Aku, Simposium IQRaC dan Ustaz Hasrizal

Aku, Simposium IQRaC dan Ustaz Hasrizal

Aku dan Simposium IQRaC
Aku mendapat tawaran daripada Biro Tarbiah dan Kerohanian untuk menjadi pengarah program Busyra Lana yang bertemakan keimanan dan dakwah. Namun aku melihat dalam kalangan pelajar IQRaC sendiri masih lemah pembudayaan ilmunya. Tumpuan mereka terlalu diarahkan pada hafalan Al-Quran. Aku tidaklah bermaksud untuk mengatakan perkara ini ialah satu perkara salah, jangan salah faham. Cuma bagaimana kita mahu menjadi agen muslim kalau tak diisi ilmu di dada? Malah dalam IQRaC itu sendiri mengandungi kalimah “Intellectual” yang kita sedia maklum apa maksudnya. Tidak malukah kita menyandang gelaran intelektual ke sana ke mari namun hakikatnya diri kosong?

Seterusnya aku mendapati pada bulan Oktober (tarikh pelaksanaan Busyra Lana) ada 3 program besar (Busyra Lana, I’jazul Quran dan Bakti Bpart) yang bakal dilaksanakan pada setiap minggu dalam masa sebulan. Melihatkan pada faktor masih ramai ahli yang belum menghabiskan muqarrar dan pada bulan hadapannya adalah peperiksaan akhir semester, maka aku mencadangkan pada Majlis Tertinggi IQRaC untuk  menggabungkan Busyra Lana dan I’jazul Quran di bawah satu program untuk menjimatkan masa sekaligus menjimatkan kos. Langkah ini dirasakan mampu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada ahli untuk menghabiskan muqarrar dan iadah sebagai persediaan untuk peperiksaan.

Namun masalahnya pada waktu itu, aku sudah ada rangka kasar bagaimana mahu menggabungkan kedua program ini, sayangnya aku tiada guideline untuk bagaimana mahu memastikan penggabungan ini berjaya. Di saat aku masih pening memikirkan cara tersebut, seorang sahabat yang aku agak rapat, Mun’im  (Timb Pengerusi IQRaC) memberitahu bahawa  ada 1 kertas kerja program berkenaan sebuah simposium yang tak terlaksanakan sejak berzaman. Aku tertarik dengan maklumat tersebut dan mula berusaha untuk menacari kertas kerja tersebut. Dan dipendekkan cerita atas bantuan daripada beberapa senior, akhirnya kertas kerja tersebut berjaya berada di tangan. Satu gagasan yang sangat baik daripada saudara Hasnan Daud, diploma 11/13 syukbah muamalat. Ada dinyatakan sekali dalam kertas tersebut bahawa cadangan ini sudah dibawa ke pihak pimpinan Perkemat

Dan untuk menceritakan bagaimana Simposium IQRaC tersebut dikembangkan daripada sebuah idea kepada realiti tak perlulah diceritakan. Daripada peringkat mesyuarat antara ajk simposium sehinggalah kepada pelaksanannya, the rest is history.

Aku cuma menyahut cabaran daripada saudara Hasnan Daud dan mengendalikan program ini atas keinginan aku sendiri, kerana sayangnya aku pada IQRaC. Kerana gelaran “Intellectual yang kita sandang ke sana ke mari bukannya kosong dan percuma.

Aku dan Ustaz Hasrizal
Saat pertama aku mula mengenali figura ini pada sekitar 4-5 tahun yang lepas. Sewaktu aku dihadiahkan buku Rindu Bau Pohon Tin oleh pihak sekolah kerana memenangi satu pertandingan anjuran persatuan. Dan seingat aku, detik-detik ini yang mula membibitkan rasa kagum aku pada seorang insan yang bernama Hasrizal Abdul Jamil. Seterusnya, aku mula mengikuti tulisan dan pandangan daripada beliau melalui buku-buku dan laman web saifulislam.com. Sepanjang pemerhatian, aku mendapati Ustaz Hasrizal adalah seorang yang sangat kritis pemikirannya, seorang yang optimis dan mempunyai cara berfikir yang luar biasa. Tiada satu pun daripada penulisan beliau yang tidak membuatkan aku terasa seperti,

“Ish, sedap gila baca tulisan ustaz. Aku dapat ilmu baru hari ini.”

Dan seperti yang kita tahu, Ustaz Hasrizal adalah seorang ulat buku. Beliau juga seorang pengembara. Aku yakin melalui pembacaan dan pengalaman beliau inilah yang membentuk siapa Ustaz Hasrizal yang kita kenal sekarang. Antara artikel yang aku sarankan untuk dibaca sekaligus membuktikan pujian aku terhadap beliau, cuba baca artikel Adam-Adam sebelum Adam dan Membaca Lillahi Taala.

Dan aku hanya terus mengagumi beliau dari jauh. Untuk bertemu muka secara  memang jauh sekali.
5 tahun berlalu, dan aku membesar dan membina kematangan berfikir melalui karya-karya beliau seperti Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih, Transformasi Ramadhan, Aku Terima Nikahnya (tidaklah bermaksud gatal mahu berumah tangga) dan yang terbaru, Menalar Makna Diri. Kalau kita lihat, karya-karya beliau lebih kepada bentuk travelog. Penceritaan dan pengkisahan pengalaman sendiri. Sebab itu aku katakan Ustaz Hasrizal adalah seorang pengembara, beliau mengembara ke Jordan, Turki, Ireland dan beliau juga mengembara menjelajahi plot kehidupan yang sudah direncanakan olehNya.

Alhamdulillah, selepas SPM aku mendapat panggilan telefon bahawa aku diterima masuk ke Darul Quran JAKIM. Dani di sini aku belajar banyak perkara. Pertemuan dengan para senior yang rencam dan hebat berjaya mengubah horizon pemikiran aku. Kaca mata perspektif aku terhadap dunia semakin matang. Aku dapat rasakan perbezaan yang sangat ketara antara Iman Danial Hakim sewaktu di SMKA Maahad Hamidiah dulu dengan di Darul Quran. Namun, bukan itu fokus aku menulis tulisan ini.

Aku dan Simposium IQraC: Kisah 2
Masa sudah semakin suntuk, tarikh sudah semakin dekat dan bilangan peserta luar sudah semakin bertambah. Masalahnya, kelulusan kertas kerja dasar masih belum diperoleh daripada HEP walaupun sudah 2 minggu lebih aku naik turun ke HEP dengan jawapan yang sama. Kewangan untuk menjayakan Simposium IQRaC yang diharapkan masih belum mencapai target. Kertas kerja daripada para penceramah untuk dicetak dan diedarkan kepada peserta masih belum diterima. Malah masih ada beberapa penceramah yang masih belum respon dengan jemputan kami. Resah. Celaru. Aku memang betul-betul risau.

Dan inilah yang dipanggil ujian Allah, pada saat genting itu, telefon aku mula meragam. Dan akhirnya kembali ke rahmatullah. Telefon yang banyak maklumat penting di dalamnya, hasil gerak kerja aku untuk program-program dan sebagainya. Aku sudah mati akal. Aku memang betul-betul buntu dan celaru. Hingga ke satu tahap aku menyatakan kerisauan kepada MT IQRaC kemungkinan Simposium ini terpaksa ditangguhkan atau lebih teruk dibatalkan. Keserabutan ini menyebabkan aku rasa hanya nak tidur, nak melepaskan diri dari kekejaman dunia. Dan aku sangat minta maaf kerana kebetulan waktu serabut itu aku sebenarnya ada mesyuarat Bakti Bpart. Dan aku tak datang. Dengan sengaja. Khairul Imran (Exco Bpart) sudah mengajak aku hadir ke mesyuarat, malah Syahir Hakimi (Ex Officio Bpart) sudah melihat keserabutan aku pada hari tersebut. Dan aku mengharapkan yang mereka akan memahami masalah yang besar yang sedang aku hadapi. Dan untuk itu aku mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada timbalan untuk Bakti Bpart kerana tidak membalas mesej gerak kerja daripada dia. Kerana aku betul-betul berada dalam situasi ibarat telur di hujung tanduk untuk simposium ini.

Alhamdulillah, di saat-saat akhir, segala masalah yang melanda diri aku mula terlerai satu persatu. Bermula daripada kelulusan HEP sehinggalah kepada masalah telefon. Dan yang tinggal hanya peringkat pelaksanaan program pada esok harinya (ya, masalah-masalah ini berjaya diselesaikan pada hari Khamis, sehari sebelum program). Maka, seperti di atas juga. Kisah berkenaan hari simposium tersebut tak perlu aku ceritakan. Cuma di sini mewakili semua ajk simposium aku memohon kemaafan daripada semua atas semua kelemahan dan kepincangan sepanjang simposium yang akhirnya menyebabkan kita semua di sintam (sindir hentam) oleh Lim Jooi Soon pada pagi Ahad.

Aku dan Ustaz Hasrizal: Kisah 2
Bersempena dengan simposium, aku berhasrat untuk menjemput ustaz sebagai salah seorang penceramah. Kebetulan aku rapat dengan admin Jejak Tarbiah (yang akhirnya menawarkan beberapa tempat percuma kepada pelajar IQRaC ke Wacana Menalar Makna Diri, UKM), maka aku meminta bantuan beliau untuk membantu aku menghubungi Ustaz Hasrizal. Pada awalnya, admin kelihatan keberatan untuk memberikan emel kerana beliau tahu ustaz sekarang sedang sibuk dengan pelbagai jemputan ceramah dan sedang bertungkus lumus meyiapkan tesis Master beliau. Kakak (admin page Jejak Tarbiah ialah seorang kakak, ya seorang kakak) tersebut risau jikalau kami akan berakhir dengan kekecewaan kerana ustaz akan menolak jemputan atas dasar kesibukan.
Tetapi, aku tetap nekad dengan usaha aku dan mengatakan bahawa usaha mesti dilakukan terlebih dahulu sebelum mengalah, dan akhirnya selepas pujukan demi pujukan, emel Ustaz Hasrizal sampai ke tangan.

Dan cerita berkenaan berapa lamanya ustaz mengambil masa untuk membalas emel jemputan hanya ajk simposium yag tahu. Rasa kaget dan risau yang dinyatakan pada awal tadi akhirnya betul-betul berlaku. Sedangkan kami sudah menyebarkan poster tentatif program, dan aku yakin ramai peserta luar mendaftar kerana Ustaz Hasrizal.

Malah sewaktu Wacana Menalar Makna Diri yang bertempat di UKM, aku sempat meminta bantuan daripada beberapa sahabat untuk menanyakan terus secara peribadi pada ustaz berkenaan jemputan ke Simposium IQRaC (tak dapat hadir ke wacana kerana ada kerja lain). Dan menurut mereka, ustaz menjawab dengan positif akan menjawab emel jemputan tersebut.. Berita ini melegakan aku buat seketika.

Tetapi, beberapa hari sudah berlalu dan emel balasan daripada ustaz masih belum diterima. Aku sudah berpesan kepada sahabat lain bahawa kemungkinan besar sesi ustaz terpaksa ditukar. Jangan terlalu meletak harapan yang tinggi. Nanti kecewa kerana tak kesampaian.

Sewaktu aku dilanda keserabutan yang teramat dan memutuskan untuk menukarkan slot ustaz dengan penceramah lain, tiba-tiba terkeluar notifikasi di skrin telefon bimbit, ada emel baru masuk. Dan entah kenapa, aku dapat merasakan yang emel ini ialah emel daripada Ustaz Hasrizal. Dan ternyata betul! Ini ialah emel daripada Ustaz Hasrizal!

Dalam emel ustaz ada menyatakan kemaafan yang teramat kerana tak mampu untuk membalas emel dengan kadar yang segera. Dan antara isi kandungan emel tersebut ustaz telah menyatakan sebab dan faktor yang menyebabkan beliau sibuk sejak akhir-akhir ini. Aku tak kisah, malah jika ustaz tak menyertakan sekali permohonan maaf sekalipun aku tak kisah. Jawapan emel ustaz menyatakan kesudian untuk menerima jemputan kami itu pun sudah sangat memadai. Kami sedia maklum dengan kesibukan ustaz kerana tugasan untuk keluarga dan ummah. Dan untuk memudahkan lagi komunikasi antara kami, ustaz turut meninggalkan nombor telefonnya. Ustaz meminta agar sebarang komunikasi antara kami berdua selepas ini sekadar menggunakan medium whatsapp untuk lebih mudah. Menurut admin Jejak Tarbiah, untuk mendapatkan emel Ustaz Hasrizal itu sendiri sudah susah, ini bukan sekadar emel malah nombor telefon pun aku berjaya dapatkan. Rezeki Allah.

Aku menyangkakan Ustaz Hasrizal ialah seorang yang agak tegas, tidak mudah dibawa bergurau kerana kita boleh lihat sendiri bagaimana sifat seseorang melalui penulisannya. Akan tetapi, sepanjang aku berkomunikasi dengan ustaz melalui whatsapp ternyata ustaz rupa-rupanya adalah seorang yang kelakar dan pandai bergurau. Dan yang lebih menghairankan apabila ustaz seolah-olah terlebih mesra dengan aku yang boleh dianggap “stranger” baginya. Perkara ini sangat menghairankan aku dan aku bernekad untuk menanyakan soalan ini pada ustaz nanti.

Dan sampailah akhirnya ke slot Ustaz Hasrizal pada pagi Sabtu itu, aku pergi menjemput ustaz seterusnya mengiringi ustaz ke Dewan Auditorium dari tempat meletak kereta. Aku cuba untuk beramah mesra dengan ustaz dengan bertanyakan khabar dan berborak kecil. Adat Melayu. Kita kan sudah dididik untuk beradab dengan terus mengamalkan nilai kesopanan sebagai seorang Melayu.

Slot ceramah ustaz adalah yang antara yang terbaik sepanjang Simposium IQRaC (selain Forum Gerakan Mahasiswa) bagi aku. Aku sangat puas dengan ilmu dan gaya penyampaian ustaz. Lebih-lebih lagi apabila tajuk yang dibawa oleh ustaz ialah berkenaan sejarah, subjek kegemaran aku sedari sekolah rendah lagi (Kajian Tempatan pada waktu itu). Sangat banyak perkara baru yang aku belajar sepanjang sesi ceramah ustaz. Dan antara perkara yang membuatkan aku kagum pada ustaz ialah apabila beliau mampu untuk menyampaikan ilmu sejarah kepada umum yang disinonimkan sebagai bosan dan mengantukkan. Secara peribadi aku melihat ramai daripada kalangan peserta yang tidak terlelap malah seronok mengikuti ceramah ustaz. Aku yang kebetulan duduk di sebelah abang Amru Khalid (mantan bendahari IQRaC 12/13) kami tak menang tangan menulis isi dan poin penting daripada ustaz. Sejujurnya, aku merasakan tiada satu pun bait kata yang terkeluar daripada bibir ustaz yang tidak aku akui sebagai ilmu. Inilah dia hikmah orang yang berilmu. Sepanjang sesi ceramah bersama ustaz sempat aku selingkan beberapa perbincangan kecil bersama abang Amru untuk memantapkan lagi kefahaman.

Atas autoriti sebagai pengarah program, aku menemani ustaz untuk menjamu selera di bilik bersebelahan dengan Dewan Auditorium. Sangat rugi kalau tak dimanfaatkan peluang ini kerana peluang untuk bertemu dengan ustaz sendiri sangatlah payah. Dan kebiasaannya “sesi selepas sesi” adalah lebih menyeronokkan kerana pada waktu ini perbualan dan perbincangan ilmu itu akan menjadi lebih formal dan santai. Dan segala persoalan aku kenapa ustaz terlebih mesra dan boleh bergurau dengan aku selama ini terjawab semasa sesi jamuan selepas ceramah. Aku menyatakan pada ustaz bahawa ini ialah kali kedua aku bertemu dengan ustaz secara “live”. Kali pertama sewaktu Wacana Jejak Tarbiah HAMKA di Universiti Malaya. Pada waktu itu hadir atas kapasiti sebagai peserta, kini aku bertemu dengan ustaz atas kapasiti sebagai pengarah program.

Rupa-rupanya ustaz mengenali aku sejak dari wacana di Universiti Malaya lagi. Ini ialah sesuatu yang sangat mengharukan. Seingat aku, kami hanya bersua muka dan sempat berborak kecil sewaktu wacana itu ialah pada waktu selepas solat dan pada penghujung wacana. Mana mungkin dengan perbualan yang sangat ringkas malah wacana yang sudah beberapa bulan berlalu, ustaz masih ingat muka-muka yang pernah ditemuinya. Ini sangat mengharukan pada masa yang sama mengujakan! Aku masih tak mampu melupakan perasaan terharu dan keterujaan itu sehinggalah ke saat makalah ini ditulis. Senyum yang tak mampu dihilangkan dari bibir.

Aku berborak lagi dengan menyatakan bahawa aku berasal dari Bangi dan ibuku merupakan pensyarah di UKM (Permata Pintar lebih tepat), tempat ustaz menyiapkan tesis Masternya. Dan aku perasaan ada riak kegembiraan yang terpancar di wajah ustaz. Iyalah, dapat jumpa orang sekampung kan (walaupun Bangi sebenanya dah boleh dianggap sebagai bandar), faktor-faktor ini mungkin mencambahkankan lagi kemesraan kami di sepanjang perbualan di dalam bilik kecil tersebut.

Dan aku tidak mahu melepaskan peluang untuk meluahkan apa yang terkandung dalam hati aku selama ini. Aku memberitahu ustaz bahawa betapa dalamnya minat aku terhadap sejarah sehingga boleh ditakrifkan sebagai obses, di saat majoriti orang tak sukakan sejarah kerana membosankan, aku ialah orang yang melawan arus dengan mengatakan bahawa “Sejarah ialah satu perkara yang membahagiakan!”. Aku membeitahu ustaz bahawa aku mahu beliau menjadi mentor ku dalam pembelajar sejarah, dan jawapan ustaz positif! Ustaz sehinggakan menjemput aku ke rumahnya dan mengatakan bahawa dia sangat gembira bertemu dengan anak muda sepeti aku. Aku terharu untuk kali keduanya. Sungguh Ustaz Hasrizal yang aku kenali sangat hebat orangnya. Aku nekad bahawa satu hari nanti aku akan menjadi sejarawan yang hebat sepertinya malah lebih hebat lagi. Itu janji aku.

Jadi, inilah dia. Cerita Aku, Simposium IQRaC dan Ustaz Hasrizal. Sebenarnya ada lebih banyak lagi masalah dan peristiwa untuk diceritakan sepanjang kea rah pelaksanaan Simposium IQRaC. Cuma aku telah memadam beberapa daripadanya supaya cukuplah kenangan ini hanya aku dan Allah yang mengetahuinya. Mungkin kerana itu cerita ini lebih banyak tertumpu kepada kisah di antara aku dengan Ustaz Hasrizal sendiri.

Aku sebenarnya mahu mengulas berkenaan tajuk Sejarah: Antara Peranan dan Cabaran yang ustaz bentangkan di Simposium IQRaC tempoh hari. Mungkin boleh disambung dalam sesi tulisan yang lain pula.

Dan atas kesempatan ini, sebagai mantan Pengarah Program Simposium IQRaC, ana (mod bahasa sopan kerana mesej ditujukan pada banat sekali) mahu menyatakan betapa bangganya pada Brother dan SisterBear sekalian kerana kita sudah menempa nama dalam sejarah sepanjang penubuhan IQRaC. Kita ialah generasi pertama yang berjaya melaksanakan program ilmiah bertaraf mega sebegini. Ramai daripada senior kita terdahulu mengagumi kemampuan kita menjayakan simposium ini. Tahniah untuk semua!

Terima kasih kepada semua, daripada ajk simposium sehinggalah kepada para peserta, tak juga dilupakan pada mereka yang mendoakan daripada jauh. Terima kasih sekali lagi.
Semoga gelaran “intellectual” yang kita sandang ini mampu kita galas dengan penuh perasaan bertanggungjawab. Mari bersedia untuk peperiksaan. Road to Masyi Mumtaz!

-Iman Danial Hakim-
Hamba Allah yang biasa-biasa je



2 comments


EmoticonEmoticon