I.Q.RaC, Sebuah Refleksi Ringkas

Bismillahirrahmanirrahim..

I.Q.RaC DAN GAGASAN IDEA ASALNYA.

Saya meyakini bahawa sejarah I.Q.RaC bukanlah sesuatu yang asing buat rakan-rakan seperjuangan. Sebuah gagasan idea asalnya daripada sosok figura penting tanah air, Y. Bhg. Prof Madya Dr. Sidek Baba selaku Ahli Lembaga Pengarah Darul Quran dan Timbalan Rektor ( Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin ) pada ketika itu. Beliau telah membentang satu kertas kerja bertajuk “ Perancangan Masa Depan Program Akademik Darul Quran” di dalam sebuah majlis Muzakarah Masa Depan Darul Quran yang dianjurkan oleh JAKIM di Awana Golf & Country Resort, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur pada 21-22 Februari 2000. Di dalam kertas kerjanya Beliau telah mencadangkan supaya sebuah pengajian yang berorientasikan sains dan hafazan Al-Quran dapat disepadukan dengan dua objektif utama :

 1) Mensepadukan ilmu (duniawi dan ukhrawi) untuk melahirkan golongan profesional yang hafiz, mahir lagi berketerampilan selaras dengan keperluan ummah dan Negara. 

2) Menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan cendiakawan yang berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam. 


Justeru pada tahun 2000, seramai 7 orang pelajar menjadi generasi pertama bergelar pelajar pensijilan tahfiz Darul quran. Setelah saban tahun, bilangan pelajar I.Q.RaC makin meningkat sejajar dengan tuntutan kementrian pendidikan ketika itu yang menetapkan polisi agar bilangan pelajar mesti bertambah dari tahun ke tahu bagi semua institusi pendidikan baik kerajaan mahupun swasta. 



I.Q.RaC DAN KUALITI AWALAN.

Sekiranya kita perhalusi bagaimana generasi awal I.Q.RaC atau zaman sebelum proses ‘pencerahan’ berlaku, mereka adalah sebuah generasi unggul yang kualiti hafazannya adalah meyakinkan dan menakjubkan (saya tidak menafikan terdapat juga dikalangan mereka yang kurang cemerlang). Argumen saya ini bukan bersifat ‘buta’ begitu sahaja. Saya berani mengatakan begini adalah kerana saya sendiri mempunyai beberapa kenalan yang merupakan generasi awal I.Q.RaC yang sangat dihormati. Ahli I.Q.RaC dulu terkenal dengan julukan ‘ahlul masjid’ atau masjid itu memang seakan-akan rumah mereka, dalam erti kata yang lebih mudah, siang dan malam hari kebanyakan ahli I.Q.RaC adalah di masjid semata-mata bagi mencari modal dan juga mengulang hafalan. Mereka pada ketika itu, selihatnya mereka begitu serius menghafal dan fokus utama adalah memantapkan kualiti hafazan, kerana meraka beranggapan setahun setengan adalah waktu yang sangat singkat untuk menjadi ‘kismis’ ( kismis adalah hasil dari anggur yang matang ) atau masyi. Ketika berbicara dengan mereka saya menimbulkan satu persoalan, bagaimana mereka mampu teguh berada di masjid ( mungkin juga tidak semua tapi pastinya lebih ramai berbanding kita hari ini ) dan hanya keluar semata-mata untuk makan, mandi dan tidur sahaja? Mereka menjawab, “kami waktu itu tidak terlalu sibuk dengan program seperti kalian sekarang”. Orientasi gerak kerja perwakilan I.Q.RaC ketika itu (ini pendapat saya) mungkin sekitar menjaga kebajikan dan hal ehwal pelajar sahaja bukannya merencana program berskala besar ( mereka meletakkan fokus pada program skala kecil-tetapi istiqomah ) yang akan memakan waktu yang banyak ke arah merencanakannya. Adapun begitu, tidaklah bermaksud saya ingin mengkritik dan menafikan peranan dan kewajaran ( akan di bahaskan selepas ini ) segala program-program yang telah dilakukan oleh generasi hari ini. Namun, ianya sesuatu yang perlu diinsafi oleh generasi seterusnya tentang hal ini.


I.Q.RaC DAN PASCA ‘PENCERAHAN’.

Suka saya memulakan analisa ini dengan memberikan sedikit penafsiran tentang apa yang cuna dimaksudkan dengan ‘pencerahan’ sejak awal tadi. Saya berpendapat, terdapat satu titik di dalam sejarah perkembangan I.Q.RaC semenjak dari awal penubuhannya sehingga ke hari ini di mana generasi I.Q.RaC mengalami perubahan titik fokus, yakni fokus dari penumpuan seratus persen ( atau sedikit kurang tetapi tetap satu fokus yang besar ) kepada hafalan Al-Quran kepada tuntutan untuk melaksanakan beberapa program disebabkan mashlahah yang mendesak melakukan (program skala besar). I.Q.RaC melihat kerelevenan untuk melaksanakan program sebegini sebagai satu tuntutan kepada proses islah dalam kalangan ahli sem sendiri. Rata-rata program yang dijalankan adalah berunsurkan tarbiyah’ tsaqofah, dakwah dan kerohanian sesuai dengan tuntutan ajaran Islam itu sendiri. Program-program yang direncanakan ini amatlah penting kepada I.Q.RaC pasca ‘pencerahan’ sekiranya kita melihat dari konteks mereka ini punya lebihan waktu yang dimiliki oleh hampir keseluruhan pelajar I.Q.RaC, disebabkan rata-rata dalam kalangan mereka sudah mampu mencari modal dalam waktu yang singkat. Kita mendapati sekiranya waktu-waktu lapang ini tidak diisi dengan program sedimikian, maka pelajar I.Q.RaC yang sememangnya rendah kesedaran diri akan aspek islah, dakwah dan tarbiyyah ini akan mengisi waktu lapang mereka dengan perkara yang sia-sia lagi tidak mendatangkan faedah seperti bermain game secara berlebihan, tidur yang juga berlebihan, outing tanpa halatuju dan sebagainya. Justeru adalah mendesak untuk diadakan program skala besar ini bertujuan mengelakkan dari waktu yang tersisa dihabiskan begitu sahaja tanpa diisi dengan hal yang bermanfaat. Walaubagaimanapun, saya tidak menafikan program yang dijalankan kadang-kadang kurang mendapat sambutan dari ahli sem sendiri. Saya kira ini juga suatu perkara yang perlu kita insafi.


I.Q.RaC DAN GERAK KERJA SERTA POLEMIK IKHTILAT.

Apabila perubahan fokus ini berlaku dalam kalangan rakyat I.Q.RaC sendiri, yakni dari menumpukan sepenuh masa kepada hafalan ( suatu pandangan yang saya tidak dapat buktikan secara eksplisit ) kepada melaksanakan program-program berskala besar seperti yang saya nyatakan pada bahasan tadi, maka anjuran kepada bergerak kerja adalah suatu kemestian yang tidak dapat dielakkan. Program yang direncanakan memerlukan kepada organisasi yang dibentuk sebagai pemudahcara dalam menjalankan program yang dianjurkan, setelah mendapat persetujuan keseluruhan ahli sem. Organisasi yang dibentuk tidak dapat tidak akan bertungkus lumus menjalankan segala proses birokrasi yang telah ditetapkan, sehinggakan, atas kelemahan pengurusan waktu yang tidak efisien sebahagian dalam kalangan mereka seringkali tidak dapat mengimbangkan antara waktu mencari modal hafalan, waktu mengulang hafalan yang lepas, dan juga waktu untuk bergerak kerja. Natijahnya, rata-rata mereka terpaksa mengulang ala kadar sahaja serta kurang berkualiti.

Yang menariknya, apabila banin dan banat mula bergerak kerja, seringkali isu ikhtilat mula dipolemikkan pada saban tahun. Saya melihat isu ikhtilat bukan satu perbahasan yang boleh dipandang enteng ( walaupun saya dulu sering memandang enteng soal ini atas kekhilafan diri ) oleh ahli I.Q.RaC dan wajar diselesaikan secara matang dan terarah. Saya berpandangan keberkatan darpada Allah ta’ala di dalam kita bergerak kerja akan hadir sekiranya proses mu’amalah yang benar dilaksanakan seperti yang digariskan di dalam Islam melalui wahyu dan juga hadis Nabi. Ya, tulisan ini bukan bertujuan membahaskan soal hukum dan kaedah ikhtilat secara panjang lebar kerana saya yakin, kalian lebih layak berbicara soal ini atau mungkin boleh merujuk kepada yang lebih berautoriti dalam hal ini. Tsiqoh!


I.Q.RaC DAN FATRAH IMTIHAN.

Maka tibalah fasal yang membicarakan soal imtihan dan kewajiban ahli I.Q.RaC berintima’ dengannya. Peperiksaan sekiranya dilihat dari sudut yang positif, ia dilaksakan bertujuan sebagai kayu ukur hafalan ahli I.Q.RaC pada waktu tersebut ( walaupun saya kurang bersetuju sesuatu yang abstrak itu boleh diwakilkan melalui nombor ), disamping menjadi pemangkin untuk mengulang dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh ( sebab sewaktu disibukkan dengan program kita sedikit tidak bersungguh sungguh untuk mengulang-atas kelemahan diri sendiri juga ). Semasa fatrah ini maka berbondong-bondonglah ahli I.Q.RaC akan memenuhi masjid yang ketika sebelumnya itu agak sepi dan sedikit hambar. Namun itu bukan suatu permasalahan yang saya kira besar ( walaupun tuntutan hadir ke masjid itu besar sebenarnya ), kerana tempat mengulang dan mencari modal itu sememangnya relatif berbeza antara satu inidividu dengan satu individu yang lain. Namun yang menjadi permasalahan dan suatu yang dikesali ialah apabila kita bersikap selektif dalam mengulang hafalan, dalam bahasa yang lebih mudah mengulang awal surah, awal maqra’ dan awal juz atas justifikasi masa yang suntuk dan sebagainya bagai ‘menghalalkan’ pendekatan ini. Hal ini adalah perkara yang amat merugikan dan saya bercakap atas kapasiti sebagai seorang lepasan persijilan ( produk yang kurang menjadi jika dibandingkan dengan kenalan generasi awal ), saya amat kesal dengan pendekatan yang kita ambil ( ya, kita yang memilih jalan ini! ). Namun apa yang lebih saya kesalkan, saya sendiri tidak mampu memikirkan satu solusi yang lebih baik dalam menjadikan kita seorang huffaz yang berkualiti sebagaimana “sabiqunal awwalun” terdahulu. Maka, adalah menjadi tanggungjawaab kalian untuk memikirkan soal ini dengan lebih serius sejajar dengan tuntutan hamalatul quran itu sendiri.


I.Q.RaC DAN PERANANNYA KETIKA UMMAH MEMERLUKAN.

Saya masih ingat, ketika idea symposium I.Q.RaC ( alhamdulillah akhirnya berjaya dijalankan baru-baru ini ) dibincangkan bersama abang Hasnan Daud di dalam talian whatsapp ketika itu, beliau ada mengkritik bahawa I.Q.RaC kala ini sudah hilang taringnya  ( walaupun taring itu sendiri perlu didefinisikan semula apa maknanya ), saya menganggap itu sebagai suatu kritikan yang perlu mendapat perhatian semua ahli I.Q.RaC. Taring kita sudah tidak tajam sepertimana generasi terdahulu atau bagaimana? I.Q.RaC sewajarnya memainkan peranan besar dalam memberikan komitmen terhadap agenda islah masharakat. Ketika masyarakat semakin tenat dengan kekaburan terhadap apa Islam itu sendiri, kita masih lagi mampu berprogram sesama kita suka sana sini tanpa sekelumit rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada Ummah ( juga tidak dinafikan ada program kemasyarakatan yang dianjurkan, tetapi masih kurang pada hemat saya ). Nah satu soalan mudah dari saya, berapa ramai dikalangan kita yang pernah turun pada malam hari dan melihat sendiri bagaimana kota raya Kuala Lumpur itu bergerak? Berapa ramai dikalangan kita yang pernah berinteraksi dengan non-muslim untuk menyampaikan kebenaran Islam? Ini semua soalan yang sewajarnya menjadi wacana yang dimainkan ( bukan sekadar berfalsampah dan melangit ketujuh kalian terbang! ). Kita berdegar sana sini mahasiswa seharusnya melibatkan diri di dalam aktivisma dan sebagainya tetapi berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar beraktivisma? Aktivisma atau kesukarelawanan ini sendiri adalah satu terma yang saya kurang gemar untuk gunakan kerana ia adalah momokkan kapitalis suapaya kita menyangka ia adalah suatu yang bersifat pilihan sedangkan tuntutan berbakti kepada masharakat adalah tanggungjawab dan kewajiban seorang Muslim itu sendiri dan pastinya bukannya satu pilihan.

Suka saya memetik mutiara nasihat Syeikh Abdullah Naseh ‘Alwan di dalam ucapannya ketika bersama pemuda ( yang kemudian ucapnnya dibukukan di bawah tajuk; Peranan Pemuda Di Dalam Menyampaikan Risalah Islam terbitan Pustaka Salam, cetakan pertama tahun 1987 ), Beliau ada menyatakan tujuh aspek yang perlu disiapkan oleh pemuda dan pemudi Islam sebelum terjun ke dalam masyarakat:

1.      Setiap pemuda mestilah mengetahui matlamat ianya diciptakan oleh Allah S.W.T.
2.     Para pemuda mestilah mempunyai gambaran dan maklumat tentang musuh-musuh yang setiap detik berusaha menghancurkan Islam.
3.     Para pemuda mestilah menaruh harapan untuk menempuh kemenangan di bidang da’wah, hindarkan diri dari perasaan pasif dan berputus asa.
4.  Para pemuda mestilah mengambil contoh teladan yang ditunjukkan oleh para sahabat sepertimana yang tercatat di dalam sejarah.
5.      Mereka harus yakin akan kelebihan para da’ie dan penda’wah.
6.    Pemuda hendaklah mengetahui teknik dakwah yang bijak supaya dapat memberikan kesan kepada orang lain.
7.  Para pemuda hendaklah mengetahui dengan yakin qada’ dan qadar Allah S.W.T itu hanyalah disisNya sahaja.


Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan mereka yang sentiasa bermanfaat untuk ummat dan punya jawapan di hadapan Tuhan di hari kelak nanti atas apa yang telah kita lakukan.





I.Q.RaC DAN MASA DEPANNYA.

I.Q.RaC, saya meyakini dengan keyakinan yang jitu punya masa depan yang cerah dan berpotensi untuk bergerak lebih jauh ke hadapan seiring dengan gerakan mahasiswa Islam yang lain. Projek pemerkasaan I.Q.RaC wajar disusun dan dirancang dari semasa ke semasa supaya ahli I.Q.RaC dapat dikembalikan fokusnya pada jalan yang benar dan matlamat yang betul. Saya kira premis ‘kebatilan yang tersusun mampu mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun’ adalah merupakan ‘makanan’ bagi semua ahli I.Q.RaC baik berada dalam posisi gerakan Islam mana sekalipun. Agenda yang dirancang hendaklah bersikap komprehensif dan menyeluruh menyentuh pelbagai sudut dan bukannya sekadar satu jalur sahaja. Gerakkan wacana-wacana intelektual dengan lebih agresif, walaupun ada yang merasakan bahawa golongan intelektual sekadar memikir dan menyelesaikan masalah sedangkan dengan menjadi genius kita mampu menghalang masalah-masalah. Saya tidak fikir semua dikalangan kita berdiri di atas kapasiti genius sedangkan intelektual itu boleh diasah oleh sesiapa pun. Persis kata-kata Syed Hussien Alatas di dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun; “Tugas kelompok intelektual adalah untuk berfikir,memeprtimbangkan masalah-masalah tertentu, dan cuba untuk sampai kepada penyelesaiannya”. Adalah sesuatu yang memalukan sekiranya kita hanya mampu menempekkan terma Intelektual itu sekadar di bahagian belakang jaket sahaja tanpa berusaha ke arah memenuhi tuntutan sebagai seorang Intelektual Muslim dalam menggunakan fakulti ‘aqalnya sebagai neraca dalam berfikir soal menyelesaikan masalah ummat.

Perjalanan I.Q.RaC adalah sebuah perjalanan yang masih panjang. Untuk menjamin kelangsungan gerakan I.Q.RaC ini dapat diteruskan sehingga generasi-generasi mendatang, wajah alumni juga saya kira memainkan peranan penting dalam hal ini. Alumni sewajarnya selalu mengambil cakna tentang adik-adik serta perkembangan mereka walapun sekadar secara berkala.. Sekiranya alumni mempunyai cadangan, idea penambahbaikan dan juga sekiranya punya kritikan yang membina segeralah berhubung dengan adik-adik. Manfaatnya sungguh besar sekiranya mobilisasi alumni dapat diatur dan digunakan sebaik mungkin. Adalah juga menjadi tanggungjawab adik-adik untuk selalu ‘keep in touch’ dengan kami kerana sedia dimaklumi cabaran berada di universiti seringkali menjadi asbab untuk kami ‘mengabaikan’ kalian. Mungkin juga kalau punya kesempatan, dengan izin Tuhan kita dapat memperkukuhkan lagi alumni I.Q.RaC pada masa akan datang. Allah SWT berfirman di dalam Al Quran :

“…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksa-Nya.” (Al Maidah: 2)




KESIMPULAN.

Sebagai mengakhiri penulisan saya yang ringkas pada kali ini, suka saya ingin mengingatkan kita semua tentang peranan kita yang sebenar sebagai seorang Muslim adalah bukan suatu yang boleh dipersiakan. Perlulah disedari bahawa kehidupan kita di sini adalah merupakan satu kehidupan yang benar-benar singkat dan pendek. Penuhi waktu yang tersedia ada ini (sebelum kiamat datang atau mati mencengkam) dengan perkara-perkara yang berfaedah (membaca buku, mengulang hafalan, berbakti kepada orang lain dan sebagainya), bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi manfaat kepada seluruh ummat masyarakat secara kolektif. Islam sesuai dengan konotasinya sebagai agama rahmat sekalian alam bukanlah sebuah streotaip yang hanya diungkapkan di bibir-bibir kita saban masa, tetapi sesuatu yang perlu dibuktikan dengan amal dan tindakkan yang benar sebagaimana yang telah digariskan dalam Al-Quran yang sedang kita bawa, juga dalam Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian. Saya tinggalkan kalian dengan sebaik-baik kalam untuk direnungi bersama:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya” – Al Ankabut ayat 69 –

Zayd Husman,
Rabu, 22 Oktober 2014,

Bekas Marhaen Iqrac Dan Penuntut Di CFS IIUM.

6 comments

Semoga tulisan ini bukan sekadar tatapan di blog bagi mengisi waktu lapang

Salah satu sumbangan alumni.
Teruskan menyumbang :)

Kami turun Kuala Lumpur di malam hari...habis hilang hafalan boh..

Mungkin generasi iqrac yg hdpn kene fikir camne nk kekalkan momentum para huffaz masa sem 1


EmoticonEmoticon