala, dll) iaitu manfaat yang akan diperoleh hanya apabila kita faham benar dengan isi kandungan makna Al-Quran itu, lalu menjadi kebaikan yang nyata bagi kita apabila mengamalkannya. Apakah ilmu Al-Quran itu khusus untuk menguasai ilmu fardhu ain sahaja ?

Ilmu Al-Quran harus didalami sebagai merenung semua bidang ilmu.


IBADAH YANG LEBIH UTAMA

Tidak dinafikan terdapat pembahagian juga di antara membaca Al-Quran sahaja itu sudah dikira sebagai ibadah dan diberikan ganjaran yang lumayan di akhirat kelak. Saya sertakan sekali hujah yang melawan pendapat di atas iaitu berdasarkan ayat :
 “Sungguh Allah telah memberi karunia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata” [Ali Imran : 164]
Di dalam ayat ini digambarkan bahawa terdapat perbezaan antara membaca dan mempelajari maknanya. Ada yang membaca untuk merasai kelazatan permbacaan dan kecantikan gaya Bahasa dan susunan ayat sahaja, ada yang ingin menikmati kemerduan suara dan alunan Al-Quran, dan bermacam-macam lagi. Saya yakin selagi hati itu ikhlas bertujuan meraih redha Allah, dengan izin Allah akan diberi ganjaran kerana membaca Al-Quran.
Tetapi kalau kita kata begitu, apa beza IQRaC dan selainnya ?! Kalau kita pun masih sibuk hendak hanya melagu-lagukannya hingga ke peringkat antarabangsa, mengulang-ulang ayat yang sama untuk menempa nama sebagai huffaz Al-Quran dalam pertandingan-pertandingan, menjadi imam setahun sebulan untuk luaskan poket dan perut, siapa yang mahu bawa dan keluarkan kandungan Al-Quran ke peringkat masharakat terbanyak ?  Sedangkan kita pernah punyai masa sehari suntuk selama setahun setengah bergelumang dengan Al-Quran, kurang gangguan dan komitmen yang pelbagai, dan juga ujian iman yang kurang hebat berbanding berada di institusi lain yang diduga dengan pelbagai perkara. (?)


PANDANGAN SIMPLISTIK DAN ISLAMISASI ILMU

Bukan semestinya yang dimaksudkan dengan fokus kepada pemahaman Al-Quran itu adalah dengan hanya membaca Al-Quran semata-mata dan meninggalkan pembacaan lain. Untuk memahami Al-Quran juga perlu kepada ilmu-ilmu daripada kitab-kitab dan syarahan para ulama, huraian-huraian ilmu yang lebih terperinci daripada perbahasan tokoh-tokoh, ajaran dan nasihat guru-guru, naratif sejarah dan pencapaian orang terdahulu, dan juga pengalaman kehidupan itu sendiri. Pembelajaran Al-Quran bukanlah boleh berhenti seperti tamatnya perkiraan matematik; 5+5 = 10 selesai. Malah sentiasa berkembang melalui kefahaman yang sentiasa berevolusi dan bercambah dari semasa ke semasa. Pembacaan dari sumber-sumber lain juga (walaupun buku sekular sekalipun) adalah penting untuk meningkatkan pemahaman kita dalam perkara tertentu, yang mana pada akhirnya akan membuktikan kebenaran Al-Quran itu sendiri. Pada saya, inilah islamisasi ilmu atau pengislaman ilmu yang mana mewujudkan hubungan antara ilmu dan wahyu, tidak terpisah bahkan ilmu itu sendiri yang dirujuk berdasarkan wahyu, lalu melahirkan adab yang sempurna sebagai seorang Muslim yang baik. Mengambil contoh ayat Al-Quran:
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja.” [Al-Isra’:85]
Daripada ayat ini, jelas pengetahuan kita tentang ruh adalah terbatas. Akan tetapi bukan dengan mengetahui hakikat itu, kita terus meninggalkan perbincangan tentang ruh, bahkan sepatutnya ia dikaji sehingga sedalam mungkin hingga ke satu tahap di mana kita tidak mampu lagi mengetahui lebih mendalam. Maka barulah terbukti kebenaran firman Tuhan di dalam Al-Quran bahawa ilmu yang diberikan kepada kita tentang ruh itu adalah sedikit.


KESIMPULAN

Pada akhir tulisan ini, saya ingin bawa pembaca kembali melihat definisi Al-Quran yang masyhur daripada Syeikh Ali ash-Shabuni iaitu “Al-Qur'an adalah firman Allah yang tiada tandingannya, diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W penutup para nabi dan rasul, dengan perantaraan Malaikat Jibril dan ditulis pada mushaf-mushaf yang kemudian disampaikan kepada kita secara mutawatir, serta membaca dan mempelajarinya merupakan ibadah, yang dimulai dengan surat Al-Fatihah dan ditutup dengan surat An-Nas.” Juga saya bawakan pendapat Sheikh Muhammad Abduh tentang Al-Qur’an;
menurutnya, ‘pada hari akhir nanti Allah tidak menanyai kita mengenai pendapat-pendapat para Mufassir dan tentang bagaimana mereka ‘memahami’ Al-Qur’an, tetapi Allah akan menanyakan kepada kita tentang kitabNya yang Ia wahyukan untuk membimbing dan mengatur kita.’ Jadi persoalannya di mana kita ? Sedangkan yang dimaksudkan Sheikh Abduh itu pun tentang mereka yang faham, apatah lagi kita yang hanya baca tanpa faham ini. Moga Allah ampuni dosa kita semua kerana lalai akan peringatanNya. Mari sama-sama muhasabah dan berubah !




Amru Khalid.
3:30, 27 Oktober 2014.
IQRaC 12/13. Penganggur dan graduan matrikulasi ‘Economics and Management Sciences’ UIAM, Gombak.