Rumusan semula terhadap Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Rumusan semula terhadap Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran

Makalah ini sebagai satu tulisan susulan kepada entri Aku, Simposium IQRaC dan Ustaz Hasrizal di blog IQRaC sekitar seminggu yang lepas. Atas permintaan ramai, maka saya memaksakan diri juga mencuri masa untuk menulis dalam keadaan setiap orang  sedang sibuk untuk bersiap menghadapi imtihan yang bakal mendatang. Namun, tidaklah menjadi satu masalah kerana menulis memang antara salah satu hobi saya, kalau tak di sini, insha Allah akan kelihatan tulisan-tulisan saya di wall Facebook hampir setiap hari. Writing is my passion. Manusia akan sanggup untuk bersusah payah dengan perkara yang mereka minati. Insha Allah, doakan agar tulisan ini ada manfaatnya untuk ummah secara am dan IQRaC sendiri secara khususnya.

Penulisan kali ini saya memang sudah meletakkan target agar sedikit ilmiah, dengan kemasukan pelbagai input dan maklumat yang didapati sepanjang sesi ceramah Ustaz Hasrizal pada simposium tempoh hari. Maka, saya akan cuba untuk menulis sedikit ‘review’ atau ulasan ilmiah dalam pembentangan ustaz yang bertajuk Sejarah Islam: Antara Peranan dan Cabaran. Kerana saya berhasrat untuk berkongsi dapatan ilmu dan hikmah yang sangat banyak daripada sesi ceramah pada ahli sem semasa sesi Kullimin (Kuliah Lima Minit). Akan tetapi, dek kerana kekangan masa dan peluang, maka saya berpendapat, blog IQRaC ialah platform terbaik untuk saya meluahkan apa yang terbuku dalam fikiran. Insha Allah.

Sejarah dan Ilmu Seorang Muslim

Pada awal pembentangan, Ustaz Hasrizal memulakan sesi curahan ilmu dengan definisi sejarah. . Dan memang menjadi satu kebiasaan yang wajib bagi setiap perkara untuk dimulakan dengan sesi pendefinisian supaya hala tuju perbincangan akan menjadi lebih mudah dan jelas. Selaku sarjana yang sudah lama berkecimpung dalam hal sebegini, maka saya yakin beliau sudah sangat arif berkenaan susunan disiplin ilmu berikut. Ustaz Hasrizal ada menyentuh berkenaan apa itu sejarah? Apakah siginifikan sejarah pada kita selaku seorang muslim. Apakah kepentingan sejarah pada kita? Bagaimanakah cara untuk kita melihat sejarah dari sudut pandang yang berbeza?

 Maka secara mudahnya, dapat saya simpulkan bahawa sejarah ialah satu bentuk pengalaman lalu  yang dialami oleh individu, kumpulan, bangsa dan negara. Ada satu kata-kata daripada ustaz yang saya tertarik dengannya dan tak rugi jika saya nukilkan kembali di sini.

“ Sejarah bukan tentang siapa, bila, di mana tetapi bagaimana kita mahu memahami siapa, bila, dan di mana”

Seterusnya beliau beralih pula pada ilmu-ilmu yang seharusnya ada pada seseorang individu Muslim. Menurut ustaz, pembentangan ini beliau ambil daripada sebuah buku hasil karya ulama kontemporari dunia, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi iaitu Kitab Thaqafah Ad-Daie’ah. Buku ini antara salah satu kitab karangan beliau yang walaubagaimanpun amat menghairankan apabila tidak terlalu terkenal seperti kitab-kitabnya yang lain, di mana Ustaz Hasrizal sendiri mengaku bahawa kitab ini tidak menempah nama sebaris dengan karya seperti Fiqh Awlawiyat dan Halal wa Haram fi Islam. Faktornya? Wallahua’lam.

Di dalam kitab tersebut, Sheikh Yusuf telah menggariskan beberapa disiplin ilmu yang wajib dikuasai oleh seorang muslim atau daie untuk menjadi seorang agen pencerahan Islam yang baik. Melalui penerangan semula oleh Ustaz Hasrizal, memang tampak jelas akan penekanan  yang diberikan oleh sheikh berkenaan peri pentingnya ilmu pada seorang muslim akan kebodohan mereka tidak terpalit pada keindahan Islam.

6 disiplin ilmu tersebut ialah:
1. Ilmu Sejarah (At-Thaqafah At-Tarikhiah)
2. Ilmu Pengetahuan Islam (At-Thaqafah Al-Islamiah)
    Eg: Quran Sunnah, Usul Fiqh, Usuluddin, Aqidah, Tasawwuf
3. Ilmu Kemanusiaan (At-Thaqafah Al-Insaniah)
    Eg: Sosiologi, Antropologi, Psikologi, Ekonomi, Falsafah, Etika
4. Ilmu Kesusasteraan dan Bahasa (At-Thaqafah Al-Adabiah wa Al-Laghwiyah)
5. Ilmu Kajian Lapangan Semasa (At-Thaqafah Al-Waqi’iah)
    Eg: Fiqh Mua’sarah, Fiqh Awlawiyat, Fiqh Tawwaqu’ (Fiqh Masa Depan)
6. Ilmu Sains (At-Thaqafah Al-Ilmiah)
    Eg: Matematik, Fizik, Kimia, Biologi, Seni bina, Robotik

Islam dan “Semalam”

Seterusnya, setelah panjang lebar menerangkan tentang disiplin ilmu yang wajib dikuasai oleh seorang daie berpandukan kitab At-Thaqafah Ad-Daie’ah, Ustaz Hasrizal beralih pula pada konsep sejarah menurut perspektif Islam.  Ustaz Hasrizal bertegas bahawa Islam datang dengan mengetengahkan konsep yang lebih baik dalam menilai sesebuah sejarah, iaitu konsep “ibrah” atau pengajaran. Ibrah menjadi batu asas kepada pembelajaran sejarah kerana  ilmu itu mesti berdiri di atas paksi Al-Haq (Kebenaran). Oleh yang demikian, tujuan paling fundamental kita meneliti sejarah adalah untuk menggarap ibrah di sebalik sejarah seterusnya dimuhasabakan kembali untuk kebaikan bersama. Dan untuk itu, ustaz ada menyertakan sekali sepotong ayat Quran,

“Demi sesungguhnya kisah Nabi-Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatngkan ibrah bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah dan rahmat bagi kaum yang beriman  (Yusuf 12:11)

Ibrah ialah elemen penghubung sesuatu dengan sesuatu. Antara semalam dan hari ini dihubungkan dengan ibrah. Ibrah menjadi penghubung dan pencerah kepada sesebuah peristiwa daripada pihak yang menyaksikannya dan pihak yang tidak menyaksikannya.

Konsep “Anfiqu, Ahsinu dan At-Tahlukah”

Secara jujurnya, ini ialah perkongsian yang paling mencengangkan dan mengagumkan saya sepanjang 2 jam sesi pembentangan. Idea yang diutarakan oleh ustaz dalam memahami suruhan Allah menerusi konsep “anfiqu” (berinfaklah) dan “ahsinu” (perbaikkanlah) sangat luar biasa, kritis dan luar kotak. Dua konsep ini diambil daripada Kalam Allah, Surah Al Baqarah 2:195
Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) di jalan Allah dan janganlah campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baik usaha) segala perbuatan kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Tatkala terpandangkan ayat ini, apakah perkara pertama yang kalian terbayangkan dalam fikiran? Terutamanya pada perkataan “At-Tahlukah” (Kebinasaan). Kalau saya (dan juga Abang Amru), secara spontan terpacul daripada bibir kami, “Ini kita biasa nampak dekat lukisan mural bahaya rokok dan dadah di dinding-dinding sekolah”. Agak kelakar apabila mengenangkan kembali, tetapi kalau kalian perasan dan imbau kembali, memang ayat ini menjadi modal untuk digandingkan bersama lukisan bahaya dadah dan rokok dalam lukisan mural. Betul kan?

Secara terperinci beliau mensyarahkan konsep ini kepada kami semua, insha Allah saya akan cuba tulis kembali dengan pemahaman saya sendiri. Ustaz Hasrizal menyediakan beberapa contoh untuk memantapkan lagi pemahaman kami. Antara contoh beliau.

1) Pada zaman projek menawan Konstatinopel sewaktu pemerintahan Khilafah Umayyah, pimpinan pada waktu itu mengeluarkan arahan untuk bersiap sedia berperang menakluki kota paling agung di dunia tersebut di samping untuk membuktikan hadis terkenal Nabi berkenaan penaklukan Konstatinopel pada legasi mereka. Namun, ramai rakyat yang tidak bersetuju kerana melihatkan peluang untuk kejayaan projek ini amatlah tipis dan hanya akan menatijahkan kegagalan. Pada waktu itu, konsep “At-Tahlukah” yang difahami majoriti umum:

Tahlukah = Kebinasaan = Kalah Perang

Berbeza pula dengan apa yang diyakini oleh seorang sahabat nabi  , Abu Ayub Al-Ansari bahawa “At-Tahlukah” itu ialah kerosakan dan kebinasaan disebabkan sifat bakhil/kedekut seseorang. Beliau berpendapat menyahut seruan jihad projek penaklukan ini bukanlah “At-Tahlukah” (Jangan mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan) kerana kebinasaan  itu ialah kerosakan disebabkan sifat bakhil. Maka, atas prinsip yang dipegang beliau menyertai legasi ke Konstatinopel dan  syahid di sana. Semoga Allah redha dengan beliau. Radhiallahu A’nhu.

2) Hubungan Infak dan Ahsinu. Di sini Ustaz Hasrizal, memberikan contoh situasi sewaktu menderma pada mangsa banjir dan pembinaan institusi tahfiz.
Apabila infak tidak disertai konsep “ahsinu” maka, ingak yang diberi sekadar ala kadar dan berlepas diri. Kualiti sesebuah infak tidak dititiberatkan dan dipandang enteng. Cukup sekadar “aku sudah menderma” yang menjadi justifikasi pada pelepasan atas kewajiban menderma atau mahu kelihatan seperti dermawan atau sekadar mahu membuang barang yang tidak mahu (misalnya baju lama yang dilapik dengan kehodohan lapisan “mahu menderma” pada mangsa banjir dengan pada niat asalnya ialah mahu membuang baju yang sudah tak dipakai). Mengapa kita tidak memberikan barang derma yang betul-betul baik dan berkualiti? Tidaklah saya bermaksud mahu menafikan niat baik mereka yang menderma, akan tetapi konsep “ahsinu”  itu mesti dibumikan. Letak diri kita pada situasi mangsa banjir tersebut, di saat kita hanya tinggal sehelai sepinggang, mengharap pada ihsan dan bantuan orang lain, dan yang dapat hanya sekadar barang terpakai dan murahan. Apa lagi yang mampu dibuat selain redha dan  bersyukur seadanya?

Seterusnya, infak tanpa disertai “ahsinu” akan membuahkan “At-Tahlukah”. Contoh yang boleh dilihat ialah pada situasi komuniti yang menyumbang harta untuk pembinaan sebuah maahad tahfiz. Tatkala duit sumbangan sudah mencukupi maka sebuah maahad tahfiz berjaya didirikan. Akan tetapi dek kerana perancangan untuk penambaikan dari segi pengurusan maahad tidak diambil berat, hanya sekadar fokus pada pengumpulan wang derma untuk pembinaan, maka dalam tempoh 3-4 tahun masalah short flow money mula berlaku. Masalah kewangan dari segi pembelian makanan asas untuk warga maahad, pembayaran gaji guru dan staf, pemulihan fasiliti dan sebagainya. Maka secara mudahnya, konsep infak dan “ahsinu” wajib dipandang dari sudut implikasi dan manfaat yang diperoleh selepas infak. Proses “ahsinu” itu mesti dikemaskan sejak dari awal supaya “At-Tahlukah tidak berlaku di pengakhirannya.

Bagus sekali bukan syarahan Ustaz Hasrizal ini? Sangat membuka minda.

Rangkaian Peristiwa

Seterunya, pada bahagian ini sensasi keterujaannya juga cukup menghiburkan. Ustaz Hasrizal cuba untuk membawa rangkaian peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu sehingga sekarang pada dunia barat mahupun Islam menggunakan elemen “Rasionalism, Romanticism dan Realism”

Dunia Barat
Sewaktu di awal zaman perkembangan pemikiran manusia, rata-rata mereka terpengaruh dengan aliran rationalism iaitu setiap perkara mesti disertakan logik dan bukti. Setiap orang akan menggunakan argument berbasiskan logik apabila mengutarakan pandangan sehingga akhirnya sifat kekerasan mula menular dalam kalangan masyarakat. Sampai di satu saat, manusia mula mengabaikan aspek emosi dan perasaan.

Kemudian apabila, keadaan kekerasan ini mula menguasai keadaan, lahirlah satu idea atau pendekatan untuk mengajak kembali manusia supaya bersifat lebih manusiawi, lebih berperasaan, lebih berperangai manusia yang selayaknya dengan tidak mengabaikan aspek emosi. Antara pencetusnya ialah daripada tokoh falsafah barat pada waktu itu iaitu Rosseau melalui novelnya Emily yang banyak menekakan kepentingan pada pemugaran emosi dalam kalangan masyarakat dan seruan untuk kembali padanya. Maka, manusia mula tersedar dan secara beransur-ansur beralih pada penumpuan aspek emosi. Time flies, dan masa yang berlalu ini membentuk pula budaya masyarakat yang terawan-awang, fantasi tidak berpijak pada realiti. Hal ini kerana emosi yang sudah diungkapkan melalui seni lukisan, muzik, tarian, cerita-cerita dewa yang terlalu melangit sehingga mendodoi masyarakat untuk terus berfantasi dan berkhayal. Maka budaya romanticism mula mengambil tempat.

Apabila fantasi ini terlalu meninggi hingga tidak lagi membumi, maka muncul satu golongan yang mendapat kesedaran bahawa kita mesti berpijak pada dunia yang nyata! It’s the time to get real man! Maka pada waktu itu manusia mula bertumpu pada aspek untuk memandang dunia dan hidup pada realiti dan lahirlah budaya realism.

Dunia Islam
Budaya atau aliran pemikiran rasionalism, romanticism dan realism ini menurut beliau berlaku juga pada kerangka dunia Islam. Di saat umat islam terlalu syadid pada agamanya, meminta dalil dan bukti pada setiap perkara ini hingga melahirkan golongan yang kita gelar “salafi. Wujudnya kekerasan ini sehinggan menyebabkan umat islam tidak lagi menitikberatkan aspek kerohanian kerana hanya mahu perbincangan berkisar pada kekuatan hujah berbasiskan dalil yang utuh.

Seterusnya, apabila umat islam mula sedar bahawa aspek kerohanian dan emosi tidak sepatutnya diambil enteng maka bermula fasa romanticism. Apabila budaya ber ‘ya hanana’, lau kana bainana (andai rasul bersama kita), berqasidah, berzanji mula berleluasa. Malah, implikasi yang lebih teruk apabila ajaran sesat mula tumbuh dengan rancak kerana masing-masing mula terawang-awang di mega awanan dan mudah terikut-ikut dengan budaya hiburan yang sudah dibalut dengan status islamik.

Sampai satu saat, di mana lahirnya golongan terutamanya anak muda yang merasakan budaya romanticism ini perlu segera diperbaiki dan umat islam perlu diketuk kembali kesedaran mereka agar kembali pada dunia reality. Maka lahirlah wacana dan diskusi anak muda yang membahaskan tentang idea-idea ciptaan manusia seperti Marxisme, Sosialisme, dan budaya rebel mula mendapat tempat di hati anak-anak muda. “Get a real life man!” kata mereka.

Walaupun saya tahu bahawa perkongsian ini sekadar satu perkongsian santai daripada ustaz, namun sedikit sebanyak ia menusuk juga kedalam hati malah mengetuk fikiran bahawa budaya rasionalism, romanticism dan realism ini memang hakikatnya ada berlaku dalam masyarakat muslim.

Mari kita bermuhasabah kembali.

Syarat Sejarawan

Pada penghujung pembentangan, ustaz ada menyatakan 10 ciri penting untuk menjadi seorang sejarawan yang berjaya.

            Melangsaikan pembacaan utama
2.       Pemikiran yang sistematik
3.       Bakat menganalisa dan mengkritik
4.       Sabar dan tenang
5.       Bekerja keras
6.       Objektif dan adil
7.       Berani dan tegas
8.       Berupaya memahami kepelbagaian konteks
9.       Sensitive dan peka pancaindera
10.   Mencintai peranan

Jadi saya kira setakat ini saya menghentikan penulisan kerana sudah terlalu panjang nampaknya, dan insha Allah tulisan ini ada sambungannya nanti kerana semasa sesi soal jawab pada pengakhiran sesi pembentangan, ustaz ada bercerita serba sedikit pengalaman beliau di Jordan dan sebab mengapa beliau memilih pengkajian terhadap Imam Birgivi dalam tesis master beliau, dan saya kira molek sekiranya saya menulis kembali penceritaan tersebut dalam sebuah entri yang lain.

Dengan ini diharapkan agar ulasan ringkas dan mudah saya ini mampu dimanfaatkan oleh, pertama kepada mereka yang datang ke simposium dan berhajat untuk “recall” kembali dapatan ilmu semasa sesi Ustaz Hasrizal, kedua kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke simposium terutamanya semasa sesi Ustaz Hasrizal, makalah ini sebagai ubat penghilang ralat dan duka di hati anda.

Saya sedar saya masih lagi baru dalam dunia penulisan. Masih lagi bertatih di saat ramai penulis di luar sana memecut di tahap yang saya tercungap mengejar mereka. Lantaran itu, saya sangat mengalu-alukan sebarang komentar mahupun kritikan terhadap penulisan ini, kerana saya mahu menjadi yang terbaik.

-Iman Danial Hakim-
Sem 2 IQRaC
12.19 a.m.






Al-Quran dan IQRaC

Bismillah.

“Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang mencipta.”

Dalam tulisan yang ringkas ini, saya ingin mengutarakan beberapa kesalan (khususnya saya sendiri) kerana peluang dan kesempatan istimewa yang dianugerahkan Allah kepada para penghafaz Al-Quran ini kelihatan tidak digunakan sepertimana sepatutnya. Ada yang memandang hafazan Al-Quran ini hanya sebagai satu ‘ritual’ kosong tanpa ada sebarang kesungguhan untuk meneliti semula isi kandungan Al-Quran dengan lebih mandalam. Repetisi demi repetisi sehingga lumat di mulut, tetapi tidak membekas langsung di akal. Sedangkan Al-Quran itu diturunkan sebagai sumber rujukan manusia di dunia, menggariskan matlamat hidup manusia sebagai khalifah dan hamba, tetapi isinya tidak pernah ingin difahami. Masakan tidak, kita lebih sibuk memikirkan kepentingan yang bersifat ‘mainstream’ daripada mencipta dan mengeluarkan sesuatu yang baru. Dalam tulisan ini, saya mengambil pendekatan mengupas isu ini khususnya daripada sudut pandang seorang pelajar IQRaC.


AL-QURAN DAN IQRAC

Sebagai pengenalan, Program Pensijilan Darul Quran ini boleh dikatakan secara umum adalah satu program yang memfokuskan seratus peratus kepada hafazan Al-Quran tanpa pembelajaran sampingan seperti Hadith, Tafsir, Bahasa Arab dan sebagainya yang amat penting untuk mendapat kefahaman yang baik terhadap kandungan Al-Quran. Tidak mengambil kira perubahan silibus adik-adik generasi baru yang ditambah pelajaran sampingan seperti Tafsir, Understanding Islam dan lain-lain. Fokus yang saya tuju ialah Program Pensijilan secara keseluruhan bermula generasi pertama sehingga kini. Jadi, setakat pemerhatian saya terdapat ramai yang tidak begitu menghargai sepenuhnya hafazan mereka untuk diaplikasikan ke dalam ilmu yang mereka dalami sama ada selepas keluar daripada Darul Quran mahupun ketika masih menuntut di sana. Termasuk diri saya sendiri, kami teraba-raba akan cara yang bagaimana untuk kita mampu mengaplikasikannya, kalau tidak sepenuhnya, beberapa tema-tema daripada Al-Quran itu pun sangat baik.
Faktor ini bagi saya adalah kerana ilmu alat untuk memahami Al-Quran itu sendiri tidak dikuasai. Kesedaran terhadap pentingnya ilmu-ilmu alat – seperti Bahasa Arab ini pun boleh dikatakan amat kurang. Ini menyebabkan kita kurang menghargai setiap kalimah demi kalimah yang terdapat dalam Al-Quran itu. Seperti yang kita sedia ketahui, Al-Quran itu sifatnya ‘Jawamiul Kalim’ iaitu setiap kalimah itu membawa pelbagai makna, yang boleh ditafsirkan secara meluas selagi tidak mengikut hawa nafsu. Dan proses penafsiran juga mempunyai metod-metod yang valid yang telah digariskan oleh ulama tafsir, maka menafsir Al-Quran mestilah berasaskan metod yang sesuai. Adab dalam menafsir Al-Quran mesti dijaga.


SIAPA PELAJAR IQRAC ?

Proses kemasukan mahasiswa ke dalam program Pensijilan Darul Quran adalah bertapis. Temuduga terhadap para pelajar adalah dimestikan sebelum diterima masuk ke dalam program ini (kecuali ada ‘link’ besar). Jadi, kebiasaannya yang terpilih masuk adalah (boleh dikatakan) ‘the cream of the cream’. Kebanyakannya berlatarbelakangkan sekolah agama dan cemerlang atau skor dalam peperiksaan percubaan SPM (kerana panggilan untuk temuduga dibuat sebelum SPM), dan saya yakin kebanyakannya juga adalah mereka yang mempunyai asas yang baik dalam Bahasa Arab. Jadi, boleh dikatakan mereka ini adalah yang diberi peluang dan anugerah oleh Allah menjalani proses pendidikan yang sangat baik sejak kecil.
Hendaklah diketahui bahawa kenyataan di atas bukan sama sekali satu pujian. Anugerah dan peluang yang dikurnia itu bukan ‘tasyrif’. Bukan satu bentuk kemuliaan dan kebanggaan semata-mata. Bahkan ia adalah satu ‘taklif’. Satu beban dan tanggungjawab yang harus dipandang serius. Bayangkan dengan kesenangan dan kemudahan yang kita peroleh sejak kecil untuk akses kepada ilmu dan maklumat, persekitaran yang baik untuk menuntut ilmu, orang-orang sekeliling yang memandang tinggi kepada pelajaran (biarpun ‘exam-oriented’), guru-guru yang berdedikasi bersungguh mendidik kita, ibubapa yang mengambil berat terhadap pengurusan hidup kita, dan pelbagai lagi kesenangan dan peluang yang kita terima, dan bandingkan usaha kita untuk capai setinggi tahap itu dengan mereka yang kurang diberikan peluang sepertimana yang kita dapat. Sudah tentu usaha mereka lebih tinggi. Kalau mereka mampu capai tahap yang sama dengan kita, wajar sekali kita malu dengan diri sendiri yang culas, kemudian menyangka kita sudah cukup beragama.
Kita mendapat pendidikan yang baik kerana peluang yang tersedia sentiasa milik kita. Mujur juga kita ditakdirkan memilih untuk tidak menyiakan peluang itu. Tetapi bayangkan mereka yang diuji Tuhan dan tidak mendapat peluang yang sama seperti kita. Ini bukan satu bentuk menyalahkan Tuhan kerana tidak memberi peluang yang sama kepada mereka, akan tetapi yang menjadi isu ialah bagaimana kita respon terhadap perkara itu. Tanggungjawab untuk membantu mereka terpundak sama sekali ke atas bahu kita. Sebab itu fokus saya ialah bagaimana kita ingin meletakkan penghargaan Al-Quran pada tempat yang tertinggi sebagai sumber utama Islam, sebagai rujukan utama cara hidup yang sebenar.


ILMU YANG TIDAK BERKESUDAHAN

Kita faham Al-Quran itu bukanlah mampu ditafsir sehingga mendapat makna yang paling benar dan tafsiran itu boleh dipakaikan(baca: secara mutlak) kepada semua jenis manusia tidak kira bangsa, tempat, warna, waktu bahkan zaman. Kerana keluasan rahmat Allah itulah yang memberikan kita kelonggaran dan keselesaan untuk melakukan amalan harian yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah.
Seperti juga mereka yang mengatakan pelajaran ilmu fardhu ain itu tidak berkesudahan, pastinya ilmu Al-Quran itu lebih tidak berkesudahan kerana ilmu dalam Al-Quran itulah yang menggariskan ilmu fardhu ain, bahkan mencakupi segala bidang-bidang ilmu yang lain. Ramai orang yang mengambil serius dalam mendalami ilmu fardhu ain, sehingga mengorbankan banyak masa dan tenaga demi kesempurnaan ilmu asas sebagai seorang Muslim yang baik dan berilmu. Ini tidak salah, bahkan amat mulia. Akan tetapi cuba lihat dan nilai semula di mana usaha kita dalam memahami ilmu Al-Quran ? Yang saya maksudkan adalah seperti setiap kali kita mengulang hafazan, apakah kita akan pastikan setiap kalimah yang disebut itu kita fahami ? Berapa kali kita belek tafsir setiap hari untuk memastikan kefahaman terhadap hafazan kita lebih mendalam ? Berapa tinggi rasa inkuiri dan keterujaan kita dalam mengetahui ‘sababun nuzul’ ayat itu, sejarah disebalik penurunan ayat, mengapa struktur ayatnya harus begitu, mengapa harus menggunakan perkataan itu sedangkan perkataan lain juga membawa maksud yang (lebih kurang) sama ? Contohnya seperti Tuhan menggunakan perkataan ‘insan’ di sesetengah tempat, dan ‘bashar’ di tempat yang lain sedangkan insan dan bashar membawa erti yang sama iaitu manusia. Juga mengapa harus cerita yang kelihatan sama diulang beberapa kali dalam Al-Quran ?
Kebanyakan soalan-soalan seperti ini kadang-kadang kita tidak pernah terasa untuk menemukan jawapan, barangkali kerana kita sudah memikirkan dari awal ia adalah satu usaha yang amat sukar. Atau barangkali soalan seperti ini dianggap tidak signifikan ? Atau sememangnya kita membaca dan menghafaz Al-Quran kerana ingin memenuhi pasaran pekerjaan juga ? Atau barangkali sebenarnya kerana kita sudah menyangka bahawa kita sudah beroleh pahala hanya dengan membaca ‘kosong’ daripadanya ?
Benar daripada hadith Nabi ada mengatakan :
“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an maka baginya kebaikan sepuluh kali lipat, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf.” (Shahih HR.Tirmidzi)
Terdapat ulama yang membahaskan semula sebenarnya yang dimaksudkan di dalam hadith berkenaan adalah ‘kebaikan’, di dalam Bahasa Arab iaitu ‘hasanah’, (sedangkan boleh sahaja Nabi menggunakan perkataan lain seperti ‘ajrun’ - ganjaran, ‘thawaab’ – balasan/pahala, dll) iaitu manfaat yang akan diperoleh hanya apabila kita faham benar dengan isi kandungan makna Al-Quran itu, lalu menjadi kebaikan yang nyata bagi kita apabila mengamalkannya. Apakah ilmu Al-Quran itu khusus untuk menguasai ilmu fardhu ain sahaja ?

Ilmu Al-Quran harus didalami sebagai merenung semua bidang ilmu.


IBADAH YANG LEBIH UTAMA

Tidak dinafikan terdapat pembahagian juga di antara membaca Al-Quran sahaja itu sudah dikira sebagai ibadah dan diberikan ganjaran yang lumayan di akhirat kelak. Saya sertakan sekali hujah yang melawan pendapat di atas iaitu berdasarkan ayat :
 “Sungguh Allah telah memberi karunia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata” [Ali Imran : 164]
Di dalam ayat ini digambarkan bahawa terdapat perbezaan antara membaca dan mempelajari maknanya. Ada yang membaca untuk merasai kelazatan permbacaan dan kecantikan gaya Bahasa dan susunan ayat sahaja, ada yang ingin menikmati kemerduan suara dan alunan Al-Quran, dan bermacam-macam lagi. Saya yakin selagi hati itu ikhlas bertujuan meraih redha Allah, dengan izin Allah akan diberi ganjaran kerana membaca Al-Quran.
Tetapi kalau kita kata begitu, apa beza IQRaC dan selainnya ?! Kalau kita pun masih sibuk hendak hanya melagu-lagukannya hingga ke peringkat antarabangsa, mengulang-ulang ayat yang sama untuk menempa nama sebagai huffaz Al-Quran dalam pertandingan-pertandingan, menjadi imam setahun sebulan untuk luaskan poket dan perut, siapa yang mahu bawa dan keluarkan kandungan Al-Quran ke peringkat masharakat terbanyak ?  Sedangkan kita pernah punyai masa sehari suntuk selama setahun setengah bergelumang dengan Al-Quran, kurang gangguan dan komitmen yang pelbagai, dan juga ujian iman yang kurang hebat berbanding berada di institusi lain yang diduga dengan pelbagai perkara. (?)


PANDANGAN SIMPLISTIK DAN ISLAMISASI ILMU

Bukan semestinya yang dimaksudkan dengan fokus kepada pemahaman Al-Quran itu adalah dengan hanya membaca Al-Quran semata-mata dan meninggalkan pembacaan lain. Untuk memahami Al-Quran juga perlu kepada ilmu-ilmu daripada kitab-kitab dan syarahan para ulama, huraian-huraian ilmu yang lebih terperinci daripada perbahasan tokoh-tokoh, ajaran dan nasihat guru-guru, naratif sejarah dan pencapaian orang terdahulu, dan juga pengalaman kehidupan itu sendiri. Pembelajaran Al-Quran bukanlah boleh berhenti seperti tamatnya perkiraan matematik; 5+5 = 10 selesai. Malah sentiasa berkembang melalui kefahaman yang sentiasa berevolusi dan bercambah dari semasa ke semasa. Pembacaan dari sumber-sumber lain juga (walaupun buku sekular sekalipun) adalah penting untuk meningkatkan pemahaman kita dalam perkara tertentu, yang mana pada akhirnya akan membuktikan kebenaran Al-Quran itu sendiri. Pada saya, inilah islamisasi ilmu atau pengislaman ilmu yang mana mewujudkan hubungan antara ilmu dan wahyu, tidak terpisah bahkan ilmu itu sendiri yang dirujuk berdasarkan wahyu, lalu melahirkan adab yang sempurna sebagai seorang Muslim yang baik. Mengambil contoh ayat Al-Quran:
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja.” [Al-Isra’:85]
Daripada ayat ini, jelas pengetahuan kita tentang ruh adalah terbatas. Akan tetapi bukan dengan mengetahui hakikat itu, kita terus meninggalkan perbincangan tentang ruh, bahkan sepatutnya ia dikaji sehingga sedalam mungkin hingga ke satu tahap di mana kita tidak mampu lagi mengetahui lebih mendalam. Maka barulah terbukti kebenaran firman Tuhan di dalam Al-Quran bahawa ilmu yang diberikan kepada kita tentang ruh itu adalah sedikit.


KESIMPULAN

Pada akhir tulisan ini, saya ingin bawa pembaca kembali melihat definisi Al-Quran yang masyhur daripada Syeikh Ali ash-Shabuni iaitu “Al-Qur'an adalah firman Allah yang tiada tandingannya, diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W penutup para nabi dan rasul, dengan perantaraan Malaikat Jibril dan ditulis pada mushaf-mushaf yang kemudian disampaikan kepada kita secara mutawatir, serta membaca dan mempelajarinya merupakan ibadah, yang dimulai dengan surat Al-Fatihah dan ditutup dengan surat An-Nas.” Juga saya bawakan pendapat Sheikh Muhammad Abduh tentang Al-Qur’an;
menurutnya, ‘pada hari akhir nanti Allah tidak menanyai kita mengenai pendapat-pendapat para Mufassir dan tentang bagaimana mereka ‘memahami’ Al-Qur’an, tetapi Allah akan menanyakan kepada kita tentang kitabNya yang Ia wahyukan untuk membimbing dan mengatur kita.’ Jadi persoalannya di mana kita ? Sedangkan yang dimaksudkan Sheikh Abduh itu pun tentang mereka yang faham, apatah lagi kita yang hanya baca tanpa faham ini. Moga Allah ampuni dosa kita semua kerana lalai akan peringatanNya. Mari sama-sama muhasabah dan berubah !




Amru Khalid.
3:30, 27 Oktober 2014.
IQRaC 12/13. Penganggur dan graduan matrikulasi ‘Economics and Management Sciences’ UIAM, Gombak.



Perihal Masa

Masa.

Seringkali perkataan ini menjadi bicara tidak kiralah orang agama,ahli akademik hatta Pak Ramli tukang tebar roti canai pon membicarakan hal ini. Kebiasaan isu yang dikaitkan dengan masa sudah pastilah tentang kelewatan.

Kata guru,”kamu kalau datang sekolah pun lewat, jangan haraplah bila kamu kerja nanti kamu boleh awal.”

Kata bos,”kamu kalau lewat lagi selepas ini, jangan salahkan saya andai gaji dipotong. Malah lebih teruk lagi, saya boleh PECAT kamu.”

Bahkan kitab agung umat Islam yakni AlQuran juga membicarakan perihal masa.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan juga kesabaran.”
[Surah Al-A'sr : 1-3]

Begitu pentingnya perihal masa namun mengapa kita masih leka lagi diulit mimpi? Ah, tidak mengapalah. Mungkin kita merasakan kita sudah berada di dalam zon comfort, tidak perlu berbuat apa kerana mak ayah kita orang yang kaya, tunggu sahaja mereka meninggal dan harta pusaka mereka kitalah yang punya. Hah, mungkin kita sudah selamat dan boleh buncitkan sahaja perut di dunia ini. Namun persoalannya adalah bagaimana pula kita di akhirat nanti?

Hah..menjawab persoalan tadi, Allah sendiri sudah memberikan solusi.
Solusinya ialah:
1) Menjadi orang yang beriman.
2) Melakukan amal-amal soleh
3) Berpesan-pesan dengan kebenaran
4) Berpesan-pesan dengan kesabaran

Timbul pula persoalan, mengapa dipisahkan antara kebenaran dan kesabaran?mengapa tidak disatukan dan membentuk ayat “berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran” sahaja?
Telah disyarahkan bahawa yang dimaksudkan dengan keempat-empat kriteria itu ialah
1)beriman yang dilandasi dengan ilmu.
2)Mengamalkan ilmu
3)Berdakwah kepada Allah
4)Bersabar atas semua itu.

Imam Syafie berkata,
”Seandainya setiap manusia merenungkan surat ini, niscaya hal itu akan mencukupi untuk mereka.”

Namun, seperti yang saya katakan tadi, sayangnya hanya berapa kerat sahaja manusia yang menghayati benar2 pengertian surah ini.

Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin rahimahullah berkata, ”Maksud perkataan Imam Syafi’i adalah surat ini telah cukup bagi manusia untuk mendorong mereka agar memegang teguh agama Allah dengan beriman, beramal sholih, berdakwah kepada Allah, dan bersabar atas semua itu. Beliau tidak bermaksud bahwa manusia cukup merenungkan surat ini tanpa mengamalkan seluruh syari’at. Kerana seorang yang berakal apabila mendengar atau membaca surat ini, maka ia pasti akan berusaha untuk membebaskan dirinya dari kerugian dengan cara menghiasi diri dengan empat kriteria yang tersebut dalam surat ini, yaitu beriman, beramal shalih, saling menasehati agar menegakkan kebenaran (berdakwah) dan saling menasehati agar bersabar” [Syarh Tsalatsatul Ushul]. 

Moga-moga semangat tahun baru ini(awal Muharram) mampu merubah kita ke arah Muslim yang lebih progresif.Insyaallah.

Sekian.

Rahman Nilam.

Pelajar semester 1 asasi UIAM Petaling Jaya
Puisi Anak Muda

Puisi Anak Muda

Anak Muda Inteligensia
Wahai Anak Muda Inteligensia
masa muda masa kita
masa muda Salehuddin Al-Ayubi membuka kota Al-Aqsa
masa muda al-fateh menaiki takhta
tapi kita bagaimana???
masa kita penuh dengan urusan dunia yg sia
sibuk dengan bola dan sinema
asyik dengan lepak dan bergembira
Wahai anak muda inteligensia
Dunia perlukan kita
Umat menanti kita
Apa guna ilmu di dada andai hafal kosong semata
Apa guna idea-idea hanya simpan tidak diguna
Sudah tiba masa kita ubah dan buktikan pada dunia
Anak muda inteligensia bukan biasa-biasa
Kita ini luar biasa
Ayuh keluar dari dunia kita yg sia dan meyumbang untuk mereka di luar sana
Isi masa dengan belajar dan membaca
Sumbang idea sumbang tenaga korbankan masa
Untuk diri dan umat semua
Ayuh anak muda intelegensia
Bangkit dari lena yang lama
Kita bangkit gegar dunia!




PEBGERTIAN DAN PERANAN INTELEKTUAL

Intelektual(cendekiawan) ialah individu berilmu dan memiliki rasa tanggungjawab untuk mencari dan mewujudkan “kebenaran” sesuai dengan cabaran dan tuntutan zaman.Komitmen mereka adalah untuk membentuk kehidupan masyarakat yang lebih baik.Perkataan intelektual bermaksud memiliki atau memperlihatkan kekuatan-kekuatan kognitif dan daya pemahaman yang baik. Kata intellect pula bermaksud “kekuatan pemikiran yang menjadi alat penalaran”. Di samping itu, intellect juga bermaksud “orang yang mempunyai potensi berfikir secara sebenarnya”. Secara unmumnya,pengertian intelektual dapat disimpulkan sebagai “pemikir-pemikir” yang memiliki kemampuan menganalisis masalah-masalah tertentu.

               Dalam konteks pemahaman yang umum, intelektual sering diasosiasikan(baca:dikaitkan) dengan sarjana dan ilmuwan. Sarjana ialah orang yang lulus daripada institusi pengajian tinggi. Kuantiti mereka dalam masyarakat tinggi universiti melahirkannya setiap tahun. Ilmuwan pula ialah orang yang mendalami sesuatu ilmu dalam sesuatu bidang lalu mengembangkan ilmunya. Hanya beberapa orang sarjana akan berkembang menjadi ilmuwan. Sebahagian besar ilmuwan akan menjalani aktiviti harian yang berulang dan menjadi “tukang-tukang profesional”.

               Golongan intelektual tidak semestinya kelompok sarjana yang melalui pendidikan tinggi dan menyandang berbagai-berbagai gelaran akademik. Golongan intelektual juga bukan sekadar ilmuwan yang mendalami dan mengembangkan ilmu dengan penalaran dan penelitian. Mereka ialah kelompok yang berasa tanggungjawab untuk memperbaik kondisi sosial dan melakukan bimbingan kepada masyarakatnya. Mereka memahami aspirassi massa serta merumuskannya ke dalam bahasa yang dapat difahami oleh setiap orang dan menawarkan strategi dan alternatif untuk menyelesaikan masalah. Walaubagaimanapun,pengertian intelektual ini bervariasi kadangkala bercanggah serta kesepakatan mengenainya.

               Menurut James Maccregor dalam bukunya Leadership,intelektual ialah “a devotee of ideas,knowledge and values” atau seorang yang terlibat secara kritis dengan nilai,tujuan dan cita-cita yanh diperjuangkan. Sementara George A. Theodorsan dan Archillies G. Theodorson dalam buku A Modern Dictionary of Sociology mendefinisikan intelektual sebagai “anggota masyarakat yan mengabdikan diri kepada pengembangan gagasan asli dan terlibat dalam usaha-usaha intelektual kreatif. Kaum intelektual merupakan sebuah segmen yang kreatif dari lapisan inteligensia. Mereka memberikan kepemimpinan intelektual kepada lapisan intelegensia lainnya.”

               Seorang ahli sosiologi tersohor, Edward Shills yang terkenal dengan kajian-kajiannya tentang tentang dunia intelektual menyatakan bahawa intelektual ialah orang-orang terpilih dalam masyarakat yang sering menggunakan simbol-simbol bersifat umum  dan rujukan abstrak tentang manusia,masyarakat,alam dan kosmos. Lebih lanjut lagi Shills dalam tulisannya The Intellecttuals and the Powers: Some Perpective for Comparative Analysis, menyatakan bahawa kaum intelektual ialah orang yan mencari “kebenaran”,mencari prinsip-prinsip yang terkandung dalam kejadian-kejadian serta tindakan, atau dalam proses penyaluran hubungan baik antara peribadi(the self) dan hakikat(the essential), baik hubungan yang bercorak pengenal(cognitive), penilaian(appreciative) atau pengutaraan(expressive). Menurut Shills lagi,tugas intelektual ialah “mentafsirkan pengalaman masalah, mendidik pemuda dalam tradisi dan ketrampilan masyarakatnya;membimbing pengalaman estetik dan keagamaan dalam berbagai-bagai lapisan masyarakat”. Bagi Lewis Coser pula dalam tulisannya Man of Ideas, intelektual ialah orang yang kelihatannya tidak pernah puas menerima kenyataan sebagaimana adanya. Mereka mempersoalkan kebenaran yang berlaku pada suatu ketika dalam hubungannya dengan kebenaran yang lebih tinngi dan luas.

               Daripada beberapa pengertian tersebut, terlihat bahawa intelektual berbeza dengan inteligensia tersebut. Pada umumnya inteligensia  dirumuskan sebagai “oran terpelajar”, khususnya individu yang menamatkan pengajiannya di universiti. Tentang perbezaan intelektual dan intelegensia memiliki minat intelektualnya yang secara fundamental bersifat “teknik”, sedangkan intelektual memiliki minat intelektual yang umumnya kritis,abstrak,hermenutik dan politik. Dengan demikian, jelas bahawa intelektual tidak sama dengan inteligensia. Intelektual, boleh jadi bukan lulusan universiti dan mungkin saja berkelulusan sekolah rendah. Namun begitu mereka mampu mengembangkan pemikirannya, mampu berfikiran bebas, mencakup pengamatan yang cermat terhadap gejala-gejala di sesuatu lingkungan, pemahaman tentang sebab gejala itu dan hubunnganya dengan gejala lain. Pada akhirnya,seseorang intelektual akan merumuskan sesuatu kesimpulan yang daptat disampaikan kepada masyarakat dalam bahasa yang jelas.[1]

               Sehubungan dengan penerangan di atas,maka puisi ini ditulis untuk mengajak anak-anak muda terutamanya golongan mahasiswa(yang bakal menjadi sarjana) untuk menyedari hakikat sebenar menjadi golongan inteligensia bukan hanya menjadi ‘hasil kilang’ universiti(baca:menjadi pekerja semata-semata) tetapi menjadi golongan inteligensia yang membawa makna intelektual yang sebenar yang mampu menjadi agen penyemai yang baik untuk merawat masyarakat yang semakin rosak membusuk hasil baja-baja  modenisasi hari ini. Mejadi golongan ‘inteligensia yang berintelektual’  ini bukan hanya tugas ‘kesukarelawanan’  tetapi mejadi tangungjawab kepada setiap mahasiswa pelbagai bidang baik agama mahupun profesional. Akhir kata.baca,hayati dan fahami petikan ini:

                              ‘Golongan intelektual tidak semestinya kelompok sarjana yang melalui pendidikan tinggi dan menyandang berbagai-berbagai gelaran akademik. Golongan intelektual juga bukan sekadar ilmuwan yang mendalami dan mengembangkan ilmu dengan penalaran dan penelitian. Mereka ialah kelompok yang berasa tanggungjawab untuk memperbaik kondisi sosial dan melakukan bimbingan kepada masyarakatnya. Mereka memahami aspirassi massa serta merumuskannya ke dalam bahasa yang dapat difahami oleh setiap orang dan menawarkan strategi dan alternatif untuk menyelesaikan masalah’

Semoga Allah merahmati kalian.Wallahu’alam.Sekian

Adam Nasir,24 Oktober 2014

*ex-I.Q.RaC 13/14 dan sekarang menuntut di CFS IIUM,PETALING JAYA dalam bidang undang-undang.



[1] Dipetik daripada buku Shaharom TM Sulaiman,Dunia Pemikiran Intelektual:menelusuri karya-karya intektual terpilih, ‘Pengertian dan Peranan Intelektual’.

Aku & 'Cikgu Din'



"Cikgu Din bukan Tuah si pak turut. Bukan juga Jebat si kaki amuk. Cikgu Din ialah Cikgu Din. Pahlawan sebenar."

Bismillahirrahmanirrahim...

'Cikgu Din' merupakan sebuah judul cerpen yang telah dimuatkan bersama dalam kompilasi CERPEN karya Nadia Khan terbitan FIXI pada tahun 2012. Bersama 19 lagi cerita-pendek di dalam kompilasi ini, karya penulis muda yang satu ini telah berjaya memikat hati saya. Lantas saya berasa terpanggil untuk berkongsi dan  menterjemahkannya dalam bentuk artikel ringkas ini.

Kisah Cikgu Din bermula dengan satu sesi pembelajaran dalam sebuah kelas yang terdiri daripada pelajar pelbagai ras dan fe'il perangai. Cikgu Din, merupakan guru matapelajaran Sejarah, membuka sesi perdebatan antara para pelajar dan membahaskan perihal dua pahlawan lagenda Tanah Melayu, iaitu Hang Tuah & Hang Jebat. Para pelajar kelihatan mampu melontarkan hujah-hujah  yang matang yang mungkin tampak tak setaraf dengan rata-rata pelajar sekolah menengah pada masa ini. Sesi tersebut diakhiri dengan penggulungan oleh Cikgu Din dengan memberikan satu solusi terhadap pertelingkahan antara dua pahlawan tersebut, yang berjaya melopongkan mulut para pelajar beliau.

Plot penceritaan kemudian tertumpu kepada cabaran yang dihadapi oleh Cikgu Din disebabkan pembawaan 'pelik' beliau terhadap matapelajaran yang beliau ajar di dalam kelas. Cikgu Din sering kali tidak mengikut modul pembelajaran yang disediakan, dan lebih senang berdiskusi berbanding mengajar. Nyata pembawaan beliau ini menjadi buah mulut tenaga pengajar yang lain di sekolah tersebut. Cabaran lebih besar terpaksa beliau hadapai apabila para pelajar digemparkan dengan kehadiran seorang bapa kepada pelajar Cikgu Din sendiri yang tidak bersetuju dengan kaedah pembelajaran yang dibawa oleh Cikgu Din. Beliau dikatakan cuba menanam doktrin ‘kotor’ ke dalam minda para pelajarnya dan disebabkan hujah remeh tersebut beliau akhirnya diberhentikan daripada mengajar (tindakan yang dikenakan kepada Cikgu Din tidak dikatakan secara jelas oleh penulis, sama ada diberhentikan perkhidmatan atau dipindahkan ke sekolah lain). Namun Cikgu Din tetap mahu menyumbang bakti kepada anak-anak didik beliau dan melontarkan kesudian untuk mengadakan kelas tambahan di rumahnya pada setiap malam. 

CERPEN - Nadia Khan

Anak Muda & Dua Pahlawan

Dalam penggulungan yang dilakukan semasa perdebatan sesama pelajar beliau di awal cerita, Cikgu Din menggambarkan tindakan kedua-dua pahlawan tersebuat sebagai tidak rasional. Hang Tuah dikatakan terlalu menurut perintah Sultan yang zalim, meskipun diarah untuk membunuh saudaranya sendiri. Hang Jebat pula terlalu mengikut perasaan tanpa berfikir secara rasional, kaki amuk. Cikgu Din berpendapat Jebat sebetulnya bertindak secara lebih waras dengan mengadakan pakatan antara Bendahara dan Hang Tuah. Sekiranya pakatan tersebut berjaya, pastinya kedudukan Sultan yang zalim pada waktu itu dapat digulingkan dan kunci bagi perbalahan antara mereka dapat diselesaikan.

Apabila cuba untuk direfleksikan kepada diri kita, tidaklah keterlaluan sekiranya dikatakan adanya 'pewaris' Hang Tuah & Hang Jebat dalam diri masyarakat kita secara amnya, dan khususnya dalam diri anak-anak muda. 'Semangat Tuah' mungkin tersebar luas kepada sesetengah anak muda yang terjebak dengan ajaran 'macai-isme' yang menjadi 'penjilat' kepada sesetengah pihak autoriti atau kelompok politik. Penyakit ini menjadi parah apabila ketaksuban golongan ini akan mengkaburkan atau lebih parah membutakan mata para anak muda terhadap peri laku golongan tersebut. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang boleh dibiarkan atau dikembangbiakkan kerana lambat laun akan terlahirnya lebih ramai pak turut yang bukan sekadar tidak mampu berfikiran secara kritis malah dikhuatiri menjadi boneka kepada golongan elitis. Isu wala’ secara membuta tuli adalah salah satu perkara yang heboh dibahaskan dan saya tidak merasakan adanya keperluan untuk dipanjangkan isu ini dalam ruangan yang terbatas ini.

Dalam masa yang sama 'Semangat Jebat' tidak kurang hebat tempelaknya. Sesetengah kelompok anak muda lebih gemar untuk menyatakan respon terhadap sesuatu isu melalui demonstrasi atau flash mob. Kelompok ini tidak kurang hebatnya sumbangan mereka terhadap perjalanan politik negara kita. Lihat sahaja pada kuasa mahasiswa semasa era 70 & 80-an dahulu. Satu persatu gerakan anak muda yang diterajui oleh mahasiswa bisa menggoncangkan kepala lutut para pimpinan negara. Namun corak gerakan kelompok ini kelihatan kian rapuh dasawarsa ini. Mana tidaknya, masakan boleh kelihatan sepanduk 'BINI SENDIRI TAK PAKAI TUDUNG!' semasa membantah kenaikan harga barang atau 'RAKYAT MAKAN KANGKUNG' di celahan para demonstran semasa menbantah Akta Hasutan? Bukan sahaja kelihatan ganjil, tetapi corak pemikiran para peserta kelompok ini paling tidak turut terpantul bersama. Kekaburan identiti serta kesamaran pembawaan, pada hemat saya, menjadi permasalahan besar golongan ini. Justeru, amatlah menjadi kebimbangan sekiranya kelompok ini lebih mengkehadapankan emosi berbanding rasionaliti dan intelektualiti yang mapan dalam gerak kerja mereka. Seharusnya suara para demonstarn ini perlu lebih berfokus dan saya tidak nampak sebarang keperluan untuk menyuarakan suara-suara sumbang berbaur provokatif murahan serta jauh terpesong daripada isu asal yang ingin disuarakan.

Gambar hiasan.

Pada saya, jalan keluar bagi situasi ini tidak lain dan tidak bukan adalah kesedarhanaan dalam tindakan dan keseimbangan antara Idealisma-Intelektualisma-Aktivisma. Kesederhanaan atau wasatiyyah di sini bukanlah bermaksud terma yang digembar-gemburkan oleh satu parti politik tanah air itu, tetapi kesederhanaan yang ditonjolkan oleh ajaran murni Islam. Manakala keseimbangan antara idealisma, intelektualisma dan aktivisma saya kira tidak perlu lagi untuk diperbahaskan kerana memikirkan perbincangan ini telah kerap kali diulang-bahas oleh rata-rata anak muda. Dalam karya ini, saya kira idea yang dilontarkan oleh Cikgu Din sangat bernas dan menepati tuntutan kesederhanaan dan keseimbangan yang saya maksudkan di sini.

Kelayuan Sistem Pendidikan

Usaha yang ditonjolkan oleh Cikgu Din sangat menarik perhatian saya.  Melihat kembali reaksi negatif yang ditonjolkan oleh tenaga pengajar lain terhadap pendekatan ‘pelik’ yang diguna-pakai oleh Cikgu Din, boleh dikatakan kewujudan para pendidik seperti ini masih di dalam angka yang sedikit atau minoriti. Bayangkan berapa ramai pendidik-pendidik di luar sana yang mampu mengenepikan modul yang sedia ada dan menggunakan kaedah yang lebih kreatif dalam pembelajaran? Bukanlah saya bermaksud setiap guru perlu mengadakan diskusi di dalam kelas, tetapi pendekatan yang lebih kreatif dan menarik perlu disesuaikan dengan skop pembelajaran. Tambahan pula subjek Sejarah yang hanya menjadi biawak hidup yang terpaksa dipikul oleh para pelajar tanpa kerelaan yang sebenar, cabaran yang dihadapi oleh tenaga pengajar matapelajaran ini pastinya lebih besar.

Apabila membincangkan soal kualiti dan kredibiliti guru, agak kekok sekiranya kita tidak menyentuh soal kerancakan wacana ilmiah di pusat utama perkaderan para pembina bangsa ini, iaitu Institut Pendidikan Guru (IPG). Saya akui bahawa saya bukanlah insan yang selayaknya untuk membahaskan kekurangan yang wujud pada institusi tersebut dan juga diakui kurangnya akses maklumat yang dapat saya kumpulkan berkenaan sistem dan silibus yang digunapakai di situ. 

Sejujurnya saya mengharapkan agar para mahasiswa dan bakal guru ini turut mampu menjadi agen pembaikpulihan terhadap kebobrokan sistem pendidikan negara, dan nantinya bukan hanya  menjadi mangsa keadaan bagi perubahan sistem oleh pak-pak menteri pada saban tahun, yang mana natijahnya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Para mahasiswa di IPG seharusnya mempunyai kesedaran dan menjadi front- liner dalam membahaskan soal sektor ini. Sayang sekali, apabila timbulnya isu-isu hangat seperti,  isu sekolah vernakular, saya tertanya-tanya dimanakah respon atau paling tidak komentar-komentar daripada para bakal pendidik anak bangsa ini? Yang kelihatan hanyalah reaksi daripada ahli-ahli akademik dan para politikus negara. Tambahan pula paritisipasi dalam aktivisma kemasyarakatan seperti yang dijalankan oleh NGO seperti  Teach For The Needs (TFTN) dilihat hanya melibatkan mahasiswa-mahasiswa daripada institusi pendidikan yang lain. Keadaan ini sangatlah mengharukan kerana seharusnya ruang yang terbuka luas ini diambil oleh sahabat-sahabat dari IPG kerana skopnya lebih dekat dengan mereka(saya sangat mengharapkan sudut pandang saya ini jauh berbeza berbanding realiti sebenar yang berlaku dan mengharapkan respon daripada pembaca berkenaan komentar ini).

Masyarakat & Perubahan

Pada penghujung kisah Cikgu Din ini, digambarkan bahawa penerimaan masyarakat terhadap sesuatu perubahan amatlah negatif. Sebagaimana Cikgu Din dikatakan cuba merendah-rendahkan bangsa sendiri hanya kerana membincangkan soal perbahasan sejarah yang mungkin tidak sedap didengari oleh sesetengah masyarakat, begitu jugalah 'kotor'nya pemikiran masyarakat kita sekarang ini. Apa sahaja tindakan yang tampak tidak mengikut 'acuan' pasti akan menerima kritikan serta respon yang tidak menyenangkan. Paling tidak idea pembaharuan tersebut dikaji terlebih dahulu dan bukannya terus mengunci mulut individu tersebut dengan tindakan label-melabel dan seumpamanya yang pada pandangan saya bertujuan untuk assassinate character individu tersebut . Budaya sebegini dikhuatiri akan menjadi kudis yang bukan hanya merosakkan diri sendiri bahkan turut terjangkit kepada orang lain. Dan pada ketika itu yang akan kelihatan hanyalah sebuah masyarakat yang mundur dan jauh ketinggalan di belakang oleh masyarakat madani yang lain.

Kesimpulan

Pada saya, watak Cikgu Din merupakan satu sosok idaman yang menjadi harapan bagi bangsa dan negara. Kewujudan insan seperti ini pasti akan membawa sinar baharu dalam masyarakat kita. Tugas sebagai pembentuk generasi hadapan pasti terlaksana sekiranya sikap yang ada pada sosok tubuh itu terserap sama di dalam jiwa-jiwa para pendidik di luar sana. Setinggi-tinggi penghargaan saya titipkan buat saudari Nadia Khan atas karya ini. 

Akhir sekali, saya memohon seribu kemaafan atas kegagalan untuk membawa bersama-sama bukti atau sebarang sumber rujukan. Oleh itu, tidaklah menjadi sesuatu yang memalukan untuk dikatakan bahawa tulisan ini hanyalah berdasarkan sudut pandang saya semata-mata yang dilatari oleh pertimbangan terhadap beberapa pembacaan dan pengalaman, tanpa rujukan yang jelas. Justeru sangat diharapkan agar para pembaca dapat memberikan respon berkaitan apa-apa komentar yang telah saya ketengahkan ini.

Wassalam…

“Dalam menilai sesuatu, kita timbang baik buruknya. Kamu pernah jumpa penimbang yang betul-betul seimbang? Tak ada kan? Mesti berat ke satu arah, dan arah itulah pendapat sebenar kamu, sama ada kamu sedar atau tidak.”–Cikgu Din

Farid Hayati, 23 Oktober 2014.

* Penulis adalah graduan Program Pensijilan, Darul Quran JAKIM dan merupakan ahli IQRaC sesi 13/14. Sedang melanjutkan pengajian di Pusat Asasi Uni. Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Sains Kesihatan Bersekutu.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Intellectual Quranic Generation Club.