Stres



Siapa yang tak pernah stres kat dunia ni kan. Sokay its not a big deal. Kita tengok ia dari perspektif yang positif. Pentingnya stres ni umpama perlunya badan kepada pain receptor. Lets say korang tengah masak sup daging pastu terhiris tangan dan korang tak perasan. Tetibe bila orang nak makan nampak jari. "Eh ni sup jari ke apa ni?". See! Kalau ada pain receptor tadi kan dah selamat jari tu walaupun pedihnya luka terhiris.

Jadi boleh dikatakan stres ni umpama kayu ukur kemampuan badan dan otak kita.

Stres & Akibatnya

Tapi, bahaya tahu kalau overstres.

Lazimnya, sistem imun dapat mempertahankan tubuh dari penyakit. Namun, stres boleh melemahkan sistem imun. Jika ini berlaku, individu berkenaan akan lebih mudah mendapat penyakit berbahaya seperti kanser dan masalah jantung. Lagi² kalau dia sedang menghadapi masalah kesihatan, ianya boleh memburukkan lagi keadaan.

Kita tahu penyakit jantung antara penyebab kematian terbesar di dunia. Antara simptom penyakit jantung ada kaitan dengan stres. Peningkatan tekanan darah yang mendadak dan debaran jantung berterusan adalah antara tanda²nya.

Stres & Cara Mengatasinya


1. Pemakanan yang Betul
Makan makanan yang betul membantu kita menghadapi cabaran kehidupan seharian. Pastikan anda tidak terlupa untuk makan pada waktu makan agar anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melaksana tugas seharian. Pada masa yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan. Justeru pastikan anda mengambil makanan yang menyumbang kepada kesejahteraan anda. Ambil protein, vitamin B (B6 dan B12), asid folik dan mineral.

2. Jangan Membebankan Diri
Kadangkala seseorang itu terlalu bercita-cita tinggi dan terlupa akan kemampuan diri. Justeru penting untuk kita mengelak diri dari mengambil tugas lebih dari yang mampu dilaksanakan. Laksanakan tugas sedikit demi sedikit. Pecahkan tugas yang besar kepada beberapa tugas kecil yang boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Dengan cara ini, ia akan meringankan beban tubuh dan minda kita.

3. Berehat
Jika anda selalu sibuk dan tidak cukup tidur, fikir semula baik-baik. Badan kita perlu rehat selepas bekerja untuk beberapa ketika. Justeru jangan biarkan seminggu berlalu tanpa rehat dan tidur yang nyenyak. Cubalah ambil cuti selepas melaksana beberapa siri tugas berat. Mendengar musik klasik yang baik atau mengambil masa untuk bersendirian dan merehatkan minda akan membantu kita dalam jangka masa yang panjang.

4. Berinteraksi dengan Keluarga dan Rakan
Adalah bagus menjadi seorang yang kuat kerja. Namun begitu jangan lupa, sebagai seorang manusia kita memerlukan sokongan orang di sekeliling kita. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang bersama famili dan juga rakan-rakan. Ini akan menghilangkan sebarang kerungsingan yang bermain di minda. Dalam masa yang sama ianya akan menolong anda membina pandangan positif apabila anda kembali bertugas.

5. Solat & Zikir
Tambahan pula, kita sebagai Muslim, Allah telah menjanjikan kita ketenangan dalam mengingati-Nya

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."
Ar-Ra'd :ayat 28

"Dalam konteks mental, otak didapati mengeluarkan gelombang alpha yang agak jelas ketika sujud. Gelombang alpha ialah gelombang yang melambangkan ketenangan" buku Solat Kebaikan Dari Perspektif Sains (Universiti Malaya, 2009).

Kajian profesor Dr. Herbert Harvard Benson pada 1967 ke atas 36 orang yang bermeditasi mendapati mereka menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa, jantung mereka berdenyut lebih rendah daripada kadar yang biasa, dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya.

Gelombang theta adalah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena. Tambahan beliau meditasi mampu mengawal tekanan dan menjadikan seseorang lebih tenang lagi ceria.

Solat serta zikir dan khusyuk boleh diibaratkan seperti meditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya dalam solat dan zikir yang dilakukan secara khusyuk memang terdapat unsur-unsur meditasi, tetapi ia berbeza dengan meditasi biasa kerana solat dan zikir yang dilakukan oleh umat Islam ialah suatu ibadah. Kalimah zikir yang disebutkan adalah pilihan Allah dan Rasul, bukannya pilihan manusia biasa, dan ketenangan yang bakal diperoleh adalah ketenangan kurniaan Allah. Justeru, ia lebih istimewa berbanding meditasi biasa.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Stres sebenarnya boleh membunuh tetapi ianya tidak perlu begitu. Penting untuk seseorang itu mempunyai kawalan ke atas kehidupannya. Lindungi diri dan kesihatan dengan mengamalkan langkah-langkah yang akan membantu mengurus stres dengan baik


EmoticonEmoticon