Rumusan semula terhadap Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Makalah ini sebagai satu tulisan susulan kepada entri Aku, Simposium IQRaC dan Ustaz Hasrizal di blog IQRaC sekitar seminggu yang lepas. Atas permintaan ramai, maka saya memaksakan diri juga mencuri masa untuk menulis dalam keadaan setiap orang  sedang sibuk untuk bersiap menghadapi imtihan yang bakal mendatang. Namun, tidaklah menjadi satu masalah kerana menulis memang antara salah satu hobi saya, kalau tak di sini, insha Allah akan kelihatan tulisan-tulisan saya di wall Facebook hampir setiap hari. Writing is my passion. Manusia akan sanggup untuk bersusah payah dengan perkara yang mereka minati. Insha Allah, doakan agar tulisan ini ada manfaatnya untuk ummah secara am dan IQRaC sendiri secara khususnya.

Penulisan kali ini saya memang sudah meletakkan target agar sedikit ilmiah, dengan kemasukan pelbagai input dan maklumat yang didapati sepanjang sesi ceramah Ustaz Hasrizal pada simposium tempoh hari. Maka, saya akan cuba untuk menulis sedikit ‘review’ atau ulasan ilmiah dalam pembentangan ustaz yang bertajuk Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran. Kerana saya berhasrat untuk berkongsi dapatan ilmu dan hikmah yang sangat banyak daripada sesi ceramah pada ahli sem semasa sesi Kullimin (Kuliah Lima Minit). Akan tetapi, dek kerana kekangan masa dan peluang, maka saya berpendapat, blog IQRaC ialah platform terbaik untuk saya meluahkan apa yang terbuku dalam fikiran. Insha Allah.

Sejarah dan Ilmu Seorang Muslim

Pada awal pembentangan, Ustaz Hasrizal memulakan sesi curahan ilmu dengan definisi sejarah. . Dan memang menjadi satu kebiasaan yang wajib bagi setiap perkara untuk dimulakan dengan sesi pendefinisian supaya hala tuju perbincangan akan menjadi lebih mudah dan jelas. Selaku sarjana yang sudah lama berkecimpung dalam hal sebegini, maka saya yakin beliau sudah sangat arif berkenaan susunan disiplin ilmu berikut. Ustaz Hasrizal ada menyentuh berkenaan apa itu sejarah? Apakah siginifikan sejarah pada kita selaku seorang muslim. Apakah kepentingan sejarah pada kita? Bagaimanakah cara untuk kita melihat sejarah dari sudut pandang yang berbeza?

 Maka secara mudahnya, dapat saya simpulkan bahawa sejarah ialah satu bentuk pengalaman lalu  yang dialami oleh individu, kumpulan, bangsa dan negara. Ada satu kata-kata daripada ustaz yang saya tertarik dengannya dan tak rugi jika saya nukilkan kembali di sini.

“ Sejarah bukan tentang siapa, bila, di mana tetapi bagaimana kita mahu memahami siapa, bila, dan di mana”

Seterusnya beliau beralih pula pada ilmu-ilmu yang seharusnya ada pada seseorang individu Muslim. Menurut ustaz, pembentangan ini beliau ambil daripada sebuah buku hasil karya ulama kontemporari dunia, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi iaitu Kitab Thaqafah Ad-Daie’ah. Buku ini antara salah satu kitab karangan beliau yang walaubagaimanpun amat menghairankan apabila tidak terlalu terkenal seperti kitab-kitabnya yang lain, di mana Ustaz Hasrizal sendiri mengaku bahawa kitab ini tidak menempah nama sebaris dengan karya seperti Fiqh Awlawiyat dan Halal wa Haram fi Islam. Faktornya? Wallahua’lam.

Di dalam kitab tersebut, Sheikh Yusuf telah menggariskan beberapa disiplin ilmu yang wajib dikuasai oleh seorang muslim atau daie untuk menjadi seorang agen pencerahan Islam yang baik. Melalui penerangan semula oleh Ustaz Hasrizal, memang tampak jelas akan penekanan  yang diberikan oleh sheikh berkenaan peri pentingnya ilmu pada seorang muslim akan kebodohan mereka tidak terpalit pada keindahan Islam.

6 disiplin ilmu tersebut ialah:
1. Ilmu Sejarah (At-Thaqafah At-Tarikhiah)
2. Ilmu Pengetahuan Islam (At-Thaqafah Al-Islamiah)
    Eg: Quran Sunnah, Usul Fiqh, Usuluddin, Aqidah, Tasawwuf
3. Ilmu Kemanusiaan (At-Thaqafah Al-Insaniah)
    Eg: Sosiologi, Antropologi, Psikologi, Ekonomi, Falsafah, Etika
4. Ilmu Kesusasteraan dan Bahasa (At-Thaqafah Al-Adabiah wa Al-Laghwiyah)
5. Ilmu Kajian Lapangan Semasa (At-Thaqafah Al-Waqi’iah)
    Eg: Fiqh Mua’sarah, Fiqh Awlawiyat, Fiqh Tawwaqu’ (Fiqh Masa Depan)
6. Ilmu Sains (At-Thaqafah Al-Ilmiah)
    Eg: Matematik, Fizik, Kimia, Biologi, Seni bina, Robotik

Islam dan “Semalam”

Seterusnya, setelah panjang lebar menerangkan tentang disiplin ilmu yang wajib dikuasai oleh seorang daie berpandukan kitab At-Thaqafah Ad-Daie’ah, Ustaz Hasrizal beralih pula pada konsep sejarah menurut perspektif Islam.  Ustaz Hasrizal bertegas bahawa Islam datang dengan mengetengahkan konsep yang lebih baik dalam menilai sesebuah sejarah, iaitu konsep “ibrah” atau pengajaran. Ibrah menjadi batu asas kepada pembelajaran sejarah kerana  ilmu itu mesti berdiri di atas paksi Al-Haq (Kebenaran). Oleh yang demikian, tujuan paling fundamental kita meneliti sejarah adalah untuk menggarap ibrah di sebalik sejarah seterusnya dimuhasabakan kembali untuk kebaikan bersama. Dan untuk itu, ustaz ada menyertakan sekali sepotong ayat Quran,

“Demi sesungguhnya kisah Nabi-Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatngkan ibrah bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah dan rahmat bagi kaum yang beriman  (Yusuf 12:11)

Ibrah ialah elemen penghubung sesuatu dengan sesuatu. Antara semalam dan hari ini dihubungkan dengan ibrah. Ibrah menjadi penghubung dan pencerah kepada sesebuah peristiwa daripada pihak yang menyaksikannya dan pihak yang tidak menyaksikannya.

Konsep “Anfiqu, Ahsinu dan At-Tahlukah”

Secara jujurnya, ini ialah perkongsian yang paling mencengangkan dan mengagumkan saya sepanjang 2 jam sesi pembentangan. Idea yang diutarakan oleh ustaz dalam memahami suruhan Allah menerusi konsep “anfiqu” (berinfaklah) dan “ahsinu” (perbaikkanlah) sangat luar biasa, kritis dan luar kotak. Dua konsep ini diambil daripada Kalam Allah, Surah Al Baqarah 2:195
Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) di jalan Allah dan janganlah campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baik usaha) segala perbuatan kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Tatkala terpandangkan ayat ini, apakah perkara pertama yang kalian terbayangkan dalam fikiran? Terutamanya pada perkataan “At-Tahlukah” (Kebinasaan). Kalau saya (dan juga Abang Amru), secara spontan terpacul daripada bibir kami, “Ini kita biasa nampak dekat lukisan mural bahaya rokok dan dadah di dinding-dinding sekolah”. Agak kelakar apabila mengenangkan kembali, tetapi kalau kalian perasan dan imbau kembali, memang ayat ini menjadi modal untuk digandingkan bersama lukisan bahaya dadah dan rokok dalam lukisan mural. Betul kan?

Secara terperinci beliau mensyarahkan konsep ini kepada kami semua, insha Allah saya akan cuba tulis kembali dengan pemahaman saya sendiri. Ustaz Hasrizal menyediakan beberapa contoh untuk memantapkan lagi pemahaman kami. Antara contoh beliau.

1) Pada zaman projek menawan Konstatinopel sewaktu pemerintahan Khilafah Umayyah, pimpinan pada waktu itu mengeluarkan arahan untuk bersiap sedia berperang menakluki kota paling agung di dunia tersebut di samping untuk membuktikan hadis terkenal Nabi berkenaan penaklukan Konstatinopel pada legasi mereka. Namun, ramai rakyat yang tidak bersetuju kerana melihatkan peluang untuk kejayaan projek ini amatlah tipis dan hanya akan menatijahkan kegagalan. Pada waktu itu, konsep “At-Tahlukah” yang difahami majoriti umum:

Tahlukah = Kebinasaan = Kalah Perang

Berbeza pula dengan apa yang diyakini oleh seorang sahabat nabi  , Abu Ayub Al-Ansari bahawa “At-Tahlukah” itu ialah kerosakan dan kebinasaan disebabkan sifat bakhil/kedekut seseorang. Beliau berpendapat menyahut seruan jihad projek penaklukan ini bukanlah “At-Tahlukah” (Jangan mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan) kerana kebinasaan  itu ialah kerosakan disebabkan sifat bakhil. Maka, atas prinsip yang dipegang beliau menyertai legasi ke Konstatinopel dan  syahid di sana. Semoga Allah redha dengan beliau. Radhiallahu A’nhu.

2) Hubungan Infak dan Ahsinu. Di sini Ustaz Hasrizal, memberikan contoh situasi sewaktu menderma pada mangsa banjir dan pembinaan institusi tahfiz.
Apabila infak tidak disertai konsep “ahsinu” maka, ingak yang diberi sekadar ala kadar dan berlepas diri. Kualiti sesebuah infak tidak dititiberatkan dan dipandang enteng. Cukup sekadar “aku sudah menderma” yang menjadi justifikasi pada pelepasan atas kewajiban menderma atau mahu kelihatan seperti dermawan atau sekadar mahu membuang barang yang tidak mahu (misalnya baju lama yang dilapik dengan kehodohan lapisan “mahu menderma” pada mangsa banjir dengan pada niat asalnya ialah mahu membuang baju yang sudah tak dipakai). Mengapa kita tidak memberikan barang derma yang betul-betul baik dan berkualiti? Tidaklah saya bermaksud mahu menafikan niat baik mereka yang menderma, akan tetapi konsep “ahsinu”  itu mesti dibumikan. Letak diri kita pada situasi mangsa banjir tersebut, di saat kita hanya tinggal sehelai sepinggang, mengharap pada ihsan dan bantuan orang lain, dan yang dapat hanya sekadar barang terpakai dan murahan. Apa lagi yang mampu dibuat selain redha dan  bersyukur seadanya?

Seterusnya, infak tanpa disertai “ahsinu” akan membuahkan “At-Tahlukah”. Contoh yang boleh dilihat ialah pada situasi komuniti yang menyumbang harta untuk pembinaan sebuah maahad tahfiz. Tatkala duit sumbangan sudah mencukupi maka sebuah maahad tahfiz berjaya didirikan. Akan tetapi dek kerana perancangan untuk penambaikan dari segi pengurusan maahad tidak diambil berat, hanya sekadar fokus pada pengumpulan wang derma untuk pembinaan, maka dalam tempoh 3-4 tahun masalah short flow money mula berlaku. Masalah kewangan dari segi pembelian makanan asas untuk warga maahad, pembayaran gaji guru dan staf, pemulihan fasiliti dan sebagainya. Maka secara mudahnya, konsep infak dan “ahsinu” wajib dipandang dari sudut implikasi dan manfaat yang diperoleh selepas infak. Proses “ahsinu” itu mesti dikemaskan sejak dari awal supaya “At-Tahlukah tidak berlaku di pengakhirannya.

Bagus sekali bukan syarahan Ustaz Hasrizal ini? Sangat membuka minda.

Rangkaian Peristiwa

Seterunya, pada bahagian ini sensasi keterujaannya juga cukup menghiburkan. Ustaz Hasrizal cuba untuk membawa rangkaian peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu sehingga sekarang pada dunia barat mahupun Islam menggunakan elemen “Rasionalism, Romanticism dan Realism”

Dunia Barat
Sewaktu di awal zaman perkembangan pemikiran manusia, rata-rata mereka terpengaruh dengan aliran rationalism iaitu setiap perkara mesti disertakan logik dan bukti. Setiap orang akan menggunakan argument berbasiskan logik apabila mengutarakan pandangan sehingga akhirnya sifat kekerasan mula menular dalam kalangan masyarakat. Sampai di satu saat, manusia mula mengabaikan aspek emosi dan perasaan.

Kemudian apabila, keadaan kekerasan ini mula menguasai keadaan, lahirlah satu idea atau pendekatan untuk mengajak kembali manusia supaya bersifat lebih manusiawi, lebih berperasaan, lebih berperangai manusia yang selayaknya dengan tidak mengabaikan aspek emosi. Antara pencetusnya ialah daripada tokoh falsafah barat pada waktu itu iaitu Rosseau melalui novelnya Emily yang banyak menekakan kepentingan pada pemugaran emosi dalam kalangan masyarakat dan seruan untuk kembali padanya. Maka, manusia mula tersedar dan secara beransur-ansur beralih pada penumpuan aspek emosi. Time flies, dan masa yang berlalu ini membentuk pula budaya masyarakat yang terawan-awang, fantasi tidak berpijak pada realiti. Hal ini kerana emosi yang sudah diungkapkan melalui seni lukisan, muzik, tarian, cerita-cerita dewa yang terlalu melangit sehingga mendodoi masyarakat untuk terus berfantasi dan berkhayal. Maka budaya romanticism mula mengambil tempat.

Apabila fantasi ini terlalu meninggi hingga tidak lagi membumi, maka muncul satu golongan yang mendapat kesedaran bahawa kita mesti berpijak pada dunia yang nyata! It’s the time to get real man! Maka pada waktu itu manusia mula bertumpu pada aspek untuk memandang dunia dan hidup pada realiti dan lahirlah budaya realism.

Dunia Islam
Budaya atau aliran pemikiran rasionalism, romanticism dan realism ini menurut beliau berlaku juga pada kerangka dunia Islam. Di saat umat islam terlalu syadid pada agamanya, meminta dalil dan bukti pada setiap perkara ini hingga melahirkan golongan yang kita gelar “salafi. Wujudnya kekerasan ini sehinggan menyebabkan umat islam tidak lagi menitikberatkan aspek kerohanian kerana hanya mahu perbincangan berkisar pada kekuatan hujah berbasiskan dalil yang utuh.

Seterusnya, apabila umat islam mula sedar bahawa aspek kerohanian dan emosi tidak sepatutnya diambil enteng maka bermula fasa romanticism. Apabila budaya ber ‘ya hanana’, lau kana bainana (andai rasul bersama kita), berqasidah, berzanji mula berleluasa. Malah, implikasi yang lebih teruk apabila ajaran sesat mula tumbuh dengan rancak kerana masing-masing mula terawang-awang di mega awanan dan mudah terikut-ikut dengan budaya hiburan yang sudah dibalut dengan status islamik.

Sampai satu saat, di mana lahirnya golongan terutamanya anak muda yang merasakan budaya romanticism ini perlu segera diperbaiki dan umat islam perlu diketuk kembali kesedaran mereka agar kembali pada dunia reality. Maka lahirlah wacana dan diskusi anak muda yang membahaskan tentang idea-idea ciptaan manusia seperti Marxisme, Sosialisme, dan budaya rebel mula mendapat tempat di hati anak-anak muda. “Get a real life man!” kata mereka.

Walaupun saya tahu bahawa perkongsian ini sekadar satu perkongsian santai daripada ustaz, namun sedikit sebanyak ia menusuk juga kedalam hati malah mengetuk fikiran bahawa budaya rasionalism, romanticism dan realism ini memang hakikatnya ada berlaku dalam masyarakat muslim.

Mari kita bermuhasabah kembali.

Syarat Sejarawan

Pada penghujung pembentangan, ustaz ada menyatakan 10 ciri penting untuk menjadi seorang sejarawan yang berjaya.

            Melangsaikan pembacaan utama
2.       Pemikiran yang sistematik
3.       Bakat menganalisa dan mengkritik
4.       Sabar dan tenang
5.       Bekerja keras
6.       Objektif dan adil
7.       Berani dan tegas
8.       Berupaya memahami kepelbagaian konteks
9.       Sensitive dan peka pancaindera
10.   Mencintai peranan

Jadi saya kira setakat ini saya menghentikan penulisan kerana sudah terlalu panjang nampaknya, dan insha Allah tulisan ini ada sambungannya nanti kerana semasa sesi soal jawab pada pengakhiran sesi pembentangan, ustaz ada bercerita serba sedikit pengalaman beliau di Jordan dan sebab mengapa beliau memilih pengkajian terhadap Imam Birgivi dalam tesis master beliau, dan saya kira molek sekiranya saya menulis kembali penceritaan tersebut dalam sebuah entri yang lain.

Dengan ini diharapkan agar ulasan ringkas dan mudah saya ini mampu dimanfaatkan oleh, pertama kepada mereka yang datang ke simposium dan berhajat untuk “recall” kembali dapatan ilmu semasa sesi Ustaz Hasrizal, kedua kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke simposium terutamanya semasa sesi Ustaz Hasrizal, makalah ini sebagai ubat penghilang ralat dan duka di hati anda.

Saya sedar saya masih lagi baru dalam dunia penulisan. Masih lagi bertatih di saat ramai penulis di luar sana memecut di tahap yang saya tercungap mengejar mereka. Lantaran itu, saya sangat mengalu-alukan sebarang komentar mahupun kritikan terhadap penulisan ini, kerana saya mahu menjadi yang terbaik.

-Iman Danial Hakim-
Sem 2 IQRaC
12.19 a.m.







EmoticonEmoticon