Ego Vs Ukhuwwah

Bismillah.



Pernah tak kita fikir, apa yang akan berlaku jika di dunia ini, hanya ada kita. Kita berseorangan. Bersendiri.


Susah bukan?

Sebab itu Allah jadikan kita teman, sahabat, mahupun kenalan.
Kerana merekalah yang akan menemani kita dalam kehidupan.
Merekalah yang memberikan kita nasihat.
Merekalah yang menolong kita bangkit selepas kita jatuh dengan sangat kerap.


Seringkali kita dengar Kalam Tuhan yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah kedua saudara kalian, bertakwalah kepada Allah supaya kalian mendapat rahmat." 
[Al-Hujurat, 49:10]

Juga dalam Firman Allah S.W.T:
"Dan (Dialah) yang mempersatukan hati orang-orang yang beriman. Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
[Al-Anfal, 8:63]

Sebenarnya, apa masalah umat tentang Ukhuwwah masa kini?

Ego.

Berbeza pendapat adalah perkara biasa bagi setiap manusia. Lumrahnya manusia diciptakan berbeza akal fikiran dan idea.

Namun begitu, yang membunuh ikatan persahabatan adalah sifat Ego.

Tamsil mudah:

Dalam satu 'meeting' untuk program, kita di datangi persoalan 'Wajarkah program ini diteruskan?'

Sudah pasti, akan ada beberapa orang yang berpendapat tidak wajar, ada yang berpendapat wajar, ada juga yang berbelah bagi antara keduanya dan mengatakan wajar tetapi dengan beberapa syarat.

Sebab itulah wujudnya "meeting", untuk mengetahui kata putus kepada beberapa pendapat yang berbeza.

Sekalipun berbeza pandangan, namun ada perkara yang sama antara semua pihak dalam isu ini:
Masing-masing berfikir untuk mencari apakah yang baik untuk Ahli Kelab.

Dalam isu ini, seseorang yang Ego mampu memutuskan ikatan dengan cara membenci orang-orang yang tidak sama pendapat dengannya.



Dalam isu akidah, Ulama berbeza pandangan tentang Sifat Allah dalam Al-Quran.
Sesetengah menerima secara bulat-bulat tanpa perlu sebarang takwil.
Sebahagian mentakwil dengan perkara yang lebih mudah difahami.

Apa persamaan kedua-dua golongan ini?

Kedua-dua bersetuju bahawa 'Tidak ada yang menyerupai Allah". Allah tidak sama dengan makhluknya.

Apa yang membunuh tali persahabatan dalam kalangan umat?

Apabila satu sama lain saling mengkafir, menuduh puak ini sesat, puak ini syiah, puak ini ahli bid'aah, puak ini wahhabi, puak ini mujassimah, puak ini musyabbihah, puak ini liberal, puak ini teroris.

Kebanyakan antara mereka pun sebenarnya tidak faham apa-apa melainkan membuta-tuli berpegang kepada guru-guru mereka, yang dianggap suci lagi maksum, bertaraf nabi, bertaraf wali.



Satu sama lain ego dengan puak masing-masing. Mungkin kita terlupa apa yang Nabi tinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.



Sesetengah golongan, apabila orang lain mengamalkan sesuatu amalan seperti membaca Al-Quran, cepat sahaja mereka membid'ahkan, menyesatkan dan memasukkan golongan itu ke Neraka.

Golongan seperti ini tidak lain hanyalah membuatkan masyarakat takut untuk beribadah, kerana semua ibadah yang mereka lakukan dikira sebagai bid'ah. Apa yang terjadi akhirnya? Mereka lari daripada agama, memilih dunia untuk berhibur, mendengar lagu, menonton televisyen dan mungkin bergaul bebas antara lelaki dan wanita.

Mereka juga sudah kehilangan adab, dengan lantangnya menghina kebanyakan para ulama'. Ilmu yang mereka peroleh itu, hanyalah ilmu yang mereka dapati melalui pembacaan semata. Mereka tidak mahu berguru. Seolah-olah semua guru sesat. Mereka angkuh dengan ilmu yang mereka pelajar, seolah-oleh hanya mereka yang akan ke syurga, dek keyakinan mereka, hanya mereka yang benar.




Sesetengah golongan pula, apabila beribadah, mereka memilih untuk melakukan sesuatu yang eksklusif untuk mereka sahaja. Dakwa mereka, kononnya guru mereka berjumpa secara langsung dengan Nabi dan Nabi mengajarkan mereka itu dan ini.

Golongan ini tidak lain hanyalah menjauhkan manusia kepada nilai agama yang sebenar. Apabila Allah berfirman bahawa agama itu telah lengkap, dan seluruh umat Islam beriktiqad bahawa wafatnya baginda maka agama itu sudah lengkap. Bagaimana boleh ada ibadah-ibadah yang tertinggal? Yang tak sempat diajar Nabi? Adakah mereka mahu menafikan sifat tabligh Nabi Muhammad iaitu menyampaikan? Agama ini eksklusif untuk mereka sahaja?

Golongan ini yang menjauhkan manusia daripada ibadah yang tidak ada keraguan padanya, kepada ibadah janggal seperti menari, menyanyi, merintih secara berjemaah. Mereka yang membuatkan masyarakat memilih untuk menyanyi terlompat-lompat secara ghuluw sehingga meninggalkan pembacaan Al-Quran.




Masing-masing ego dengan Guru masing-masing. Taksub dengan puak masing-masing. Sampai terlupa, umat Islam di Syria dan Palestin sedang merintih kesakitan, berharap supaya hari esok masih ada peluang untuk mereka bernafas.

Sedang kita bertelagah dan saling mengkafir, syaitan tertawa dan terus tertawa. Gembira menyaksikan betapa umat hari ini, mudah diperdaya.


Antara memenangkan ego pihak masing-masing atau menjamin umat bersatu dalam ukhuwwah islamiyyah. 

Mana satu pilihan anda?


Wallahu A'lam.