Al-Quran dan IQRaC

Bismillah.

“Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang mencipta.”

Dalam tulisan yang ringkas ini, saya ingin mengutarakan beberapa kesalan (khususnya saya sendiri) kerana peluang dan kesempatan istimewa yang dianugerahkan Allah kepada para penghafaz Al-Quran ini kelihatan tidak digunakan sepertimana sepatutnya. Ada yang memandang hafazan Al-Quran ini hanya sebagai satu ‘ritual’ kosong tanpa ada sebarang kesungguhan untuk meneliti semula isi kandungan Al-Quran dengan lebih mandalam. Repetisi demi repetisi sehingga lumat di mulut, tetapi tidak membekas langsung di akal. Sedangkan Al-Quran itu diturunkan sebagai sumber rujukan manusia di dunia, menggariskan matlamat hidup manusia sebagai khalifah dan hamba, tetapi isinya tidak pernah ingin difahami. Masakan tidak, kita lebih sibuk memikirkan kepentingan yang bersifat ‘mainstream’ daripada mencipta dan mengeluarkan sesuatu yang baru. Dalam tulisan ini, saya mengambil pendekatan mengupas isu ini khususnya daripada sudut pandang seorang pelajar IQRaC.


AL-QURAN DAN IQRAC

Sebagai pengenalan, Program Pensijilan Darul Quran ini boleh dikatakan secara umum adalah satu program yang memfokuskan seratus peratus kepada hafazan Al-Quran tanpa pembelajaran sampingan seperti Hadith, Tafsir, Bahasa Arab dan sebagainya yang amat penting untuk mendapat kefahaman yang baik terhadap kandungan Al-Quran. Tidak mengambil kira perubahan silibus adik-adik generasi baru yang ditambah pelajaran sampingan seperti Tafsir, Understanding Islam dan lain-lain. Fokus yang saya tuju ialah Program Pensijilan secara keseluruhan bermula generasi pertama sehingga kini. Jadi, setakat pemerhatian saya terdapat ramai yang tidak begitu menghargai sepenuhnya hafazan mereka untuk diaplikasikan ke dalam ilmu yang mereka dalami sama ada selepas keluar daripada Darul Quran mahupun ketika masih menuntut di sana. Termasuk diri saya sendiri, kami teraba-raba akan cara yang bagaimana untuk kita mampu mengaplikasikannya, kalau tidak sepenuhnya, beberapa tema-tema daripada Al-Quran itu pun sangat baik.
Faktor ini bagi saya adalah kerana ilmu alat untuk memahami Al-Quran itu sendiri tidak dikuasai. Kesedaran terhadap pentingnya ilmu-ilmu alat – seperti Bahasa Arab ini pun boleh dikatakan amat kurang. Ini menyebabkan kita kurang menghargai setiap kalimah demi kalimah yang terdapat dalam Al-Quran itu. Seperti yang kita sedia ketahui, Al-Quran itu sifatnya ‘Jawamiul Kalim’ iaitu setiap kalimah itu membawa pelbagai makna, yang boleh ditafsirkan secara meluas selagi tidak mengikut hawa nafsu. Dan proses penafsiran juga mempunyai metod-metod yang valid yang telah digariskan oleh ulama tafsir, maka menafsir Al-Quran mestilah berasaskan metod yang sesuai. Adab dalam menafsir Al-Quran mesti dijaga.


SIAPA PELAJAR IQRAC ?

Proses kemasukan mahasiswa ke dalam program Pensijilan Darul Quran adalah bertapis. Temuduga terhadap para pelajar adalah dimestikan sebelum diterima masuk ke dalam program ini (kecuali ada ‘link’ besar). Jadi, kebiasaannya yang terpilih masuk adalah (boleh dikatakan) ‘the cream of the cream’. Kebanyakannya berlatarbelakangkan sekolah agama dan cemerlang atau skor dalam peperiksaan percubaan SPM (kerana panggilan untuk temuduga dibuat sebelum SPM), dan saya yakin kebanyakannya juga adalah mereka yang mempunyai asas yang baik dalam Bahasa Arab. Jadi, boleh dikatakan mereka ini adalah yang diberi peluang dan anugerah oleh Allah menjalani proses pendidikan yang sangat baik sejak kecil.
Hendaklah diketahui bahawa kenyataan di atas bukan sama sekali satu pujian. Anugerah dan peluang yang dikurnia itu bukan ‘tasyrif’. Bukan satu bentuk kemuliaan dan kebanggaan semata-mata. Bahkan ia adalah satu ‘taklif’. Satu beban dan tanggungjawab yang harus dipandang serius. Bayangkan dengan kesenangan dan kemudahan yang kita peroleh sejak kecil untuk akses kepada ilmu dan maklumat, persekitaran yang baik untuk menuntut ilmu, orang-orang sekeliling yang memandang tinggi kepada pelajaran (biarpun ‘exam-oriented’), guru-guru yang berdedikasi bersungguh mendidik kita, ibubapa yang mengambil berat terhadap pengurusan hidup kita, dan pelbagai lagi kesenangan dan peluang yang kita terima, dan bandingkan usaha kita untuk capai setinggi tahap itu dengan mereka yang kurang diberikan peluang sepertimana yang kita dapat. Sudah tentu usaha mereka lebih tinggi. Kalau mereka mampu capai tahap yang sama dengan kita, wajar sekali kita malu dengan diri sendiri yang culas, kemudian menyangka kita sudah cukup beragama.
Kita mendapat pendidikan yang baik kerana peluang yang tersedia sentiasa milik kita. Mujur juga kita ditakdirkan memilih untuk tidak menyiakan peluang itu. Tetapi bayangkan mereka yang diuji Tuhan dan tidak mendapat peluang yang sama seperti kita. Ini bukan satu bentuk menyalahkan Tuhan kerana tidak memberi peluang yang sama kepada mereka, akan tetapi yang menjadi isu ialah bagaimana kita respon terhadap perkara itu. Tanggungjawab untuk membantu mereka terpundak sama sekali ke atas bahu kita. Sebab itu fokus saya ialah bagaimana kita ingin meletakkan penghargaan Al-Quran pada tempat yang tertinggi sebagai sumber utama Islam, sebagai rujukan utama cara hidup yang sebenar.


ILMU YANG TIDAK BERKESUDAHAN

Kita faham Al-Quran itu bukanlah mampu ditafsir sehingga mendapat makna yang paling benar dan tafsiran itu boleh dipakaikan(baca: secara mutlak) kepada semua jenis manusia tidak kira bangsa, tempat, warna, waktu bahkan zaman. Kerana keluasan rahmat Allah itulah yang memberikan kita kelonggaran dan keselesaan untuk melakukan amalan harian yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah.
Seperti juga mereka yang mengatakan pelajaran ilmu fardhu ain itu tidak berkesudahan, pastinya ilmu Al-Quran itu lebih tidak berkesudahan kerana ilmu dalam Al-Quran itulah yang menggariskan ilmu fardhu ain, bahkan mencakupi segala bidang-bidang ilmu yang lain. Ramai orang yang mengambil serius dalam mendalami ilmu fardhu ain, sehingga mengorbankan banyak masa dan tenaga demi kesempurnaan ilmu asas sebagai seorang Muslim yang baik dan berilmu. Ini tidak salah, bahkan amat mulia. Akan tetapi cuba lihat dan nilai semula di mana usaha kita dalam memahami ilmu Al-Quran ? Yang saya maksudkan adalah seperti setiap kali kita mengulang hafazan, apakah kita akan pastikan setiap kalimah yang disebut itu kita fahami ? Berapa kali kita belek tafsir setiap hari untuk memastikan kefahaman terhadap hafazan kita lebih mendalam ? Berapa tinggi rasa inkuiri dan keterujaan kita dalam mengetahui ‘sababun nuzul’ ayat itu, sejarah disebalik penurunan ayat, mengapa struktur ayatnya harus begitu, mengapa harus menggunakan perkataan itu sedangkan perkataan lain juga membawa maksud yang (lebih kurang) sama ? Contohnya seperti Tuhan menggunakan perkataan ‘insan’ di sesetengah tempat, dan ‘bashar’ di tempat yang lain sedangkan insan dan bashar membawa erti yang sama iaitu manusia. Juga mengapa harus cerita yang kelihatan sama diulang beberapa kali dalam Al-Quran ?
Kebanyakan soalan-soalan seperti ini kadang-kadang kita tidak pernah terasa untuk menemukan jawapan, barangkali kerana kita sudah memikirkan dari awal ia adalah satu usaha yang amat sukar. Atau barangkali soalan seperti ini dianggap tidak signifikan ? Atau sememangnya kita membaca dan menghafaz Al-Quran kerana ingin memenuhi pasaran pekerjaan juga ? Atau barangkali sebenarnya kerana kita sudah menyangka bahawa kita sudah beroleh pahala hanya dengan membaca ‘kosong’ daripadanya ?
Benar daripada hadith Nabi ada mengatakan :
“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an maka baginya kebaikan sepuluh kali lipat, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf.” (Shahih HR.Tirmidzi)
Terdapat ulama yang membahaskan semula sebenarnya yang dimaksudkan di dalam hadith berkenaan adalah ‘kebaikan’, di dalam Bahasa Arab iaitu ‘hasanah’, (sedangkan boleh sahaja Nabi menggunakan perkataan lain seperti ‘ajrun’ - ganjaran, ‘thawaab’ – balasan/pahala, dll) iaitu manfaat yang akan diperoleh hanya apabila kita faham benar dengan isi kandungan makna Al-Quran itu, lalu menjadi kebaikan yang nyata bagi kita apabila mengamalkannya. Apakah ilmu Al-Quran itu khusus untuk menguasai ilmu fardhu ain sahaja ?

Ilmu Al-Quran harus didalami sebagai merenung semua bidang ilmu.


IBADAH YANG LEBIH UTAMA

Tidak dinafikan terdapat pembahagian juga di antara membaca Al-Quran sahaja itu sudah dikira sebagai ibadah dan diberikan ganjaran yang lumayan di akhirat kelak. Saya sertakan sekali hujah yang melawan pendapat di atas iaitu berdasarkan ayat :
 “Sungguh Allah telah memberi karunia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata” [Ali Imran : 164]
Di dalam ayat ini digambarkan bahawa terdapat perbezaan antara membaca dan mempelajari maknanya. Ada yang membaca untuk merasai kelazatan permbacaan dan kecantikan gaya Bahasa dan susunan ayat sahaja, ada yang ingin menikmati kemerduan suara dan alunan Al-Quran, dan bermacam-macam lagi. Saya yakin selagi hati itu ikhlas bertujuan meraih redha Allah, dengan izin Allah akan diberi ganjaran kerana membaca Al-Quran.
Tetapi kalau kita kata begitu, apa beza IQRaC dan selainnya ?! Kalau kita pun masih sibuk hendak hanya melagu-lagukannya hingga ke peringkat antarabangsa, mengulang-ulang ayat yang sama untuk menempa nama sebagai huffaz Al-Quran dalam pertandingan-pertandingan, menjadi imam setahun sebulan untuk luaskan poket dan perut, siapa yang mahu bawa dan keluarkan kandungan Al-Quran ke peringkat masharakat terbanyak ?  Sedangkan kita pernah punyai masa sehari suntuk selama setahun setengah bergelumang dengan Al-Quran, kurang gangguan dan komitmen yang pelbagai, dan juga ujian iman yang kurang hebat berbanding berada di institusi lain yang diduga dengan pelbagai perkara. (?)


PANDANGAN SIMPLISTIK DAN ISLAMISASI ILMU

Bukan semestinya yang dimaksudkan dengan fokus kepada pemahaman Al-Quran itu adalah dengan hanya membaca Al-Quran semata-mata dan meninggalkan pembacaan lain. Untuk memahami Al-Quran juga perlu kepada ilmu-ilmu daripada kitab-kitab dan syarahan para ulama, huraian-huraian ilmu yang lebih terperinci daripada perbahasan tokoh-tokoh, ajaran dan nasihat guru-guru, naratif sejarah dan pencapaian orang terdahulu, dan juga pengalaman kehidupan itu sendiri. Pembelajaran Al-Quran bukanlah boleh berhenti seperti tamatnya perkiraan matematik; 5+5 = 10 selesai. Malah sentiasa berkembang melalui kefahaman yang sentiasa berevolusi dan bercambah dari semasa ke semasa. Pembacaan dari sumber-sumber lain juga (walaupun buku sekular sekalipun) adalah penting untuk meningkatkan pemahaman kita dalam perkara tertentu, yang mana pada akhirnya akan membuktikan kebenaran Al-Quran itu sendiri. Pada saya, inilah islamisasi ilmu atau pengislaman ilmu yang mana mewujudkan hubungan antara ilmu dan wahyu, tidak terpisah bahkan ilmu itu sendiri yang dirujuk berdasarkan wahyu, lalu melahirkan adab yang sempurna sebagai seorang Muslim yang baik. Mengambil contoh ayat Al-Quran:
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja.” [Al-Isra’:85]
Daripada ayat ini, jelas pengetahuan kita tentang ruh adalah terbatas. Akan tetapi bukan dengan mengetahui hakikat itu, kita terus meninggalkan perbincangan tentang ruh, bahkan sepatutnya ia dikaji sehingga sedalam mungkin hingga ke satu tahap di mana kita tidak mampu lagi mengetahui lebih mendalam. Maka barulah terbukti kebenaran firman Tuhan di dalam Al-Quran bahawa ilmu yang diberikan kepada kita tentang ruh itu adalah sedikit.


KESIMPULAN

Pada akhir tulisan ini, saya ingin bawa pembaca kembali melihat definisi Al-Quran yang masyhur daripada Syeikh Ali ash-Shabuni iaitu “Al-Qur'an adalah firman Allah yang tiada tandingannya, diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W penutup para nabi dan rasul, dengan perantaraan Malaikat Jibril dan ditulis pada mushaf-mushaf yang kemudian disampaikan kepada kita secara mutawatir, serta membaca dan mempelajarinya merupakan ibadah, yang dimulai dengan surat Al-Fatihah dan ditutup dengan surat An-Nas.” Juga saya bawakan pendapat Sheikh Muhammad Abduh tentang Al-Qur’an;
menurutnya, ‘pada hari akhir nanti Allah tidak menanyai kita mengenai pendapat-pendapat para Mufassir dan tentang bagaimana mereka ‘memahami’ Al-Qur’an, tetapi Allah akan menanyakan kepada kita tentang kitabNya yang Ia wahyukan untuk membimbing dan mengatur kita.’ Jadi persoalannya di mana kita ? Sedangkan yang dimaksudkan Sheikh Abduh itu pun tentang mereka yang faham, apatah lagi kita yang hanya baca tanpa faham ini. Moga Allah ampuni dosa kita semua kerana lalai akan peringatanNya. Mari sama-sama muhasabah dan berubah !




Amru Khalid.
3:30, 27 Oktober 2014.
IQRaC 12/13. Penganggur dan graduan matrikulasi ‘Economics and Management Sciences’ UIAM, Gombak.




EmoticonEmoticon